“Kau
saja cari penyakit, Lang...,”bebel Toy sambil menghisap ibu jari.
Lang diam. Cuma mengusap rambutnya
yang rentung separuh. Sedih hatinya masih terasa.
“Janganlah ikut perasaan. Anggaplah
itu bukan jodoh kau. Kita ni tak setaraf dengan mereka. Kau jangan terus
bersedih macam ni Lang. Sedih aku tengok. Aku rindukan kau ceria macam dulu.
Dah seminggu kau macam ni,”Achong pula memujuk.
Lang tetap diam. Terus merenung
kegelapan malam dengan perasaan sebak....
******
Bersama senyum meleret, Lang terus mengelus
rambutnya yang panjang mengurai. Terus tersenyum sambil matanya merenung
rembulan yang kelihatan sedikit kelam dilindung awan mendung.
“Engkau laksana bulan....Tinggi di
atas...kayangan....,”bibirnya yang melimpah dengan senyuman, kini mula berlagu
perlahan. Bersenandung bahagia.
“Ha! Ha! Ha!....Pump It! Ha! Ha! Ha!
Pump It! Turn up The Radio...Blast the Stereo....,”
Gangguan itu membuat dia tersentak
besar. Terloncat dari dahan terus terdampar ke dalam semak bersebelahan
kediaman mereka.
“Aduh! Toy! Bodohlah kau ni!
Terkejut aku!,”jeritnya marah. Sikat yang terpelanting segera ditinjau.
Rambutnya yang disikat rapi, kembali kusut.
Toy yang sudah berhenti menari di
sebelah radio sederhana besar terlopong memandang Lang yang mencangkung mencari
sikat.
“Kenapa tu Lang? Aku dengar macam
ada orang jatuh aje,”Achong menegur. Tegak berdiri memandang dahan pokok
penginapan mereka yang sebesar sepemeluk.
Toy tersengih sambil menggeleng.
“Kau ni Achong. Aku rasa kau kena
pakai cermin matalah. Makin teruk rabun kau. Pusing belakakanglah! Kita orang
kat belakang kau,”ujarnya sambil menggeleng. Acong tergelak segan sambil
berpusing perlahan.
“Aku bukan rabunlah. Kain terjatuh
tutup mata lak. Kau tolong baiki sikit,’
Toy mengeluh sambil melompat barbaut
pada ranting yang berjuntai. Kain berwarna kuning kusam yang menutup separuh
mata Achong, dibetulkan.
“Haaa... baru jelas pandangan. Lagu
apa kau dengar tu? Best pula aku dengar,”
“Entah. Budak-budak punk hari tu
yang tinggalkan benda alah ni. Aku ambiklah. Aku tak curi tau. Aku ambil.
Seminggu aku survey rumah jiran kita, nak belajar cara guna benda alah ni....,”
Lang menjeling sambil perlahan
menyambung menyikat rambut. Melangkah perlahan menghampiri Toy.
“Penat aku sikat rambut aku dari
petang tadi tau tak! Tengok sekarang, dah kusut balik,”Lang melepaskan geram
sambil laju tangannya menunjal kepala Toy membuat Toy jatuh terduduk.
“Kau pun satu Lang. Aku suruh kau
pakai syampoo kau tak nak. Rambut kau tu dah kejung macam akar pokok aku tengok.
Pakailah Rejoice ke, Sun Silk ke...Pantene pun ok juga...,”Acong bersuara
sambil bersandar pada pokok.
Lang menjeling tajam. Laju mendarat
semula ke dahan. Bersandar sambil mencari sesuatu.
“Pelik aku tengok Lang tu, Cong. Kau
perasan tak, sejak akhir-akhir ni melaram aje kerjanya. Tu tengok tu, entah apa
disental kat bulu mata dia tu. Aku tengok dah macam bulu ayam aje bulu matanya
tu,”
“Tu ok lagi. Tengoklah kejap lagi.
Merah menyalalah bibir dia tu. Si Penan hirup jus roselle pun tak ada merah
macam tu bibirnya,”bisik Acong bersama gelak kecil dan disambut pula gelak Toy
yang mengekek.
“Adoi!,”Acong mengaduh kuat. Ada
benda melayang dan mendarat di kepalanya. Dia mendongak.
“Apa ni Lang? Main baling-baling
kayu pulak,”
“Ngumpat aku kan? Korang tengah ngumpat
aku kan?,”jerit Lang marah.
“Sensitiflah kau ni, Lang. Gurau
sikit pun nak terasa. Kenapa kau ni? Sedang bercinta ke?,”
Marah Lang hilang tiba-tiba. Senyum
kini terukir dari bibirnya yang sudah merah-menyala. Segera dia mengambil
tempat di sisi Acong dan Toy.
“Anyway, mana kau dapat semua benda
yang kau tempek kat muka tu?,”Acong bersuara. Toy tergelak besar.
“Mak ai! Acong cakap omputih! Caya
lahhh,”sakatnya sambil terus menyambung gelak.
Acong menjeling.
“Penan yang ajar aku. Dia kata, kita
tinggal kat KL ni, kena maju. Kena pandai cakap English. Nanti dia nak buat
kelas untuk kita,”
Toy menggelupur ketawa. Lang
tersengih-sengih sambil menongkat dagu memandang bulan. Acong menyambung jeling
yang semakin tajam.
“Lang! Aku Tanya tu, jawablah!,”tidak
mahu terus melayan rasa geram pada Toy yang asyik ketawakan dia, Acong kembali
menarik perhatian Lang.
“Alaa.. aku ambil beg ada sorang
budak punk tu tertinggal kat rumah kosong dulu tu,”
Acong mengangguk perlahan. Deruman
motosikal membuat dia mengeluh perlahan.
“Budak-budak ni.... nampaknya tak
dapat tidur lagilah aku malam ni,”Acong merungut perlahan. Lang pula sudah
tegak berdiri dengan wajah berseri-seri.
“Oklah weh. Aku nak keluar kejap.
Kau orang tak payahlah tunggu aku,”Lang bersuara sambil terus berlalu.
******
“Joey, kau tak takut ke?,”
“Takut apa pulak?,”
“Aku dengar ada gang punk cakap
tempat ni keraslah bro,”
Joey tergelak.
“Jalan tar ni. Memanglah keras,”
“Dorang jumpa hantulah. Empat
sekawan. Langsuir...penanggal... toyol...pocong. kita cari port lainlah,”
Kali ini, gelak Joey lagi kuat.
“Hey! Sejak bila pulak hantu ada
bawa geng? Diaorang saja buat cerita, tak nak port ni kena kacaulah tu. Aku tak
naklah. Sini port bagus. Jalan cun. Sunyi pulak. Letihlah aku nak lari dengan
polis. Mulai sekarang kita race kat sini aje. Kawan-kawan! Kau semua setuju?
Tak setuju pun aku peduli apa? Aku ketua,”panjang lebar Joey bersuara bersahut
dengan sorakan. Membuat temannya itu berlalu dengan wajah kelat.
“Okay kawan-kawan! Jom kita bergumbiraaaa!,”
Sorak-sorai yang riuh itu membuat
senyum Lang yang bertenggek di pinggir parit di gigi jalan itu semakin lebar.
“Jom kita bergumbira.... kau memang
tak pernah berubah Hasan....,”ucapnya perlahan sambil tersenyum bahagia. Senyum
manis itu hilang perlahan-lahan. Selalunya lelaki itu dating bersendirian.
Namun, matanya bulat memandang pada seorang gadis yang datang rapat pada
kekasih hatinya itu. Senyum bahagia yang terukir di bibir lelaki itu tiba-tiba
membuat hatinya sakit. Lelaki itu ada perempuan lain. Dia mula teresak
menangis. Kian lama kian kuat. Dan apabila melihat gadis itu erat dipeluk, dia
tidak sanggup lagi. Terus dia berlalu bersama pipi yang basah.
****
“Lang... janganlah macam ni. Dah
tiga hari kau diam aje. Bercakap tidak. Mengilai tidak. Duk menangis aje. Apa
masalah kau sebenarnya? Kongsilah dengan kita orang,”Achong bersuara. Sekali
lagi cuba memujuk.
“Yup. Betul tu. You kena beritahu
kitaorang kalau you ada masalah, Lang. Share with us...,”Penan menokok sambil
menyedut jus roselle.
“Aku sedih. Aku berkorban macam ni,
tapi, dia curang dengan aku,”
Tersembur jus roselle di mulut
Penan. Langsung gelak besar pecah di bibirnya.
“Apa kau cakap ni Lang? Siapa yang
sanggup nak curang dengan kau ni? Pandai betul orang yang nak curang tu. Kalau
aku pun, mesti aku nak curang kalau dapat girlfriend macam kau,”hilang semua
perkataan Inggeris dari mulut Penan. Luahan hati Lang benar-benar lucu.
“Kau ni Pan. Tak baik gelakkan Lang
macam tu,”Achong bersuara lembut.
“Ok..ok... I am so sorry. Ok,
teruskan cerita kau Lang. Tapi, sebelum tu aku nak tanya ni. Toy mana?,”
“Entah. Katanya jumpa kawan,”
“Hati-hati. Jangan pergi kat kawasan
rumah orang. Kawasan sini keras. Aku takut nanti kau yang hangus,”
“Hey! Korang ni, nak dengar cerita
aku ke tak? Tadi tanya!,”Lang menjerit kuat apabila topic percakapan sudah mula
lari.
“Ceritalah. Tapi, janganlah
jerit-jerit. Pitching kau larilah. Sakit telinga aku,”bentak Penan geram.
Lang menjeling sambil menarik
muncung panjang. Menyilang kaki di dahan sambil bersandar. Dalam kegelapan
malam, dia terrmenung.
“Aku jumpa dia semula. Setelah
bertahun-tahun aku jumpa dia semula. Masih muda..masih kacak...masih hebat
macam dulu,”Lang membuka cerita.
“Siapa?,”serentak Penan dan Achong
bertanya.
“Hasan,”
“Hasan? Boyfriend kau dulu? Dah tua
kerepot dah Hasan tu. Toy cakap dia selalu terserempak dengan Hasan tu kat
Taman hujung jalan ni,”Achong member penjelasan. Penan termenung mendengar.
Lang pula membuang pandang.
“Tiap-tiap malam aku jumpa dia. Aku
tahulah. Masih juga dengan hobi lama dia dulu. Rindu aku time dulu-dulu.
Seronok. Aku nak balik semula pada dia...,”
“Lang. Kau mabuk ke? Hisap darah
cicak ke? Mabuk semacam. Hasan tu dah tua kerepotlah. Kau bercinta dengan dia
dua puluh tahun lepas kan?,”Penan menyampuk. Lang merengus marah.
“Betul aku tak tipu. Itu dia. Tapi,
dia curang! Dia ada perempuan lain. Dia curang dengan aku. Sanggup dia buat
macam tu. Aku dah berkorban banyak untuk dia...,”
“Itu bukan berkorban. Itu
bodoh...,”Penan bersuara lagi.
“Kau diamlah Penan,”
“Sebab kau nak buang anak kaulah.
Tuan aku kena amuk dengan orang kampung. Sampai aku kena bawa diri lari sampai
KL ni, tau!,”
“Pasal tuan kau yang tak
professional tu jugaklah sampai aku jadi macam ni, tau! Mati katak je....,”
“Padanlah dengan muka. Bodoh. Ada
otak tak reti nak pakai,”
“Hey...hey...dahlah tu.
Janganlah...,”
“Kau diam Achong!,”serentak Lang dan
Penan mengherdik. Membuat Achong terus tersandar kelu di celah banir pokok yang
merendang.
“Malaslah layan korang bertengkar,”rajuk
Achong sambil bangkit dan melompat laju. Kemudian mengaduh kuat apabila
kepalanya terhantuk pada pokok. Lang dan Penan yang sama-sama berpaling, hanya
mampu menggeleng perlahan.
“Suruhlah Toy rembat cermin mata
satu kat kedai. Kesian benar aku tengok kau ni, Chong,”Penan bersuara sekadar
meluahkan pendapat.
“Mata aku oklah! Kain ni asyik jatuh
tutup mata,”jerit Achong marah.
“Uish... Achong pun dah tahu marah-marah....,”bisik
Penan hampir di telinga Lang.
“Tak kisahlah dengan marah dia. Yang
aku tahu, sekarang ni, aku nak tuntut
hak aku. Dia dah janji tak akan tinggalkan aku. Tapi, dia biarkan aku mati
seorang kat tengah padang belakang rumah kau. Dia lari berdesup takut kat orang
kampung,”
Penan tergelak mengekek. Membuat
wajah Lang semakin mencuka.
“Kita ni, kalau jadi perempuan, kena
pandai jaga diri. Ni, sayang sikit, semua nak diberi. Bila dah termengandung,
kena campak macam tu saja. Kau mati katak, dia hidup bahagia sampai
sekarang,”ujar Penan tergelak sinis.
“Sakit hatilah cakap dengan kau ni!
Baik aku pergi cari Hasan...,”
Penan terus tergelak sambil
melingkar di ranting. Memandang Lang yang semakin menjauh sambil perlahan
menyedut jus roselle.
“Lang...Lang.....,”gumamnya masih
bersama sisa-sisa gelak.
****
“Cepatlah balik, Joey. I rasa tak
sedap hatilah,”
Joey menoleh.
“Kenapa ni sayang? Kejaplah. Lepak
kejap,”
“I takutlah. Rasa macam semacamlah
malam ni,”
Joey tergelak. Disambut dengan gelak
teman-temannya yang lain. Membuat suasana yang sunyi menjadi riuh seketika.
Lang mengerling. Gadis di sisi lelaki miliknya itu menarik muncung. Dia juga
sudah menarik muncung panjang. Sakit hati melihat tingkah manja gadis itu.
Terus dia mendekat.
“You! I nak balik,”
“Youuu...I nak balikkk....,”ajuk
Lang geram. Kepala gadis yang separuh menangis itu ditunjal perlahan. Membuat
gadis itu jatuh terduduk. Kuat gadis itu meraung. Membuat kumpulan anak muda
itu terdiam. Tergamam melihat gadis itu tiba-tiba jatuh terduduk.
“Kenapa you ni?,”
“I tak tahu. Ada benda tolak I. I
nak balik!!,”jerit gadis itu sambil berusaha bangun. Melangkah menghampiri
teman lelakinya. Segera dia menghalang.
“Jangan dekat dengan dia!,”jeritnya
panjang. Serentak muncul di hadapan gadis itu. Membuat gadis itu menjerit kuat.
Seiring dengan jeritan yang lain.
“Hantu!,”
Dia menoleh. Jeritan kuat dari
lelaki ini benar-benar membuat dia terluka.
“Sayang...sampai hati panggil Jijah
hantu....ini Jijahlah,”bisiknya perlahan sambil mendekat. Membuat lelaki itu
menjerit semakin kuat. Enjin motosikal dihidupkan dan tanpa menoleh pada teman
wanitanya yang sudah jatuh pengsan, dia terus memecut.
“Sayang! Tunggu!,”Lang menjerit
sambil terus mengejar. Laju dan laju selaju motosikal untuk memecut.
“Hantu tu kejar Joey!,”terketar
seorang temannya bersuara.
“Pedulikanlah. Cepat tolong Hanis.
Dia pengsan tu. Lepas tu kita blah....,”
****
“Kenapa tu Pak Ray? Kecoh
bunyinya,”sambil melompat ke atas pasu bunga, Toy bersuara. Sesekali dia cuba lagi
melompat. Mahu tahu apa yang sedang berlaku di rumah jiran Pak Ray.
“Janganlah lompat-lompat. Pecah
karang pasu tu. Jenuh Tuan Pak marahkan Pak,”
Toy tersengih. Terus diam di atas
pasu. Namun. Hatinya masih membuak dengan rasa ingin tahu. Bunyi tawa yang
mengilai itu, rasanya seperti dia kenal. Namun, mustahil Lang berada di sini.
Lang tidak suka bersosial di tempat baru mereka ini. Sama seperti Achong yang
lebih selesa terperap di rumah. Cuma dia saja yang suka berjalan ke taman ini.
“Jom kita tengok jiran Pak Ray tu.
Apa kena menjerit-jerit tu?,”
“Hish! Kau nak rentung? Jangan
pergi. Dorang sedang berubat tu,”
“Berubat apa?,”
“Anak si Hasan tu kena sampuk. Ada
langsuir bertenggek. Dah dua hari dah orang duk halau. Tak nak pergi langsuir
tu,”
“Langsuir?,”
“Ha ah,”
Toy diam. Mula berfikir secara
serius. Segera dia teringat Lang yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah.
Mungkinkah jeritan itu memang milik Lang?
“Kamu nak tahu cerita tak?,”bisik
Pak Ray sambil mengengsot ke tiang porch.
“Cerita apa?,”
“Dengar cerita... langsuir tu,
rupa-rupanya makwe si Hasan tu. Girlfriend masa muda-muda....,”berlagu Pak Ray
bercerita.
Toy mengangguk perlahan.
“Mati masa nak gugurkan anak,”bisik
Pak Ray lagi. Toy mengerdipkan mata sambil berpaling perlahan. Tempias memercik
dari mulut Pak Ray yang terkumat-kamit bercerita. Demi menjaga hati teman yang
jauh lebih tua darinya itu, dia cuba mengukir senyum sambil menahan nafas. Sah,
Pak Ray tidak pernah gosok gigi.
“Masa nak buat kerja tulah, orang
kampong serbu rumah bidan tu. Berdesup semua lari. Hasan lari tinggalkan makwe
dia tu mati sorang-sorang. Tu yang makwe dia datang balik mengacau anak dia
tu,”sambung Pak Ray sambil mengekek perlahan. Toy diam. Hatinya semakin yakin,
Lang yang sedang menjerit di rumah jiran Pak Ray.
“Kawan saya langsuir tu, Pak Ray.
Jomlah kita pergi tolong dia...,”
“Hish! Tak mahu aku. Dengan aku
sekali rentung nanti,”
Toy diam. Membuat muka kasihan di
hadapan Pak Ray. Pak Ray cuma membuang pandang. Toy tunduk. Umpannya tidak
mengena. Pak Ray tidak langsung menunjukkan reaksi bersimpati.
“Aku tak nak pergi! Aku nak duduk di
sini. Aku suka dia! Dia kekasih akuuu!,”
Jeritan itu membuat Toy terlompat.
Tergolek di tengah laman. Segera dia bangkit. Berlari-lari anak ke pintu pagar.
Jeritan Lang semakin kuat. Singgah satu-satu di telingannya.
“Kuat ke yang ubatkan anak Hasan tu,
Pak Ray?,”
“Tak kuat kau cakap? Ustaz tu. Aku
tak berani nak pergi dekat,”
“Dah tu, mana Pak Ray tahu semua
cerita tu?,”
“Pak dengar isteri Tuan Pak yang
bercerita. Dia pergi masa ustaz tu berubat semalam,”
Toy mengangguk. Anggukannya semakin
perlahan apabila sepantas kilat dia melihat Lang melayang keluar dari tingkap
rumah Hasan.
“Hah! Dah lari dah...,”ujar Pak Ray
sambil menunding ke arah Lang yang melayang lemah.
“Saya balik dululah Pak Ray. Nak
tengok Lang tu,”
“Yalah. Pak pun nak tidur ni. Hati-hati balik tu,”
Toy mengangguk sambil melompat
keluar dari pagar. Berlari terkedek-kedek mengejar Lang.
*****
“Kau nak ke mana lagi tu Joey? Tak
serik-serik lagi?,”
Joey berpaling. Memandang wajah
ibunya yang kelihatan sedikit marah. Dia tahu ibunya masih merajuk dengan
bapanya setelah semua rahsia terbongkar.
“Joey nak pergi masjidlah, mak,”
“Hai... nak merempit kat masjid
pulak?,”
“Taklah makcik. Lepas apa yang jadi
pada Joey, kami taubat makcik. Kami dah tak mahu keluar sampai pagi lagi. Kami
dah tak mahu merempit lagi. Kami serik....,”tingkah seorang teman, membuat Joey
tersenyum kecil. Memang dia juga sudah serik. Terbayang pada lembaga kuning
kusam berambut panjang yang mengejar motosikalnya. Kalaulah dia di dalam
perlumbaan, dia yakin dia boleh menjadi juara. Namun, dia merempit dengan
langsuir, pastilah dia yang pengsan tergolek.
“Hmmm.... eloklah kalau dah sedar.
Jadi budak baik. Jangan jadi macam bapak kamu tu. Sebab dia, hantu tu kacau
kamu, tahu tak?,”
“Awak ni...dah...dahlah tu. Sampai
bila awak nak marah saya ni? Saya dah menyesal dah. Itu semua cerita masa
budak-budak,”
Joey memandang. Ibunya menjeling.
Terus berlalu dengan wajah mencuka.
“Ayah... Joey pergi masjid dulu,”
“Pergilah. Ayah menyusul nanti,”
Joey mengangguk. Melangkah keluar
mendapatkan teman-temannya yang sudah menunggu di luar pagar. Motosikal
dihidupkan dan mereke berkumpulan bergerak menuju ke arah masjid.
******
“Lang....penatlah aku nak nasihat
kau ni...,”
Lang menoleh. Menyeka perlahan air
mata.
“Aku sedihlah,”
“Ya. Aku tahu kau sedih... tapi kau
tak boleh macam ni. Dia manusia. Mana
setaraf dengan kita? Kita kena sedar siapa diri kita ni,”
“Aku tak kisah dia nakkan aku atau
tidak. Aku sedih sebab diaorang dah lama tak datang sini... berlumba. Kau tak
tahu. Aku ni dah bertahun-tahun rindu nak racing. Racing tu dah sebati dengan
jiwa aku. Tahu tak? Aku rindu nak lumba motor macam dulu-dulu,”
Toy tergelak besar. Disambut dengan
gelak sopan Achong.
“Jiwa racing rupanya. Rindu nak
berlumba ke? Ingatkan rindukan anak Pak Hasan,”ujar Toy sambil bersandar ke
pohon besar.
Lang mengerling.
“Harap-harap malam ni, diaorang
datanglah...,”
“Tak payah berharaplah. Budak-budak
tu semua dah taubat dah. Hari-hari pergi masjid sekarang ni,”balas Toy
bersahaja.
“Mana kau tahu?,”
“Alah...aku selalu lepak dengan Pak
Ray. Aku tahulah,”
“Siapa pula Pak Ray ni? Aku tak
pernah tahu pun?,”Achong menyampuk.
“Alaa...hantu raya Pak Darus jiran
Hasan. Hasan bekas pakwe Lang ni....,”
Lang menjeling lagi. Achong
mengangguk faham. Toy tersenyum panjang.
“Sedihnya aku. Jadi, dah tak
merasalah aku nak berlumba ni?,”
Toy menjongket bahu. Dan, wajah Lang
ceria kembali
“Haaa...dengar tu. Ada bunyi motor.
Banyak tu. Mesti ada group baru datang nak berlumba kat sini. Aku
chowww....,”ujat Lang girang. Terus berlalu tanpa menunggu jawapan daripada Toy
dan Achong.
“Nampaknya lepas ni, ada
lagilah group mat rempit yang
bertaubat...,”ujar Toy sambil tersenyum sumbing.
“Biarkanlah dia, Toy....,”balas
Achong.
Toy cuma memandang Achong yang
serius bercakap sambil memandang terus pada serumpun pokok bunga raya yang
tumbuh meliar. Perlahan dia menggeleng. Pasti kain sekali lagi menutup mata
Achong....
Tamat....
KEPADA SESIAPA YANG PERTAMA KALI MEMBACA KISAH INI, DAN BLUR SIKIT, BOLEH BACA CERPEN JIRAN BARU DAN JIRAN BARU:KL KAMI DATANG...
5 comments:
best lah kak citer ni.. mula saya ingat burung ke hape.. lepas tu dah setengah baca baru tau.. hehehe
Aaaaaaa rindunye kat Achong, Penan, Lang n Toy....
Thanks akak :)
Huhu..best3.. Akhirnya antoo 3+1 sekawan kembali.. :D
Pocong,toyol,langsuir+penanggal.. Kali ini ade kwn baru lg, raya plak..
hahahha..macam2 hantu dah kuar..nanti buat lagi yeh kak..sonok bace..klaka..hehhe
mmg best ceta ni. kelakar ada nasihat pun ada. he...
manusia yg mati tak diterima bumi hantu lah jadinya. Bila manusia skrg perangai cam hantu, hantu jgk lak yg boleh sedar kan dia. he... ;D good job akak. boleh bt pedoman.
Post a Comment