SILA ABAIKAN MUNGKINKAH? 1-16 DI MINI LOVE STORIES. SIRI INI SEDANG DIUBAH SUAI KE BENTUK NOVEL. MAAF UNTUK KEKELIRUAN YANG MUNGKIN TIMBUL.
BAB SATU
“Gila
ke laki kau ni, Risa?,”
Arisa
menyapu air mata yang membanjiri pipi. Wajah bapanya yang kelihatan marah
dipandang dengan rasa hiba. Terasa beban yang ditanggung sudah tidak mampu
digalas. Sudah terlalu penat dia melayan kerenah Radhi. Semakin hari semakin
teruk layanan Radhi padanya. semakin hari Radhi semakin sengaja mahu
menyakitkan hatinya.
“Itulah.
Dari dulu lagi ayah tak berkenan kamu berkahwin dengan Radhi tu. Cinta konon.
Tengoklah apa jadi dengan kamu sekarang ni? Kurus kering makan hati. Itu yang
kamu nak pertahankan sangat cinta kamu tu?,”
“Silap Risa. Risa mengaku semuanya salah Risa. Tapi,
sebelum kahwin dia tak macam ni, ayah,”
“Lelaki
ni, kalau dah dapat isteri gaji besar sikit, naik kepalalah dia. Tengoklah
macam-mana dia buat kamu? Nasib baik tak ada anak lagi. Kalau ada anak?
Bertambah-tambah beban kamu. Yang dia, seronok berjoli,”
Arisa
mengeluh perlahan. Buntu memikirkan masalah yang menyesakkan kepala. Sebolehnya
dia tidak mahu menyusahkan bapanya. Tetapi, apabila semuanya sudah tidak mampu
untuk dia harungi sendiri, cuma bapanya yang dia ada untuk mengadu. Dan,
kata-kata bapanya itu ada benarnya. Jelas Radhi hanya mengambil kesempatan
padanya. Dia menjadi tabung duit bagi Radhi. Dia menjadi tempat melampiaskan
nafsu bagi Radhi. Dia menjadi tempat melepaskan amarah Radhi. Selain daripada
itu, rasanya tidak ada lagi fungsinya pada lelaki itu. Satu kenyataan yang membuat
hatinya tersayat pilu. Dia bagai boneka untuk kesenangan Radhi.
“Sakit
dada ayah ni tengok gelagat laki kamu tu. Bekerja malas. Orang kiri kanan duk
sibuk bercerita. Angkut anak dara orang sana. Angkut anak dara orang sini.
Sekarang dah gatal nak kahwin lagi pulak? Siapa yang nak tanggung bini dia
nanti? Kamu?,”sedikit keras suara yang meniti di bibir Haji Salleh. Berbaur
geram nada yang sampai ke telinga Arisa itu.
Arisa
tersentap. Mengangkat muka merenung wajah bapanya. Air mata menitis lagi.
Perlahan dia menggeleng. Tingkah Radhi sudah cukup menghancurkan perasaannya.
Selama dua tahun dia menikmati cinta suci Radhi. Cinta yang penuh dengan
caci-maki dan air mata. Baginya cinta suci itu cuma omong kosong. Cinta
langsung tiada nilai untuk dia terus agungkan.
“Ayah
tak fahamlah. Apa yang kamu tengok pada si Radhi tu? Langsung tak ada masa
depan. Tak cukup ke dia buat kamu selama ni? Dua tahun kahwin, paling lama ayah
tengok dia kerja dua bulan saja. Lepas tu, jadi kutu rayau. Duduk rumah bapak
mertua buat macam rumah sendiri. Nak keluar minta duit bini. Balik marah-marah
bini,”
Arisa
tunduk. Kata-kata itu sedikit sebanyak membias rasa malu di hatinya. Malu
dengan sikap suami sendiri. Mahu nafikan, itulah kenyataannya. Cuma Radhi
seakan tidak pernah ada rasa malu pada bapanya.
“Malu
Risa dengan sikap dia tu, ayah,”
“Kenapa
pula kamu yang nak malu? Yang buruk perangai suami kamu…,”
Arisa
mengeluh lagi. Perlahan menolak ke belakang rambut ikalnya yang disapa angin
petang.
“Apa
rancangan kamu sekarang? Nak ikutkan juga kehendak suami kamu tu? Nak bermadu?
Sah-sah beban kamu yang bertambah nanti. Sekarang tanggung laki. Nanti dengan
madu kamu pun kamu tanggung. Kalau beranak-pinak nanti? Macam mana? Ayah ni,
bukan apa. Ayah tak nak tengok kamu hidup macam ni. Tak ada guna kamu hidup
dengan lelaki macam tu. Bukan ayah nak minta kamu runtuhkan rumahtangga kamu.
Tapi, ayah tak sampai hati nak tengok kamu hidup makan hati macam ni. keputusan
macam ni, kamu kena fikir masak-masak. Jangan fikir untuk tempoh esok atau
lusa. Kamu kena fikir macam –mana hidup kamu sepuluh tahun nanti kalau kamu
setuju nak bermadu?,”
“Risa
dah ambil keputusan, ayah,”
“Keputusan
apa?,”
“Risa
nak bercerai. Risa tak nak hidup dengan Radhi lagi. Risa tak nak bermadu. Risa
tak nak tambah beban dalam hati Risa,”
Haji
Salleh mengeluh perlahan. Memandang wajah anak sulungnya itu dengan renungan
simpati. Susah untuk dia memberi pendapat. Mahu Arisa teruskan perkahwinan itu,
dia yakin Radhi tidak akan berubah. Dia yakin Radhi tidak akan berhenti
menyusahkan Arisa. Mahu menyokong Arisa memutuskan hubungan itu, dia juga
serba-salah. Bukan elok bercerai-berai. Dia juga tidak mahu anaknya itu
menempah gelaran janda.
“Ayah
tak tahu nak cakap apa. Serba-salah ayah jadinya. Risa buatlah keputusan yang
paling baik untuk Risa,”
Arisa
mengeluh perlahan. Sepi waktu petang sebegini memberi dia peluang untuk bercakap
panjang lebar. Ketiadaan adik-adiknya membuat dia tergerak untuk berkongsi rasa
dengan bapanya. Dia perlu berbincang dengan bapanya. Hal ini bukan hal kecil
untuk dia simpan sendiri di hatinya. Keputusan yang ingin dia ambil juga satu
keputusan yang akan mengubah hidupnya seratus peratus.
“Tapi…,”
“Tapi
apa pula?,”
Arisa
menghela nafas panjang. Memandang wajah bapanya yang kelihatan setia menunggu.
Dia sedikit serba-salah. Perlukah dia berkongsi dengan bapanya? Atau dia perlu
tanggung semua ini sendirian? Perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan
kesilapan yang telah dia buat?
“Risa?
Ada apa ni? Cuba cerita dengan ayah,”
“Radhi
tak nak ceraikan Risa. Dia nak madukan Risa. Dia cakap, kalau Risa bagi dia
duit, baru dia akan lepaskan Risa. Kalau tidak, dia tak mahu lepaskan Risa,”
Haji
Salleh merengus marah. Turun naik mengawal nafas yang tidak terkawal. Perlahan
dadanya diurut. Sungguh sakit hatinya memikirkan tentang menantu sulungnya itu.
Arisa bergerak menghampiri bapanya.
“Ayah
tak apa-apa?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan. Arisa mengusap perlahan dada bapanya. Sudah mula
risau andai jantung bapanya bermasalah lagi. Silap dia, membuka cerita sebegitu
pada bapanya. Timbul rasa menyesal di hati. Mungkinkah dia perlu menyimpan
masalah ini sendiri?
“Ayah
tak apa-apa. Berapa yang hantu tu nak?,”
Arisa
diam. Cuma memandang wajah bapanya yang jelas tegang melayan marah.
“Kita
bincang lain kali ya, ayah. Ayah tak okay ni. Risa tak nak nanti ayah jatuh
sakit,”
Haji
Salleh mengeluh perlahan. Mengurut perlahan dadanya. Matanya lari ke wajah anak
sulungnya itu. Wajah itu kelihatan hilang seri. Barangkali terlalu banyak
derita yang dipendam sendiri.
“Ceritalah
pada ayah. Ayah nak tahu. Ayah nak dengar. Sudah-sudahlah makan hati sebab nak
lindung kesalahan Radhi tu…,”
Arisa
diam seketika. Tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Berdoa agar apa yang
meluncur di bibirnya itu, tidak memberi kejutan berat pada bapanya.
“Radhi
nak duit…,”lambat-lambat patah perkataan disusun. Melantun dalam nada
seperlahan yang boleh. Berharap agar suaranya tidak sampai ke telingan Haji
Salleh.
“Berapa
yang Radhi minta?,”
Arisa
mengangkat muka. Bapanya mendengar.
“Dua
puluh ribu, ayah,”
Haji
Salleh diam. Mengurut dada yang mula terasa sesak. Arisa menggelebah.
“Ayah…
ayah tak apa-apa?,”
Haji
Salleh menggeleng perlahan. Mengurut dada sambil cuba bernafas setenang
mungkin.
“Gila
suami kau ni, Risa…,”
Air
mata Arisa menitis. Memeluk tubuh tua itu sambil mengurut dada Haji Salleh.
Mungkin benar suaminya itu sudah gila. Gila pada duit. Gila pada perempuan.
“Risa
minta maaf, ayah. Sepatutnya, Risa dah tak jadi beban pada ayah….,”
“Ayah
tak akan biarkan Radhi buat Risa macam ni. Dia ingat dia siapa? Risa ni anak
ayah. Ayah tak akan biarkan Risa tanggung semua ni sendiri,”
“Ayah…
Risa tak nak panjangkan hal ni. Risa tak nak gaduh. Risa tak nak dia cari pasal
dengan ayah. Risa tak nak ayah sakit sebab Risa. Ayah sakit sebab melayan
perangai Radhi tu. Risa akan berikan apa yang dia nak…,”
“Banyak
tu, nak,”
“Risa
akan usahakan. Yang penting, lepas ni biarlah dia lenyap terus dari hidup Risa.
Risa tak nak tengok muka dia lagi,”
“Bagi
duit macam tu aje pada jantan tak guna tu? Tak cukup selama kahwin dengan kamu,
dia peras duit kamu, sampai nak ceraikan kamu pun dia nak peras kamu juga?,”
Arisa
tersenyum pahit. Memandang seketika wajah bapanya. Mahu melihat keadaan bapanya
itu. Haji Salleh kelihatan sudah sedikit tenang. Perlahan dia tunduk sambil
bermain dengan jemari sendiri.
“Risa
dah serik, ayah. Risa dah tak sanggup nak hidup dengan dia lagi. Radhi yang jadi
suami Risa, terlalu jauh bezanya dengannya Radhi yang mencintai Risa dulu,”Arisa
mengadu perlahan. Tidak pernah diluahkan kesengsaraan yang dilaluinya saban
hari. Hari ini, dia mahu mengadu pada bapanya. Dia mahu kosongkan hatinya yang
tepu dengan kecewa. Kecewa pada sebuah ikatan perkahwinan. Angannya,
perkahwinan dia dan Radhi akan menjadi satu perkahwinan yang paling indah.
Angannya juga, dia mahu menjadi isteri Radhi yang paling bahagia rentetan
hidupnya. Dia cuba menjadi isteri yang sempurna dan Radhi akan cuba menjadi
suami yang sempurna juga. Namun, angan-angan itu cuma tinggal satu impian
kosong.
“Dulu
dia sayang sangat kat Risa, ayah…,”gumamnya perlahan bersama air mata yang
bertandang lagi.
“Dia
buat Risa rasa Risa manusia paling bertuah dalam dunia ni…,”
Haji
Saleh diam seribu bahasa. Hatinya tersentuh melihat air mata itu. Jiwanya
menangis mendengar rintihan itu. Dia faham keperitan yang ditanggung oleh
Arisa. Selama berkahwin, sepatah pun tiada rungutan daripada bibir itu.
Semuanya didiamkan sendiri. Hari ini, apabila anaknya itu bersuara, dia mahu
mendengar semua luahan hati Arisa.
“Luahkan
semua yang Risa pendam selama ni. Biar ayah dengar semuanya,”
Arisa
menggeleng perlahan. Menyeka perlahan air mata yang membasahi pipi.
“Risa
dah tak tahu macam –mana nak luahkan apa yang Risa rasa ni, ayah. Risa rasa
macam orang bodoh. Cuba berusaha untuk pulihkan hubungan ini, sedangkan Radhi
langsung tak mahu lihat perkahwinan kami jadi lebih baik. Dia cuma leka dengan
hidup dia sendiri,”
“Ayah
nak yang terbaik untuk anak ayah. Fikirlah apa yang terbaik untuk Risa. Dulu,
Risa rasa, Radhi yang terbaik untuk Risa, ayah mengalah. Sekarang pun, ayah tak
mahu buat keputusan untuk Risa. Ayah yakin, Risa lebih tahu apa yang hati Risa
inginkan,”
Arisa
mengangguk perlahan. Merenung wajah tua di hadapannya itu.
“Mungkin
ini balasan sebab Risa ingkar pada cakap ayah dulu. Kan?,”
Haji
Saleh menggeleng perlahan.
“Jangan
sesekali cakap macam tu. Memang ayah tak setuju bila Risa pilih Radhi. Tapi,
kalau cuma itu yang boleh buat Risa bahagia, ayah restu. Ayah tak akan sampai
hati nak buat anak ayah hidup susah. Ayah tetap sokong anak ayah,”
“Risa
minta maaf, ayah. Risa tak pernah jadi anak yang menyenangkan. Tak habis-habis
Risa bagi masalah pada ayah,”
“Sekarang
ni, Risa fikirkan masa depan Risa. Bukan pandang ke belakang. Yang dah berlaku,
kita tak mampu nak ubah. Tapi, kita mampu mengubah masa depan kita. Fikir
dalam-dalam. Doa banyak-banyak. Apa pun keputusan Risa, ayah akan tetap sokong
anak ayah,”
“Terima
kasih, ayah…,”perlahan Arisa berbisik sambil memeluk tubuh itu. Tenang hatinya
apabila bapanya menepuk perlahan belakangnya. Juraian air mata jatuh ke pipi.
Membasuh semua kesedihannya. Lega hatinya apabila semua yang tersimpan kini
terluah sudah.
*****
8 comments:
best2 kak hanni ..nk jadi novel ekk..x sbr nk tunggu kesudahannyer~ great
haha, novel pulak...xkesah la, cerpen pun rasa mcm dah panjang sgt.. so nanti akan dibukukan ke kak?
x kisah la
yg penting n3 s'tiasa ada
ala..makin lama r nk tggu ending cite nie...x saba r...
KSRI bila nk publish kak?
suka sgt.. thanks kak hani..
waduh.............bestnya!!!!!!!!!!!!!gempak!!!!!!!!!!!!! follow.............
kak lagi kak... x saba nih..
Post a Comment