Wednesday, December 9, 2009

Mimpi Yang Mati 7


Wajah merah menyala ibunya dipandang sekali lagi. Hatinya tetap keras. Tetap tidak suka akan paksaan itu. Dia paling benci apabila diarah itu dan ini. Dan paling pantang apabila soal jalan hidupnya, ditentukan oleh orang lain sewenang-wenang. Walaupun orang lain yang dimaksudkan itu adalah ibunya sendiri. Bukan niat mahu melawan. Jauh sekali mahu menjadi anak derhaka. Namun, permintaan ibunya terlalu mustahil di telinganya. Langsung tidak boleh dicerna oleh akal warasnya. Dengan geram dia bangkit dari sofa. Tidak mahu mendengar lagi segala rancangan mengarut itu.
“Duduk!,”
Bentakan itu membuat dia terduduk semula. Terkedu seketika. Memang mulut ibunya sering bising dengan leteran. Namun, terasa leteran kali ini melangit dengan marah ibunya. Wajahnya mula kelat. Sekelat wajah ibunya.
“Ini keputusan mak,”
Dia tercenggang. Suara yang meniti di bibir ibunya seperti tidak berperasaan.
“Mak.. ini kan soal hidup Maya. Mana boleh mak buat macam ni. Mak tak kenal Ameer. Tapi, Maya kenal Ameer tu. Kenal sangat. Maya tak bodoh nak masuk dalam mulut buaya macam tu saja,”
“Apa kamu cakap ni? ,”
“Ameer tu playboy. Kaki perempuan. Dia tukar perempuan macam tukar baju. Mak tahu tak? Takkan mak sanggup nak kahwinkan Maya dengan lelaki macam tu?,”
“Mak tak percayalah. Kamu saja buat alasan kan? Saja mereka cerita. Apa kena dengan kamu ni? Kamu nak cari lelaki macam mana lagi? Tiba-tiba jual mahal pulak,”
Kata-kata itu disambut dengan satu keluhan panjang.
“Reka cerita apa pula mak. Kekasih dia tu, jiran Maya. Tiap-tiap minggu maya nampak dia datang rumah perempuan tu. Bermalam kat sana. Lepas tu, dia tinggalkan perempuan tu macam tu aje. Kawan –kawan Maya pun selalu cerita terserempak dengan dia. Keluar dengan macam-macam jenis perempuan. Orang macam tu, mak nak buat menantu? Tak nak Maya tempah bala macam tu. Mak jangan paksa Maya ya,”
“Kalau dia nak main-main, dia tak akan datang jumpa mak. Tak akan datang minta izin nak peristerikan kamu. Dia dah berubahlah tu,”
“Berubah? Mak ni, kenapa? Nak sangat terima Ameer tu, kenapa? Mustahil dia boleh berubah mak”
“Sebab mak tahu dia ikhlas nak ambil kamu jadi isteri. Kalau dia nak main-mainkan kamu, takkan dia datang jumpa mak. Lagipun, ini rezeki kamu Maya. Dapat suami kaya. Lawa,”
“Ha ahlah akak ni. Jual mahal sangat. Apa yang kurang kat Abang Ameer tu? Bodohlah akak, kalau akak tolak Abang Ameer tu, tau,”adiknya menyampuk tiba-tiba.
“Kalau Ikin nak, Ikin ambillah,”balasnya sedikit geram.
“Kalau Abang Ameer tu ajak Ikin yang kahwin dengan dia, berhenti sekolah pun Ikin sanggup, tahu! Masalahnya Abang Ameer tu nak kahwin dengan akak, bukan dengan Ikin,”
“Itu baru bodoh. Sebab lelaki sampai nak berhenti sekolah,”
“Dah dapat suami kaya, hensem giler pulak tu. Nak sekolah buat apa lagi? Duit dah berlambak. Kerja kita, habiskan duit suami ajelah. Betul tak mak?,”
“Ha… betul cakap adik kamu tu. Kenapa kamu tak fikir macam adik kamu fikir hah? Dah ada peluang nak hidup senang, ambil ajelah,”
“Senang bagi Maya bukan kahwin dengan orang yang kaya raya. Bukan harta..bukan rupa yang tentukan kita bahagia atau tak. Lagipun, hidup Maya sekarang ni pun, dah senang. Dah tak payah nak bergantung dengan sesiapa. Dengan kerja Maya, InsyaALLAH Maya dah boleh tanggung mak dengan Ikin. Tak perlu semua tu mak, kalau nanti masa depan kita gelap. Mak cakap dengan Ameer, Maya tak nak. Maya tak nak hidup dengan lelaki macam Ameer,”
“Keputusan mak muktamad. Kamu kena kahwin dengan Ameer,”
“Mak!,” dia menjerit kuat. Geram. Sebal! Kata-katanya. Ceritanya tentang Ameer sedikit pun tidak mengubah pendirian ibunya. Sungguh dia hairan dengan sikap ibunya itu. Apa yang telah Ameer buat pada ibunya?
“Maya tak nak,”
“Kamu kena kahwin dengan Ameer. Kamu anak mak. Kamu mesti dengar cakap mak!,”
“Mak tak ada hak nak tentukan jalan hidup Maya. Tolonglah mak. Soal jodoh, biarlah Maya sendiri yang tentukan,”
“Siapa kata aku tak ada hak? Masa kau kecil, siapa yang bagi kau makan? Siapa yang sekolahkan kau? Siapa yang bersusah-payah cari duit ke sana sini, semata-mata nakan kau sambung belajar ke university? Siapa yang jaga kau sejak bapak kau meninggal? Siapa?,”
Dia terdiam. Ibunya sudah mula mengungkit. Sesuatu yang tidak pernah keluar dari bibir tua itu, hari ini meluncur laju. Keras dan sinis. Barangkali semua itu berpunca dari sikapnya yang sedikit menentang. Namun, ungkitan itu tetap di luar jangkauan akalnya.
“Mak mengungkit?,”
“Memang aku mengungkit. Aku ada hak buat keputusan untuk anak aku. Faham!,”
Dia menelan liur.
“Mak sanggup tengok Maya tak bahagia?,”sayu soalan itu meniti di bibirnya. Membuat wajah keras ibunya sedikit mengendur.
“Mana kamu tahu kamu tak bahagia? Ameer bersungguh-sunggih nak kahwin dengan kamu. Mak tahu kamu mesti bahagia,”
“Tapi, Maya tak suka dia. Macam mana Maya nak kahwin dengan dia? Tolonglah mak. Untuk soal jodoh, biarlah Maya yang tentukan,”
Rayuannya dipandang sepi. Wajah ibunya yang berpaling menghadap jendela dipandang. Satu keluhan kecil dari bibir ibunya membawa debar panjang di hati.
“Kamu nak tentukan sendiri jodoh kamu, kamu bukan lagi anak mak,”
Dia terkedu.
“Kamu ingkar pada permintaan mak ni, tak halal susu mak pada kamu,”
“Mak!,”tanpa sedar dia separuh menjerit. Air mata tiba-tiba melaju membasahi pipi. Kerana Ameer ibunya sanggup mengeluarkan kata-kata itu? Sungguh dia kehilangan kata-kata. Dan, sungguh saat itu hatinya semakin tawar pada pemilik nama Ameer Ferhad!
“Maya?,”
Dia tersentak. Memandang sekeliling, Wajah ibunya menghilang. Senyum panjang adiknya juga sudah tiada. Yang ada cuma wajah Ameer yang tajam merenungnya.
“Banyak kali abang panggil. Tak dengar pun,”
Senyum mula terukir di bibirnya mendengar rungutan itu. Perlahan dia mengangkat punggung dari katil. Senja sudah merangkak ke malam rupanya. Dan, dia terlalu leka dengan kenangan lalu. Pantas jemarinya menekan suis di dinding. Ruang bilik yang suram terang serta-merta. Dia berpaling semula mencari wajah Ameer.
“Dah lama abang balik? Maaflah. Maya tak sedar langsung,”
Ameer tersenyum.
“Macam mana nak sedar. Panjang betul menungnya,”balasnya sambil mencampak kot ke katil. Kemudian merebahkan diri di situ. Laila tersenyum kecil.
“Awal abang balik. Baru pukul lapan,”
Mata yang hampir terpejam dibuka perlahan. Merenung wajah Laila yang tercegat di hujung katil.
“Tak suka abang balik awal?,”
“Hurm… tak kot…,”
Buntang mata Ameer merenungnya. Membuat dia tersengih panjang. Banyak yang dia fikirkan tentang Ameer sejak apa yang terbuku di hatinya tentang lelaki itu, dikongsi bersama teman laman sembangnya. Teman tidak bernama. Yang dia kenal cuma satu ID yang sering muncul menyapanya. Kalau pun ID itu satu nama, cuma Razz nama yang mampu dia berikan pada temannya itu.
“Tak suka?,”
Laila sedikit tersentak mendengar soalan itu. Dia sempat melamun lagi. Dalam senyum dia mengangguk. Memandang wajah Ameer yang jelas sedang kehairanan. Juga disapu sedikit riak geram.
“Kenapa tak suka abang balik awal pula? Balik lewat bising. Balik awal tak suka? Tak penat ke Maya nak cari pasal dengan abang?,”
“Siapa yang nak cari pasal?,”
“Kalau bukan cari pasal. Apa namanya tu?,”
“Memang bukan cari pasal pun. Cuma…takut,”
“Takut?,”soal Ameer hairan. Kata-kata Laila memang mampu membuat hatinya sakit. Namun, melihat bibir itu terukir senyum sejak dari tadi, bagai betul pula kata Laila. Isterinya itu bukan sengaja mencari topik untuk bertengkar.
“Ya. Takut. Takut nanti terbiasa pula. Takut nanti Maya resah bila abang mula pulang lewat semula,”selamba kata-kata itu meniti di bibir Laila. Dengan nada sedikit bercanda. Membuat bibir Ameer pula merkah dengan senyuman. Pandai Laila mempermainkan perasaanya. Geramnya yang mendongkol seketika tadi, kini berganti bahagia. Bahagia mendengar kata-kata kiasan yang agak sering meniti di bibir Laila kebelakangan ini. Bagai dapat dia rasakan, Laila belajar bermain perasaan dengannya. Laila cuba membuang kebekuan dalam perkahwinan mereka. Barangkali Laila serius dengan kata-katanya tempoh hari.
“Please ya bang. Kalau pun abang nak bohong, at least abang jangan bohong depan Maya. Nanti , lagi susah Maya nak belajar suka dengan abang…,”
“Maya mahu terima abang?,”
“Maya tak suka bohong. Maya tak nak bohong. Tapi, Maya mahu cuba,”
Kata-kata itu cepat terisi di mindanya. Membuat matanya terus melekat pada wajah Laila yang selamba.
“Come…,”dia bersuara perlahan sambil menghulurkan tangan. Laila akur. Melabuhkan punggung di sisi suaminya yang bersandar di kepala katil. Membiarkan sebelah tangan Ameer melingkar pinggangnya.
“Apa yang Maya menungkan tadi?,”
Laila diam. Memandang wajah Ameer. Kemudian menggeleng perlahan.
“Mustahil tak ada apa-apa. Sampai langsung tak sedar abang masuk. Apa dia? Cakaplah. Abang nak tahu abang yang sedang bermain di kepala isteri abang ni,”
“Betul abang nak tahu?,”
“Yes,”
“Tak menyesal nanti?,”
Ameer menggeleng.
“Maya teringat betapa bencinya Maya kat abang,”
Ameer mengeluh perlahan.
“Menyesal abang desak,”
Mendengar kata-kata itu Laila tergelak kecil. Mendongak mencari wajah suaminya.
“Mak sanggup nak buang Maya kalau Maya tak nak kahwin dengan abang. Sanggup tak nak mengaku Maya anak dia,”
“Itu abang dah tahu. Sampai Subuh Maya marahkan abang pasal tu, masa malam pertama kita dulu,”
Bulat Laila jegilkan mata.
“Mana ada sampai Subuh?,”
Ameer tergelak kecil. Dan, Laila tersenyum cuma.
“Tapi, sepatah pun abang tak jawab. Kan? Abang biar Maya cakap sorang-sorang. Abang diam sampai Maya tertidur,”sambungnya perlahan.
Ameer tersenyum kecil. Selain daripada berdiam diri, apa lagi yang mampu dia lakukan? Mustahil dia akan menjawab. Mustahil dia akan berterus-terang tentang akaun ibu mertuanya yang terisi dua puluh lima ribu ringgit semata-mata dia mahu pinangannya diterima. Mustahil dia mahu membakar lagi amarah Laila di malam perkahwinannya.
“Mula-mula kenal Maya pun, abang kena marah juga kan? Abang suka bila Maya marah abang. Sebab tu, abang diam. Dengar saja marah Maya tu,”dalihnya sambil mengelus jemari Laila di dalam genggamannya.
“Betul-betul ke abang cintakan Maya?,”perlahan soalan itu meniti di bibir Laila.
“Hanya bila nyawa terpisah dari badan, cinta abang pada Maya mungkin akan mati,”
Laila berpaling. Membalas renungan redup suaminya.
“Maya tak nak dengar sumpah begitu. Maya cuma nak pengakuan jujur dari abang saja,”
“Itulah yang sejujurnya Maya. Apa yang abang cakap bukan main-main,”
Laila diam. Tunduk mencerna kata-kata itu. Memang kata-kata indah sebegitu tidak asing padanya. Sejak dari dulu pun, pujuk rayu Ameer tidak pernah hilang hebatnya. Kata-kata manis yang membuat dia terus gerun menanggapi cinta Ameer.
“Kalau Maya jatuh cinta pada abang, abang mampu cintakan Maya seorang saja?,”dia bersuara lagi. Mencari kepastian dalam samar. Sepi. Soalannya tidak berjawab. Sekali lagi dia mencari wajah itu.
“Kenapa abang diam?,”
“Terkejut,”
“Terkejut?,”
“Maya cakap pasal nak jatuh cinta dengan abang. Macam mimpi,”
“Maya serius. Soalan Maya bukan main-main,”
“Selama ni pun, cinta abang memang untuk Maya. Cuma pada Maya,”
“Kawan-kawan perempuan abang tu? Siapa mereka pada abang?,”
Ameer diam lagi. Kejutan demi kejutan dia terima dari Laila malam ini. Rangkulan di pinggang Laila mula melonggar. Dari bersandar, dia bergerak mengubah letak duduknya. Kakinya dibiarkan berjuntai menyapu karpet baldu yang dingin. Mancari-cari jawapan untuk soalan Laila. Laila pula diam di sisinya. Diam Laila mengharapkan jawapan. Dia tahu itu.
“Lupakan pasal tu?,”pintanya lembut.
Laila tersenyum kelat.
“Tak boleh bang. Mustahil seorang isteri boleh lupakan macam tu saja kecurangan suami sendiri,”
“Maya…,”
“Abang… kita sama-sama dah dewasa. Maya tahu. Abang pun tahu Maya tahu. Sekarang Maya cuma nak tahu, siapa mereka pada abang?,”
“Bukan sesiapa,”
“Untuk apa abang bersama mereka?,”
Ameer mula mengeluh. Untuk apa? Sukarnya menjawab soalan itu. Terlalu banyak tujuan yang memaksa dia harus bersama dengan perempuan demi perempuan. Terlalu banyak agenda yang perlu dipenuhi bersama wanita demi wanita itu. Semua tujuan dan agenda itu pastinya tidak boleh dikongsi dengan Laila.
“Sebab Maya ke?,”
“Mungkin,”akhirnya alasan yang disajikan Laila diterima dengan separuh hati. Sudah pasti bukan Laila yang menjadi punca utama dia mendampingi setiap gadis dan wanita. Dia berbohong. Ternyata membohongi Laila tidak semudah dia menabur janji kosong pada himpunan perempuan yang hadir di dalam hidupnya. Berbohong pada Laila membuat hatinya bagai dihiris perlahan-lahan. Sungguh dia tidak mahu menyakiti sekeping hati wanita kesayangannya itu.
“Kalau Maya terima abang, perempuan-perempuan tu akan tetap ada di antara kita ke?,”
Ameer kelu. Soalan Laila membawa dia jauh ke sudut sanubari isterinya itu. Jelas Laila begitu takut untuk mempunyai ikatan perasaan dengannya. Tiba-tiba dia seakan mengerti mengapa Laila terus mengunci pintu hatinya. Sebabnya cukup mudah. Isterinya takut. Saat ini terlihat di matanya Laila begitu lemah. Kelemahan yang membawa ketakutan berpanjangan. Dan ketakutan itu mampu menjadi benteng teguh yang membuat hati Laila seampuh dermaga. Terlalu sukar untuk dia menyulam kasih di situ.
“Maya, abang tanya satu soalan. Boleh?,”akhirnya dia bersuara perlahan. Soalan Laila terbiar begitu sahaja. Laila mengangguk.
“Maya terima perkahwinan kita ni cuma sebab mak ke?,”
Laila mengangguk lagi. Cuma anggukannya kali ini sedikit perlahan. Risau Ameer akan tersinggung. Namun, memang itu sebabnya dan dia tidak mahu berbohong.
“Langsung tak ada sebab lain?,”
“Mak mengungkit semuanya. Mak berkeras juga. Maya tak sanggup nak jadi anak terbuang. Derhaka Maya bila mak sudah tak halalkan susunya ke atas Maya. Berat dugaan tu. Apa lagi pilihan yang Maya ada?,”
“Tapi, kenapa Maya tak tolak abang? Maya tak cintakan abang. Tapi, Maya terima tanggungjawab isteri itu,”
“Abang syurga Maya bila abang dah lafazkan akad ke atas Maya. Maya tahu selama ni pun, Maya bukan isteri yang baik. Maya mengaku. Banyak silap Maya pada abang. Maya berdosa pada abang. Tapi , bukan senang tanggungjawab ni, kalau perasaan Maya berkata lain. Maya dah cuba. Cuba buat yang terbaik untuk perkahwinan kita. Kadang-kadang Maya rasa bersalah bila abang terasa layanan Maya tak sepenuh hati. Tapi, bila fikirkan siapa abang… sikap abang.. Maya takut. Takut untuk jatuh cinta pada abang. Takut untuk terima abang sepenuh hati Maya. Maya takut Maya akan kecewa. Maya takut Maya tak kuat lalui semua tu…,”
Ameer mengeluh perlahan. Malam ini terasa semuanya terluah sudah. Laila perlahan-lahan membuka kekusutan yang menghantui mereka selama ini.
“Maya silap. Maya kuat. Maya cukup berpendirian,”
Laila tersenyum nipis. Pendiriankah itu? Rasanya bukan. Itu bukan pendirian. Itu cuma satu reaksi pada rasa takut yang terus membelenggu hatinya.
“Cuma satu yang abang nak tanya. Masih sama ke perasaan itu?,”Ameer berbisik lembut di telinganya. Bisikan yang membuat jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Membuat wajahnya membahang. Sungguh. Dia mula pelik dengan perasaannya kini.
“Masih sama?,”Ameer mengulang soalannya.
Laila menggeleng perlahan. Kini, dia mula tidak pasti pada perasaan sendiri. Melihat gelengan itu membuat Ameer tersenyum lebar.
“Laila Maya sudah hilang taring. Abang yakin perasaan tu dah mula berubah kan? Abang tak lagi bertepuk sebelah tangan, kan?”
“Entahlah bang,”
“Abang sanggup tunggu,”
“Jangan keluar dengan perempuan lagi?,”pinta itu tiba-tiba meniti di bibir Laila. Merenung jauh ke dalam mata Ameer. Membuat Ameer kelu sekali lagi. Bisakah dia tunaikan permintaan yang maha berat itu? Perempuan yang dia damping bukan sekadar teman mengisi kesunyian.
“Boleh abang janji dengan Maya?,”bibir itu sekali lagi menagih janjinya.
“Kalau cinta Maya yang menjadi taruhannya, abang janji,”
Laila mengukir senyum. Mindanya berat untuk percaya namun , dia mahu hatinya terus akur pada kata-kata Ameer. Dia perlu belajar untuk percaya. Dia perlu belajar menyemai rasa suka demi perkahwinan ini. Dia tidak mahu perkahwinan ini terus menjadi kubur keramat yang mengunci seribu bahagianya. Dia tidak mahu terus hidup dalam kepura-puraan. Ikatan sesuci ini, bukan untuk disia-siakan.
“Maya pegang janji abang tu,”
Ameer tersenyum sambil membawa jemari Laila ke bibirnya. Mengucup perlahan kemudian dibawa ke ribanya. Nafas ditarik sedalam mungkin sambil memandang wajah isterinya seketika.
“Kenapa sekarang?,”
Laila tersenyum. Faham maksud soalan itu. Hampir sahaja meluncur nama Razz di bibirnya. Namun, teringatkan cemburu Ameer yang bukan sedikit, nama itu terus mati di hujung lidah.
“Takkan selamanya kita nak hidup macam ni. Kan?,”akhirnya itu yang terluah di bibirnya. Ameer tersenyum senang. Bahagia yang bukan sedikit dengan sedikit keterbukaan Laila itu.
“Abang mahu Maya terus berada dengan abang. Selamanya. Tak ada Maya…tak ada abang. Tak ada abang… tak ada Maya,”
Laila senyum. Mudah-mudahan dia mampu untuk mengasihi lelaki itu sepenuh hatinya. Mudah-mudahan ada sinar bahagia yang tertulis di dalam takdir dia dan Ameer.
****

12 comments:

Siti Nor Farhana A. Rahim said...

bestnyer!!!!!
x sbr nk tggu nxt entry..

aqilah said...

lelaki yg baik untuk perempuan yg baik, begitu juga sebaliknya. nyata, ameer tidak begitu pd maya. jadi...................nak maya dgn razzzzzzzzzz heheeee. lebih-lebih lak akak ni

keSENGALan teserlah.. said...

eehh jgn la dgn razz..
haha..tp tak pahm ngn amer nieh..
kata dye cinta mati sma maya..but still kuar ngn another women..hurmm..

Hafia Hana said...

best sgt..

hope diorang hepy je pasni!~

hana_aniz said...

pe mksd ameer "bkn sekadar teman mengisi kesunyian"?...
dia ada hubungn tak halal skali ke?
ya.. habislah..
kalo btol..
n terkantoi dgn maya..
huh!!
jgn harap ko nk dpt cinta mya, ameer!!

Anonymous said...

hehe..x sabar nk tggu
tang mana thillernye
cite nie yea...

-ieja-

Anonymous said...

nak maya ngan ameer. taknak razz...biar razz ngan adik maya tu.. hehe

Anonymous said...

nak ameer dgn maya... best la cerita nie cepat sambung... boleh bukukan... :)

ManjaLara said...

ape masalah si ameer nie hah??
knapa dye harus cr prempuan lain sedangkan dlm hati dye cuma ada 'MAYA'.
kenapa?? kenapa kak hanni??kenapa!!!??
tlong jwb kak..!! sebelum sye hilang sabar....!!!

huarhhh!!.........

Anonymous said...

woi manjalara!!! ko ni kenapa???

Anonymous said...

rasanya kan kak hanni ameer nie keja dia gigolo.. btul x?

aqilah said...

waduh..........takkan gigolo byk duit. ameer ni mmg kaki perempuan. yes! dia mmg sayangkan maya, tapi dia tak boleh jauhkan diri drpd perempuan lain. Apa kes?????????

[11:35:50 PM] hos.getah: