Manik hujan kian kasar. Coklat tanah yang berdebu dek terik panahan matahari sejak dari pagi, kini kian berubah warna. Perlahan-lahan titis-titis air dari perut langit itu kini meresap jauh ke dasar bumi. Membasah segenap tanah yang kontang seketika tadi. Aroma cantuman antara titis hujan dan debu tanah, membuat deria baunya menghela nikmat. Dia suka bau itu. Haruman itu begitu asli. Begitu dekat dengan jiwanya. Begitu serasi dengan hatinya. Begitu nostalgia dengan mindanya.
“Aku mahu menjadi titis hujan…,”
“Kenapa?,”
“Kerana walau jauh terpisah, akhirnya tempatnya di sini. Tempatnya tetap pada tanah yang setia menanti…,”
“Akukah tanah itu…?,”
Senyum panjang menjawab soalan itu. Senyum panjang yang membawa pergi sekeping cinta hatinya. Senyum panjang yang menjadi guru pada lautan rindunya. Kadang-kadang deru lembut ombaknya, bahagia membelah hati. Kadang-kadang dalam dasar resahnya membuat dia kelemasan sendiri. Mahu atau tidak, dia harus akur. Dan, dia terus akur. Kegagalannya tidak boleh menjadikan sekeping hatinya keras dek rasa cinta. Tidak mungkin dia seret bersama cinta hatinya yang sudah jelas bakal mencapai gemilang di hujung usaha, ke lembah gagal bersamanya. Kekasih hatinya bagaikan wap-wap air di danau indah yang perlahan-lahan meniti udara menuju ke awan nan tinggi.
Dan, dia…? Entah di mana silapnya dia terdampar di lopak kegagalan ini. Terus rebah mencium bumi. Terus menanti gumpalan kejayaan menurunkan titis gembira yang akan hadir bersama nyaman tiupan kasih cinta hatinya. Terus menanti titis hujan yang bakal menyatu pada debu tanah yang tidak jemu menadah langit. Tidak pernah tahu penat walau masa sudah menginjak terlalu lama. Walau penantiannya sudah seperti satu penantian yang sia-sia. Walau titis rindu yang mengalir di pipi menjadi teman tidurnya kini seakan kontang.
“Akukah tanah itu?,”desisnya tanpa sedar tatkala melihat tanah kering sebentar tadi kini sudah berlopak. Matanya terus merenung. Seketika mendongak. Memandang langit. Melihat terjahan jarum-jarum hujan seakan mahu menembusi dada bumi.
“Kalau aku tanahnya, baru dapat aku rasa sakitnya terjahan jarum hujanmu…,”dia berbisik lagi. Terus merenung langit yang masih juga kelabu. Bergerak pada titis-titis lebat yang kini mengalun lagu hujan. Dan mati pada tanah yang sudah berlopak.
“Dan kini, kau terus jauh dari aku, Wan…,”
“Sudah-sudahlah kau jadi penunggu hujan,”
Suara itu bukan lagi asing. Tanpa berpaling mencari wajah pun, dia sudah mampu melukis setiap garis dan sudut pemilik wajah itu.
“Sampai bila kau mahu terus hidup begini? Sampai bila perlu menjadi hamba pada perasaan yang tidak punya nilai itu?,”
Dia terus mengunci dua ulas bibirnya. Tidak mahu melayan kata-kata yang terus meluncur laju dari bibir itu. Perlahan dia mengangkat punggung. Mahu berlalu dari beranda itu. Mahu mengunci diri di dalam kamar sepi. Mahu lari dari suara sumbang yang tidak jemu mendepaninya dengan seribu amarah. Dengan seribu geram.
“Tunggu!,”
“Aku tetap dengan keputusan aku. Aku tak akan terima lelaki lain dalam hidup aku,”
“Berbaloi ke?,”
Dia berpaling. Melawan renungan tajam dari seorang teman. Teman yang setia mendengar rintih pilunya selama ditinggalkan pergi.
“Anak dia dah nak masuk dua, Dhuha. Dan lagi, sekali pun dia tidak pernah jengahkan muka di sini selama dia pergi. Apa lagi yang kau tunggu?,”
“Aku tahu dia akan pulang ke sini juga. Dia akan pulang pada aku, Mas,”
“Kalau dia pulang pun, apa gunanya pada kau?,”
Soalan itu membuat dia kehilangan kata-kata. Betul kata temannya itu. Apa gunanya kepulangan sang kekasih hati yang kini sudah menjadi milik orang lain? Sang kekasih hati yang ingkar pada ikrar janji sendiri. Meninggalkan dirinya terus terkurung di dalam sangkar cinta yang mula menjadi belati melibas tiap sudut hatinya. Pedih. Sakit. Namun tidak berdaya. Sungguh dia tiada upaya untuk melangkah keluar daripada sangkar itu. Untuk menangisi perbuatan sang kekasih hati pun, dia sudah tidak berdaya.
****
“Aku mahu menjadi hujan…,”
Dia tersentak. Matanya yang sedari tadi leka pada titis hujan yang jatuh ke atas jalar tar yang keras, kini teralih. Teralih pada suara di belakangnya.
“Kerana walau jauh terpisah, akhirnya tempatnya di sini. Tempatnya tetap pada tanah yang setia menanti…,”balasnya tanpa dia sedar.
“Betullah. Mana aunty tahu?,”
Sekali lagi dia terkesima. Senyum manis gadis kecil di hadapannya direnung tanpa suara. Tidak berkelip matanya meneliti wajah mulus itu. Terlalu lama rupanya ungkapan itu bersarang di dasar mindanya. Kini ungkapan itu meniti di bibir gadis kecil yang mungkin sekitar sebelas atau dua belah tahun umurnya. Bermakna seusia itu juga dia hidup bertemankan ungkapan itu. Tempoh masa membawa dia jauh ke sini. Namun, mindanya tetap terbelenggu dek rasa yang sama. Terkurung dalam panahan cinta sia-sia.
“Papa. Aunty ni tahu puisi papa…,”
Minda yang mula menganyam kenangan, terganggu semula. Kali ini bersama debar yang menggila. Mula memproses kemungkinan yang menakutkan. Perlahan pandangannya mencari kelibat susuk badan yang tercegat di hadapannya kini. Kemungkinan yang bagai sudah dia jangka. Spontan dia mengangkat punggung. Walau cintanya masih seteguh gunung, wajah ini bukan wajah yang mahu dia lihat. Wajah ini terlalu banyak mengajarnya erti duka dan erti sengsara. Wajah ini membuat dia kehilangan hampir keseluruhan hidupnya. Wajah ini memaksa dia mengutip semula keping-keping semangat yang tercicir di balik kantung cinta abadinya. Bersama sisa semangat yang sedikit itu, dia mampu berdiri menepis lara. Dia mampu menjadi seorang Dhuha yang tidak sempat gila kerana cinta.
“Dhuha…,”
Pandangannya diangkat. Aneh. Sudah berbelas tahun air matanya kering. Namun, sebaris namanya yang meniti di bibir lelaki itu, membuat juraian air matanya selebat hujan yang menggila di luar restoran.
“Beritahu papa awak, terjahan jarum hujan yang kembali pada pasir yang setia, menjadi belati kejam yang membunuh sekeping jiwa merindu,”
“Dhuha tunggu,”
Air mata yang laju mengalir diseka perlahan. Langkahnya terus maju tanpa mempedulikan panggilan berkali-kali di belakangnya. Cintanya terlalu menyakitkan. Membalas renungan lelaki itu, membuat dia benar-benar sedar. Cintanya teramat menyakitkan.
****
“Kau marah pada aku, Mas?,”
“Aku kasihankan abang aku. Kadang-kadang aku rasa bodohnya perasaan cinta itu…,”
“Maksud kau?,”
“Abang aku tak pernah jemu menunggu kau, sama seperti kau yang tak pernah jemu menunggu Wan,”
“Aku tak tunggu dia,”
“Kalau kau tak tunggu dia, kenapa kau berada dalam bilik ni? Bukankah kau sedang menunggu cinta hati kau datang sarungkan cincin ke jari manis itu?,”
“Mak aku beritahu ada rombongan yang mahu meminang. Aku pula sudah penat mahu menolak,”
Senyum pahit temannya membuat hatinya tidak keruan.
“Kenapa Mas?,”
“Mungkin jodoh kau memang dengan Wan. Mungkin nasib Abang Razif aku yang tetap akan malang…,”
“Maksud kau…,”
Mas berpaling muka. Dia pula disapa hiba. Temannya itu sedang sembunyi tangis.
“Abang Razif kau di mana?,”
“Pasti di samping teman baiknya. Wan hantar rombongan meminang bila abang aku beritahu kau masih belum berkahwin,”
Segera dia bingkas dari duduknya. Jantung sudah terasa bagai mahu jatuh ke lantai. Ini bukan calang-calang berita. Ini bukan sesuatu yang dia jangka. Suara-suara tetamu di luar sedikit riuh. Membuat hatinya semakin menjadi tidak tentu hala. Ada rombongan meminang untuknya. Dan, rombongan itu daripada Wan? Tidak mungkin. Pintu bilik terkuak. Dia pula terduduk lesu.
“Dhuha… setuju ke kalau mak terima pinangan ni?,”
****
“Sampai bila mahu terus direnung pada titis hujan itu?,”
Dia berpaling. Tersenyum sedikit kemudian berpaling semula mengadap titis hujan yang jatuh ke bumi.
“Dhuha melihat hujan di langit. Mengharap kering debu bakal basah dengan titisnya. Tapi, Dhuha lupa ada danau tenang di sebelah kontang tanah itu yang sentiasa memberi sejuk di dasar walau permukaannya nampak berdebu,”
“Ada watak baru ya,”
Dia mengukir senyum lagi. Kali ini lebih lebar. Lebih ikhlas.
“Watak lama sebenarnya. Watak yang Dhuha tidak pernah sedar. Tidak pernah sedar rupa-rupanya danau itulah yang banyak memberi kekuatan pada Dhuha. Bukan titis hujan yang nampak indah berkilau di atas sana, namun, percikannya menyakitkan bila menghempas bumi,”
“Kenapa tidak dia?,”
Satu keluhan dihadiahkan pada satu soalan itu. Dia berpaling mencari bibir yang mengajukan soalan.
“Terlalu menyakitkan bang. Tidak mungkin Dhuha akan terima orang yang buang Dhuha berbelas tahun lamanya tanpa sebarang alasan. Dan, atas alasan cinta konon, dia datang semula untuk kutip sisa hidup yang telah dia sia-siakan.,”
“Juga Dhuha tak pernah terima abang selama dia menyeksa Dhuha dengan cinta agungnya itu,”
Kata-kata itu mengunci bibirnya. Memandang wajah Razif yang tenang merenungnya.
“Abang yang hidupkan Dhuha semula. Kalau abang masih sudi terima Dhuha, hanya abang yang layak untuk Dhuha. Kalau abang pun sudah penat mahu menunggu Dhuha, Dhuha sanggup sendirian sampai ke hujung nyawa,”
“Danau ini tetap setia di sisi. Tidak akan pernah ke mana-mana,”sedikit senyum menemani bicara itu. Dia tersenyum. Melihat hujan yang mengiringi rombongan meminang yang telah dia tolak.
****
TAMAT....
9 comments:
as usual....mantop...
puitis...thumbs up..
best...puitis dan mengesankan
lain dARIPada yg lain nih kak..
sambung lagi kak...
myeha
sambung laa lg kak hanni...best nih...
simple... padat... bahasa yang indah...
best lah...
Aduhhh...simboliknya kata-kata dia..suka sangat...best.
as usual..best..!
setuju... puitis, padat & mantap.
BRAVO hanni!!!
Post a Comment