Wednesday, April 27, 2011

Mungkinkah? 11


            “Kenapa Abang Zariff ajak Ati keluar?,”
            Adiknya cuma tergelak kecil. Membuat hatinya sedikit terbakar.
            “Kak Long tanya ni…,”
            “Apa kata kalau Kak Long tanya Abang Zariff sendiri…,”jawapan itu diberikan Rianti bersama senyum yang cukup nakal.
            Dia mengeluh perlahan. Usahanya mencungkil rahsia pertemuan Zariff dan adiknya itu ternyata gagal. Membuat hatinya terus digayuti pelbagai persoalan. Sudahnya dia bersandar ke kerusi tanpa ada sedikit pun keinginan untuk menyambung kerja. Mencari ketenangan sebelum telinganya tersapa dengan suara yang sedikit kecoh.  Dia menjengah dan diserbu rasa geram sebaik sahaja melihat wajah yang sedang bertikam lidah dengan Jasmine. Pantas dia mengangkat punggung menanti langkah lelaki itu mendekatinya bersama Jasmine yang berlari kecil.
            “Puan, lelaki ni nak jumpa Encik Zariff. Saya dah halang, tapi dia degil…,”
            Arisa menjeling tajam pada seraut wajah yang terpamer senyum kepuasan.
            “Tak apa,  Jasmine. Biar saya uruskan lelaki ni…,”
            Jasmine mengangguk perlahan sambil terus berlalu pergi.
            “Isteri abang apa khabar?,”
            Arisa mengerling. Sapaan itu benar-benar membuat dia menyampah.
            “Apa awak buat kat sini? Tak cukup ganggu saya kat rumah?,”
            Radhi tergelak halus. Melangkah mendekati Arisa. Memandang wajah yang penuh amarah itu.
            “Abang rindukan Risa….,”
            “Bawa balik dialog plastik awak tu. Sekarang tolong pergi dari sini. Jangan datang buat kacau kat sini lagi,”
            “Mestilah abang akan selalu datang ke sini, sayang. Lebih-lebih lagi selepas abang tahu Risa sekarang  dah jadi isteri kesayangan bos besar kat sini,”Radhi bersuara dengan nada rendah di telinga Arisa.
            Arisa terkesima. Terkesan dengan kata-kata itu. Dan gelak Radhi yang menyakitkan hati itu, cukup untuk memberitahu ada niat jahat di hati lelaki itu.
            “Apa awak cakap ni?,”
            Radhi tersenyum panjang sambil berpeluk tubuh. Memandang wajah Arisa yang jelas terkejut.
            “Betul kan? Tak baik tau, Risa berahsia dengan abang. Nak senang sorang-sorang saja ya?,”
            Arisa merengus geram. Sakitnya hati menanggapi setiap patah perkataan daripada lelaki yang pernah memberi dia erti sebenar sebuah cinta. Yang pernah membuat hidupnya sengsara bertahun lamanya. Sangkanya bersama duit lima ribu yang Radhi kejarkan daripadanya untuk meleraikan ikatan perkahwinan mereka dulu, lelaki itu tidak akan lagi mengganggu hidupnya.
            “Awak ni tak pernah rasa malu pada diri sendiri kan? Orang macam awak ni, memang tak layak untuk hidup dalam dunia ni. Saya tahu apa yang ada dalam kepala awak tu…dan jangan awak mimpi nak pergunakan saya lagi!,”
            “Sayang abang ni memang bijak. Apa lagi yang mampu abang katakan?,”
            Arisa membuang pandang. Sakit hati yang bukan sedikit menanggapi sikap Radhi yang jelas tidak faham bahasa itu. Kemunculan lelaki itu benar-benar merosakkan harinya. Apa yang sedang berlegar di kepala Radhi memang sudah dapat dibaca. Ternyata lelaki itu tidak pernah berubah.
            “Kenapa? Janda kaya awak tu dah kehabisan duit ke?,”
            Radhi tersenyum sambil menjungkit bahu. Arisa menggeleng perlahan. Memang tidak dapat dinafikan lagi, lelaki ini memang teramat menjengkelkan.
            “Awak ni, memang langsung tak guna,”
            Radhi tergelak lagi.
            “Tapi, sayang berguna. Kan?,”
            Arisa menahan nafas. Semakin lama lelaki ini memang semakin menyakitkan hati.
            “Kenapa berahsia dengan abang? Kenapa tak cakap Risa sekarang dah jadi isteri orang kaya?,”
            “Hidup saya dah tak ada kena mengena dengan awak. Jadi sebelum saya panggil security suruh mereka campak awak kat luar, baik awak pergi dari sini,”
            “Sayang…sayang….sayang ingat abang akan lepaskan lubuk emas ni, macam ni saja ke?,”
            Arisa mengeluh keras. Pantas tangannya mencapai telefon. Menekan nombor sambungan ke pondok pengawal.
            “Ops…ops…sabar dulu sayang. Sebelum sempat security sampai, nanti tak pasal-pasal satu office ni tahu yang Puan Arisa ni isteri gelap kepada Encik Zariff yang kaya lagi kacak tu… Sayang nak dia orang semua tahu ke?,”
            Pantas gagang terhempas semula ke telefon. Ugutan Radhi membantutkan tindakannya. Tidak cukup kuatkah dia menghadapi lelaki ini? Dia merengus geram.
            “So, cepatlah cakap dengan suami Risa yang tersayang tu, abang nak jumpa dia…,”
            “Awak nak apa dengan dia? Kalau nak peras ugut dia, jangan mimpi. Saya tak akan benarkan,”
            “Risa tak benarkan, tapi, belum pasti dia tak mahu menolong kan? Lebih-lebih lagi dia dah nak bertunang sekarang. Kan? Mesti dia tak mahu tunang dia tahu kalau dia dah kahwin. Dia juga mesti tak nak ibu kesayangan dia tahu dia dah berkahwin dengan seorang janda. Betul tak?,”
            Arisa diam. Langkah Radhi yang menuju ke arah bilik Zariff, dihalang segera.
            “Saya mohon tolong pergi dari sini. Sudah-sudahlah ganggu hidup saya,”
            “Abang ingat dengan kembali pada Risa, abang akan dapat apa yang pernah Risa berikan pada abang dulu. Tapi, rupa-rupanya ada tawaran yang lebih lumayan  menanti abang. Jadi, macam mana abang nak berhenti mengganggu Risa? Abang tak berdaya. Abang terpaksa juga ganggu hidup Risa. Maafkan abang ya, sayang…,”Radhi bersuara bersama gelak yang cukup sinis. Memandang wajah marah Arisa yang menghalang pintu. Tanpa mempedulikan Arisa di hadapannya, tombol pintu ditolak. Sebaik pintu terbuka, Arisa menolak tubuh itu. Tidak mahu Radhi menerpa masuk ke ruangan pejabat Zariff.
            “Wey..wey… apa ni? Risa? Apa ni?,”
            Arisa berpaling. Memandang Zariff yang sudah tegak berdiri di kerusinya. Akhirnya dia mengalah dan Radhi melangkah masuk dengan wajah yang cukup selamba.
            “What’s going on? Kenapa ni?,”Zariff bersuara lagi. Memandang wajah Arisa yang sudah memerah menahan marah. Juga pada Radhi yang selamba  melangkah sambil mata memandang sekeliling.
            “And.. you… apa kau buat kat sini?,”
            Mendengar sapaan Zariff yang langsung tidak kemesraan itu, Radhi tersenyum panjang. Memandang wajah  lelaki yang sering membuat dia hilang sabar itu.
            “Tak nak pelawa aku duduk?,”
            “Aku rasa kau lebih suka berdiri kot,”
            Radhi tergelak panjang.
            “Anyway…kalau masih belum terlewat…selamat pengantin baru ya…,”ujarnya bersama senyum yang cukup menyakitkan hati. Arisa mengerling sambil berdiri tegak di bucu meja. Memandang lagak Radhi yang dia pasti bukan hanya menyakitkan hatinya saja. Wajah tegang Zariff jelas memberitahu Zariff tidak senang dengan apa yang sedang berlaku.
            “Just straight to the point. Apa tujuan kau ni? Seriously aku tak ada masa nak layan semua benda rubbish macam ni,”
            “Tak nak tanya dari mana aku tahu semua ni?,”
            “Untuk orang tak guna macam kau, yang cuma tahu mengambil kesempatan pada orang…aku rasa, aku tak perlu tanya. So, just straight to the point,”
            Radhi menjongket bahu.
            “Aku nak imbuhan untuk aku. Believe me…aku ni seorang penyimpan rahsia yang sangat boleh kau percayai. Kau tak perlu risau. Rahsia kau tak akan bocor. Bakal tunang kau tak akan tahu kau dah berkahwin. Mak kau juga tak akan tahu yang menantunya seorang janda… Sayang kan? Lelaki yang memiliki semuanya ni, memilih seorang janda untuk jadi peneman malam…,”
            Arisa menggigit bibir. Penghinaan itu sedikit demi sedikit meremukkan hatinya. Mahu saja dia layangkan penampar ke pipi manusia yang tidak tahu malu itu.
            “Kau tak penat ke terus ganggu hidup Arisa?,”
            “Kalau banyak duit yang aku boleh  dapat daripada kau, mesti aku tak akan penat dia,”balas Radhi selamba. Zariff sudah menggenggam penumbuk. Melayan lelaki ini, memang mencabar sabarnya.
            “Get out from my office. Aku tak nak tengok muka kau. Bayang kau pun, aku tak nak tengok. Faham!,”
            “Jangan marah kawan. Beri saja apa yang aku nak, then aku akan pergi…,”
            Zariff merengus sambil mencapai buku cek. Menulis sesuatu dan kemudian ditarik cek itu sedikit keras.
            “Ini yang kau nak?,”soalnya sambil melayangkan sekeping cek di tangannya. Arisa tergamam. Pantas cek itu dirampas daripada Zariff.
            “Apa awak buat ni?,”soalnya marah. Tindakan Zariff benar-benar di luar dugaannya. Tidak percaya lelaki itu akan akur pada permintaan tidak masuk akal Radhi. Matanya bulat memandang angkat yang tertulis di dada cek itu.
            “Sepuluh ribu? Awak nak bagi duit sebanyak ni, pada lelaki tak guna ke? Awak ingat lepas ni, dia akan diam macam tu saja? Awak belum kenal lelaki pisau cukur ni. Awak jangan sesekali nak berurusan dengan jantan tak guna ni! Jangan! Saya tak akan izinkan awak senangkan lelaki tak guna ini!,”Arisa bersuara keras. Geram. Marah. Bukan hanya pada Radhi yang tidak faham bahasa tetapi juga pada Zariff yang terlalu menurut. Lelaki setegas Zariff boleh tunduk pada lelaki tidak berguna seperti Radhi.
            Zariff bergerak mendekati Arisa. Menarik Arisa ke pelukannya sambil mencapai cek di tangan wanita itu. Radhi cuma memandang bersama senyum mengejek.
            “Sayang…sayang… takkanlah suami sayang tu mampu nak menolak. Dia kena jaga reputasi dia. Sayang pun, takkan sanggup nak calarkan reputasi suami tu kan?,”
            “Diamlah Radhi!,”Arisa membentak geram. Cukup mual mendengar panggilan sayang daripada mulut Radhi. Memang lelaki itu sengaja mahu menyakitkan hatinya. Rangkulan erat Zariff bagai mahu menenangkannya.
            “Aku bagi kau cek ni, dengan satu syarat…,”
            “Apa syaratnya?,”
            “Jangan sesekali ganggu Arisa lagi. Aku tak nak tengok bayang kau pun dekat dengan Arisa. Kau ambil cek ni. Kau berambus dan jangan sesekali kau ganggu Arisa. Kalau aku dapat tahu kau ganggu dia lagi, aku tak akan bagi cek lagi. Aku akan bagi sesuatu yang lebih hebat dari cek ni!,”
            Radhi tersenyum panjang. Melangkah mendekati Zariff sambil menghulurkan tangan. Cek bertukar tangan dan dia memadang wajah Arisa yang mencuka di sisi Zariff.
            “Layan suami baik-baik tau. Jangan abaikan tanggungjawab sebagai isteri tu…tanggungjawab Risa penting untuk poket abang…,”
            Sebelum sempat menghabiskan kata-kata, kolar bajunya sudah direntap kuat. Membuat dia sedikit tercekik.
            “Aku tak mahu layan orang bodoh macam kau. Tapi, jangan paksa aku hantar kau ke hospital hari ni,”lantang Zariff bersuara sebelum menolak kuat cengkaman di leher Radhi. Membuat Radhi terdorong ke belakang. Sambil mengimbangkan tubuhnya yang hampir terjatuh, dia tergelak sinis.
            “Okaylah. Aku pun tak nak ganggu pengantin baru…,”dia bersuara sambil melipat cek di tangan kemudian dimasukkan ke dalam poket bajunya.
            “Tunggu dulu,”Arisa bersuara. Radhi menoleh.
            “Ada apa sayang? Nak cakap you love me ke?,”
            Arisa mendekat. Merenung wajah mengejek itu dengan hati yang cukup membara. Tajam dia merenung sebelum sekuat hati dia layangkan telapak tangannya ke pipi Radhi. Nyaring bunyi tamparannya cukup melegakan hatinya yang terbuku dek rasa marah dan benci. Tamparan yang menghapuskan senyum sinis di wajah Radhi. Perlahan dia menggosok pipinya yang terasa perit.
            “Kau!,”
            “Sepatutnya saya dah bagi itu semua setahun yang lalu!,”
            Radhi menggetap bibir. Spontan tangannya diangkat tinggi. Sebelum sempat jatuh ke pipi Arisa, terlebih dahulu disanggah oleh tangan Zariff. Serentak dengan satu tumbukan ke mukanya. Terus membuat Radhi jatuh terduduk.
            “Aku dah cakap jangan cabar aku!,”
            Radhi berusaha bangun sambil menyentuh bibirnya yang sudah terasa pedih. Belum pun hilang perit tamparan Arisa, kini, bibirnya berdarah dengan tumbukan Zariff. Setelah berdiri semula, dikesat bibirnya yang mula berdarah.
            “Kau berdua dah hutang aku. Tunggulah balasan nanti!,”
            “Berambus. Dan jangan muncul lagi di hadapan Arisa. Jangan ingat aku main-main!,”
            Radhi mungundur perlahan sambil mengangkat tangan tanda satu ugutan. Berdentum pintu ditutup membuat Arisa tersentak. Satu desahan nafas dihela panjang. Kebas tangannya yang menyentuh pipi Radhi bagai tidak terasa. Namun, sentuhan lembut Zariff di jemarinya menarik perhatian.
            “Sakit? Kuat betul you tampar dia…,”Zariff bersuara sambil mengusap lembut jemarinya. Arisa merengus marah.
            “I am sorry. Daripada ganggu saya, sekarang dia dah libatkan awak sekali. Saya malu dengan apa yang berlaku,”
            Zariff tersenyum kecil. Merenung wajah Arisa yang masih mencuka.
            “Arisa…berapa kali I cakap, you tak boleh handle ini semua sendirian. Apa salahnya you minta bantuan dari I?,”
            “Awak dah bantu pun. Kan? Awak ingat dia akan pergi macam tu saja dengan cek sepuluh ribu awak tu? Awak tak kenal dia. Nanti dia akan gunakan rahsia ni, untuk terus minta duit dari awak. Tahu tak? Kenapa awak bagi duit pada dia?,”
            “Sebab I tak mahu dia ganggu you lagi. Dia boleh terus datang pada I… next time. Dan, tahulah apa I akan buat pada dia…,”
            “Saya kurang selesa dengan semua ni…,”
            “Sebab tu I cakap you kena pindah. Stay away daripada lelaki tu. I tak suka dia ganggu you. Faham?,”
            Arisa bungkam. Cuma matanya merenung wajah Zariff. Sekali lagi Zariff berhabis untuknya.
            “Awak tak rasa ke, dah sampai masanya kita akhiri semua ni?,”dia bersuara perlahan. Senyum Zariff hilang perlahan-lahan. Perlahan dia bersandar pada meja. Menarik Arisa rapat padanya.
            “What do you mean?,”
            “Kita tamatkan hubungan kita. Nabila tak akan tahu hubungan kita. Mak awak pun tak sempat nak tahu apa-apa. Saya tak mahu Radhi terus ambil kesempatan atas rahsia ni. Semua ni akan jadi satu beban pada awak nanti. Masalah saya bukan untuk awak tanggung,”
            “You dah jadi sebahagian daripada hidup I. Kenapa I tak boleh sama-sama tanggung masalah you?,”
            Arisa mengeluh lemah. Menolak pelukan Zariff perlahan.
            “Sampai bila awak nak teruskan semua ni? Semua ni patut ditamatkan. Dah lebih enam bulan kan? Mesti awak mahu sesuatu yang baru. Yang lebih baik dari saya, kan? Buat apa nak peningkan kepala dengan semua ni?,”
            Zariff mengeluh perlahan. Bergerak meninggalkan Arisa. Dengan lemah dia melabuhkan punggung ke kerusi. Merenung wajah Arisa yang tidak berperasaan.  Satu reaksi yang cukup mengecewakannya. Arisa tetap tidak mahu melihat kesungguhannya dalam meneruskan hubungan ini.
            “Arisa…you tak nampak ke, I ni benar-benar serius dalam hal ni? I serius dengan hubungan kita ni…,”
            “Nampak. Saya nampak. Awak sanggup beri sepuluh ribu pada Radhi semata-mata nak menutup perkahwinan ini. Tidak mahu reputasi awak tercemar apabila ada yang tahu awak mengambil seorang janda menjadi isteri awak. Sebab kesungguhan tu, saya rasa baik kita tamatkan saja. So that, awak boleh teruskan hidup awak dengan tenang. Tanpa gangguan lagi…,”
            “And you…?,”
            Arisa menjongket bahu.
            “Saya akan teruskan hidup saya…,”
            “Adik-adik you? Macam –mana you nak pastikan mereka boleh jalani hidup dengan sempurna?,”
            “Itu tanggungjawab saya sebagai seorang kakak…,”
            Zariff mengeluh perlahan.
            “Takkan you nak berkahwin dengan seorang lagi lelaki yang boleh memberi sumber kewangan pada you?,”
            Arisa mengangkat muka. Merenung tajam wajah Zariff. Terhina dengan kata-kata yang baru meniti di bibir lelaki itu.
            “Awak lebih tahu kenapa saya terpaksa setuju dengan cadangan gila awak ni! Jadi awak tak layak nak hina saya macam tu! Awak tak layak. Faham?!,”
            Zariff terpana. Menyedari lidahnya sudah tersilap menyusun kata. Arisa sudah melangkah laju menuju ke pintu.
            “Arisa! I am sorry. I tak bermaksud nak…,”
            Sebelum habis kata-katanya, sekali lagi pintu berdentum kuat.
            “Bodohnya kau Zariff…,”dia berbisik geram. Meraup wajahnya sambil mengeluh geram. Sungguh dia tidak bermaksud untuk memberi kata-kata sesinis itu pada Arisa. Pantas dia mengangkat punggung. Laju menuju ke arah pintu. Daun pintu dibuka dan laju menapak ke ruangan Arisa.
            “Arisa…,”
            Arisa berpaling.
            “Encik Zariff, wakil dari syarikat supplier  kita dah sampai. Saya baru nak inform tadi…,”
            Zariff tersenyum kelat. Fokusnya pada Arisa membuat dia tidak menyedari ada kelibat lain di sebelah Arisa.
            “Encik Zariff…How are you?,”
            “Hai Miss Lim…I’m fine. Thank you. So, silakan masuk. Kita discuss di dalam,”
            Wanita Cina yang anggun berbaju merah itu tersenyum sambil mengangguk. Zariff memberi laluan untuk wanita itu memulakan langkah sementara dia mengekori dari belakang. Sambil melangkah dia berpaling.
            “I am sorry, sayang….,”bisiknya perlahan sambil merenung wajah Arisa yang kembali mencuka. Arisa membuang pandang. Namun, tergelak halus apabila Miss Lim terjerit kecil dan Zariff laju memohon maaf.
            “You nak goda I ke, Mr Zariff?,”
            Zariff tergelak sumbang. Dalam mengundur dia terlanggar tubuh Miss Lim yang berhenti di hadapan pintu biliknya. Satu kemalangan kecil yang cukup memalukan.
            “Sorry Miss Lim. I betul-betul tak nampak…,”
            Miss Lim tergelak besar.
            “What ever lah young man…,”
            Zariff tersengih. Pantas daun pintu dibuka. Miss Lim melangkah masuk dan dia sekali lagi berpaling mencari wajah Arisa. Merenung wajah itu seketika. Tawa Arisa mati perlahan-lahan. Renungan Zariff cuba dia abaikan. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi. Mengerling ke arah Zariff dan renungan itu masih menikam wajahnya. Membuat jiwanya bergetar halus. Tidak tahu apa yang harus dia lakukan, segera dia mencapai stapler tanpa tujuan tertentu. Zariff tersenyum menggoda. Dan, saat satu kenyitan Zariff hadiahkan padanya, stapler di tangan terjatuh tiba-tiba. Giliran Zariff pula tergelak halus sambil menutup pintu. Arisa menekan dada, menahan degupan jantung yang tiba-tiba menggila.

****

22 comments:

hajar said...

best3... dan best sgt2... :)

keSENGALan teserlah.. said...

alalalaa. arisa terlalu independant.
tak nampakkah zariff betul2 syg kat dia?
ngeeeee.
nak lagi.

NJ said...

best la zariff ni.
arisa, tak payah la berpisah dengan zariff...
zariff dah syg sgt kat arissa...

hana_aniz said...

mini novel ni cam nak jadi novel panjang je. huhu.. tak mo lahh.. terseksa nak nunggu. hukhuk

cactaceous opuntia said...

arisa..plizla terima zariff..ala..bile rncgn mak zariff nk start tu..hadoi...

miznza84 said...

best sangat,,
sambung lagi kak

fatim fatimah said...

best,,sweet jer zariff tuh

smbung cepat lg

aqilah said...

arisa....arisa... .......apapun, besttttttttttttttttt!!!!!!
i followwwwwwwwwwwwwwwwwwwww

Unknown said...

bencinye kt radhi 2!!!!

IVORYGINGER said...

sweet la Zariff ni. dia ada ja cara nk bt Arisa tpikat kat dia. Tgk skrg hati Arisa pun dha bgetar bt Zariff. Hope pkahwinan mereka bkekalan. Lgpun Mak Zariff just marah Zariff kahwin tak gtau dia bukannya dia xsetuju dgn pilihan Zariff tu. Ni gara-gara sikap Zariff yg playboy dl lah ni. Klu lah dia perkenalkan properly kat mak dia xdenya Mak dia nk bt plan btunang bgai tuk testing smaada Zariff nk inform dia nk kahwin ke lum. Apapun mmg best. hope kak Hani sambung lg ceta ni cepat2x. ;D

Anonymous said...

sukenye.....

just KD said...

rase nak lempang2 jer radhi tu..err,smbg lg ye..

faiicie said...

seronoknya bc kak hanni...
mcm real pulak kan...mmg best sgt2!

♥cikredjambu♥ said...

geram gile ngan radhi 2..
cian sgt kt arisa...
kak hanny cepat2 sambung ek...Biarlah YM Terus Berbicara plak ble nk sambung???xsabar2 nk bc 2-2 citer nie...

syahsulaiman said...

sgt2 best...

Anonymous said...

best la cte ni..awl2 dh noty2..hahaha..cpt smbg tau kak! :))

Anonymous said...

best2.. sambunglah lagi...

Anonymous said...

best10x.bila nak sambung?I imagine bila baca cerpen ni,watak arisa tu adalah fazura dan watak zariff adalah aqasha(mila dan tuah)dlm bicara cinta.ideal sangat.

Anonymous said...

watak radhi sesuai utk beego(reza dlm ezora & bicara cinta)puan zahra pula rozie othman(datin faridah dlm mentua vs menantu)ati-erin malik @elfira loy.dafi-fimie don.

Hafia Hana said...

kak hanni
sambung la lg

hud said...

kak hanni, bila lagi nak ada entry baru? dah 8juta kali bukak page akak ni.. (ok, tipu) :D

Anonymous said...

BEST sgt.... cpt samb..ya

[11:35:50 PM] hos.getah: