Thursday, November 20, 2008

Di Penghujung Rindu 1

Nyaman deru angin pantai, membuai rasa tenangnya. Membuat dia leka melayan menungan yang panjang sambil menghadap ke laut yang maha luas. Menungan yang amat panjang, yang membawanya jauh ke sebuah dunia lain. Memisahkan kewujudannya di alam realiti. Dia larut dalam kenangan yang amat akrab dengannya. Yang amat sukar untuk dia luputkan dari mindanya.
Sesekali dia membetulkan rambutnya yang ditiup angin petang. Memandang pantai kenangannya buat ke sekian kali. Kenangan manis di zaman kanak-kanaknya. Hari ini dia datang kembali mengutip kenangan-kenangan yang tertinggal itu. Hidupnya seakan sebati dengan serpihan kenangan lalu. Kenangan lalu yang menjadi nadi menyambung hidupnya sehingga ke hari ini. Sesekali kakinya basah disapu ombak yang menghempas pantai. Terasa ombak itu seperti air mata yang sentiasa membasahi pipinya suatu ketika dulu. Namun, kini air mata telah kering di pipinya. Kenangan telah mematangkannya. Kenangan jua telah mengajarnya untuk tidak terus menangisi suratan takdir.
Nurul Huda menarik nafas panjang. Terlalu banyak perkara telah menimpanya. Peristiwa demi peristiwa yang akhirnya menjadikan dia seorang pelarian sepi. Kini, pelariannya sudah berakhir di sini. Hari ini dia telah kembali ke bumi kenangannya. Dia rindukan udara tanah air sendiri. Dia rindukan hembusan bayu pantai ini. Dia rindukan kenangan-kenangan manis kisah hidupnya yang lalu. Namun, satu perkara yang amat pasti, untuk mengecapi kenangan manis itu, akan terseret sama pahit kenangan yang membawanya terbang jauh ke bumi asing. Kakinya tersepak sesuatu.Dia tunduk. Kulit siput di kakinya dicapai. Lantas dengan cepat ingatannya menangkap seraut wajah. Wajah yang terlalu akrab dengan jiwanya. Wajah yang mengubah segaris perjalanan hidupnya. Namun, dia tidak menyesal. Tidak pernah menyesal.
“Cantiklah kulit siput ni,”
“Ini along punyalah” dengan pantas kulit siput di tangannya bertukar tangan. Dia tersentak. Kulit siput di tangannya terjatuh semula ke pasir. Selintas kenangan itu datang menerpa. Kenangan zaman kanak-kanaknya. Bibirnya menguntum senyum. Along… di manakah lelaki itu kini? Dia tidak tahu. Dan sebenarnya dia tidak mahu mengambil tahu. Jauh dia membawa diri pun kerana ingin lari daripada lelaki itu. Demi kebahagian lelaki itu. Demi.. demi ketenangan jiwanya sendiri. Sekali lagi senyum terukir di bibirnya. Tenangkah jiwanya setelah pemergiannya dari bumi Malaysia ini lima tahun lalu? Mungkin dia menemui ketenangan itu. Kalau tidak, manakan dia dapat segunung ketabahan yang menjadi teras kekuatan untuk dia meneruskan hidup ini.
“Huda… tak nak balik ke? Dah nak dekat Maghrib ni” satu suara menyentuh gegendang telinganya. Dia berpaling. Mengukir senyum buat seraut wajah tua di hadapannya. Perlahan dia melangkah, berjalan seiring dengan langkah longlai wanita separuh umur itu.
“Lama betul Huda duduk termenung tepi pantai tu. Apa yang Huda menungkan?”
Dia menoleh. Perlahan dia menggeleng. Dia sendiri tidak tahu apa yang dia fikirkan.
“Entahlah mak su. Saya pun tak tahu. Leka pula tengok laut,”
“Dulu tengok laut dengan along… sekarang ni tengok laut sorang-sorang. Tak nak cuba cari dia ke?” suara tua itu bertanya satu soalan yang tidak mahu dia jawab. Sudahnya dia Cuma berdiam diri. Menyedari maksud kebisuan itu, Mak Su Senah tidak bersuara. Kebisuab Mak Su Senah, memaksa Nurul Huda berpaling. Menatap wajah ibu saudaranya itu. Wanita itu turut mengunci mulut sekarang. Dia tersenyum kecil. Tidak tahu apa maksud kebisuan Mak Su Senah. Kecil hati kerana soalannya tidak berjawab sejak dari semalam… atau sudah tidak kuasa untuk mengulangi soalan yang sama buat kesekian kalinya.
“Saya tak balik untuk cari dia mak su…” akhirnya Nurul Huda menjawab soalan ibu saudaranya itu seringkas yang boleh. Tidak mahu panjangkan perbualan tentang lelaki itu sebenarnya.
“Kamu berdendam ya?
“Tak. Saya tak pernah berdendam. Cuma tak ada sebab untuk saya cari dia, mak su,”laju dia menjawab soalan itu. Sungguh. Dia tidak berdendam. Tidak layak pun untuk menyimpan dendam. Mak Su Senah mengeluh perlahan. wajah Nurul Huda ditatap agak lama. Bertahun dia tidak menatap wajah itu. sudah banyak yang berubah. Sudah semakin matang. Tiada lagi wajah keanak-anakan dan tiada lagi rengek manja seperti bertahun-tahun lalu.
“Huda.. kamu kena cari dia. Banyak sebab kenapa kamu mesti cari dia. Kamu sendiri pun tahu kamu memang kena cari dia,”
“Tidak. Saya tak perlu cari dia. Antara saya dengan dia tak ada apa-apa lagi. Tak ada apa-apa hutang pun,”
“Huda…Huda… Ini bukan soal hutang. Tapi soal ikatan. Kamu terikat dengan dia, Huda. Kamu perlu cari dia untuk leraikan ikatan itu… atau untuk kukuhkan ikatan itu… terserah pada kamu. Yang penting kamu kena cari dia,”
“Saya tak terasa terikat, mak su,”
“Tapi sampai bila?”
Nurul Huda diam. Tiada jawapan untuk soalan itu. Kerana dia juga kurang jelas dengan penghujung hubungan itu. tidak Nampak di mana noktahnya. Yang dia tahu, dia senang melewati kehidupannya dengan cara ini. Keseorangan. Tanpa sesiapa di sisi.
“Excuse me?”
Sapaan itu memaksa Nurul Huda menoleh.
“Huda. Nurul Huda.,” satu suara girang pecah dari bibir seorang gadis yang amat dia kenali. Dia tersenyum kelat. Ternyata pertemuan ini tidak termasuk di dalam agendanya. Dia pulang ke sini, bukan untuk melihat semula wajah-wajah yang telah dia tinggalkan.
“Ya,” jawabnya sepatah bersama senyuman yang melebar apabila mendengar temannya itu tergelak girang. Tanpa diduga tubuh langsingnya dipeluk erat. Membuat Nurul Huda terdikir tergamam.
“Oh.. I miss you. Aku rindukan kau Huda,’
Nurul Huda membalas pelukan itu buat seketika. Kemudian, perlahan dia leraikan pelukannya. Dan dia melihat ada air mata yang membasahi pipi gadis di hadapannya itu. air mata yang membuat hatinya tersentuh.
“Ke mana kau menghilang?”
Nurul Huda tersengih.
“Tak ke mana. Ada… Kenalkan mak saudara aku, mak su. Mak su, ni kawan satu universiti dengan saya dulu, Julia,”
Mak Su Senah mengukir senyum. Julia turut tersenyum.
“Apa khabar mak cik?” sapa Julia sambil menghulurkan tangan. Jemari Mak Su Senah dukucup lembut.
“Baik,” jawab mak su Senah sepatah. Tersenyum melihat wajah ceria Julia. Dalam senyum, gadis itu mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Memang gadis bernama Julia ini terlalu rindukan Nurul Huda.
“What are you doing here?” soal Nurul Huda sambil merenung wajah temannya itu. Wajah yang nampak cukup berseri.
Julia tersenyum manis.
“Aku? Aku honeymoon kat sini,”
“Honeymoon? Bila kau kahwin? Dengan siapa?”
“Two weeks ago. Dengan siapa lagi, mestilah dengan Shahril. Selepas lima tahun baru nak kahwin dengan aku. Tapi tak apa. At last… dia kahwin juga dengan aku,”
“Shahril? Tahniah Julia. Dalam selalu bergaduh kau kahwin juga dengan Shahril itu ya. So, where is he?”
“Huda…mak su balik dululah. Kamu berboraklah dulu dengan kawan kamu. Tapi jangan lama sangat. Nanti Najmi tercari-cari pula,”Mak Su Senah tiba-tiba menyampuk. Tidak mahu menggaggu perbualan dua teman itu. Nurul Huda tersenyum.
“Yalah mak su,”
“Ha..ha… Siapa Najmi tu?” laju Julia bertanya setelah Mak Su Senah sudah jauh meninggalkan mereka. Nurul Huda terdiam seketika. Wajah Julia dipandang seketika. Dia tidak mengandaikan yang dia akan bertemu dengan insan yang pernah datang dalam hidupnya ini. Namun kini tercegat di hadapannya adalah insan yang pernah rapat dengannya. Bertanyakan tentang jalan hidupnya. Dan..dia pula, dia tidak mahu bercakap apa-apa tentang hidupnya. Tidak mahu. Berat mulutnya untuk menjawab soalan Julia.
“Mana Shahril?”sudahnya dia cuba alihkan topic perbualan.
“Shahril tak akan lari. Dia ada kat sini. Cerita tentang dia pun, bila-bila masa kau boleh dengar. Now tell me, who’s Najmi?”
Nurul Huda tersenyum kelat.
“Bukan seperti yang ada dalam kepala kau tu. Cukup jawapan aku?”
“Kalau bukan seperti yang sedang bermain di kepala aku ni. Then what? Tell me friend. Jawapan kau langsung tak cukup,”
Nurul Huda diam. Berat mulut untuk menjawab. Satu jawapannya boleh mencipta berpuluh soalan lain untuk dia jawab. Itu yang dia tidak mahu. Dia tidak mahu menjawab soalan-soalan Julia yang seterusnya. Soalan yang boleh mendekatkan dia dengan kenangan yang cuba dia tinggalkan.
“Huda… kau dah pandai berahsia dengan aku ya?”nada suara Julia sudah mula berubah. Dia tersenyum menatap wajah Julia yang sedikit kelat. Mahu merajuk. Memang Julia seorang teman yang cepat merajuk. Sensitif.
“Imran Najmi. My son,” akhirnya dia menjawab pendek.
“What? Bila kau kahwin? Dengan siapa? Sampai hati kau tak bagitau aku pun,”
“Kau pun kahwin tak bagitau aku,”
Julia tersenyum.
“Bukan aku tak nak bagitau. Tapi, I don’t know how to contact you. Kau hilang macam tu saja. Aku minta maaf. Memang aku nak sangat kau hadir majlis kahwin aku. Semua kawan yang lain, datang. Kau seorang saja yang tak datang. Aku minta maafa ya. betul-betul tak boleh contact kau,”

Nurul Huda tersenyum sambil menggeleng perlahan.
“Aku tak kisahlah. Aku tahu bukan salah kau. Walau macam mana pun, I wish you… congratulation. Aku doakan rumahtangga kau kekal hingga ke akhir hayat,”
“Terima kasih Huda. Aku pun berharap macam tu. Kau…mana suami kau? Takkan tak nak kenalkan kat aku?”
“Aku tak nak cakap pasal ni. Tukar topik boleh?”
Julia diam seketika. Wajah Nurul Huda direnung seketika. Ternyata Nurul Huda tidak senang dengan topik ini.
“Divorce?”tebak Julia rambang.
“Please… aku tak nak cakap pasal aku. Tak ada cerita menarik. Kita cakap pasal kau. So tell me, macam mana Shahril melamar kau?”
Julia tergelak kecil.
“Betul kau nak tahu?”
Nurul Huda mengangguk.
“He proposed me in front of my parent. Can you believe that? Terkejut aku. Tak sangka. Dia tak bagi apa-apa clue pun sebelum tu. You know Shahril… suka sangat buat surprise,” Julia bercerita dengan wajah berseri-seri. Nurul Huda turut tersenyum. Tumpang genbira dengan kebahagiaan yang dikecapi temannya itu.
“Aku betul-betul berharap kau akan bahagia sampai bila-bila,”
Julia tersenyum. Perlahan dia memaut bahu Nurul Huda. Melangkah perlahan menyusuri pantai bersama teman yang sudah lama menghilangkan diri. Teman yang dia cari sejak lima tahun lalu.
“Aku pun harap macam tu,” balasnya dengan mata yang bersinar-sinar. Sememangnya saat ini merupakan saat yang paling bermakna.
“Hey! Tak nak jumpa Shahril ke? Dia mesti terkejut tengok kau kat sini. Jumpa kau kat restoran tu malam ni. Pukul 8.00 ok?” ujar Julia tiba-tiba sambil jarinya menunding ke arah sebuah restoran makanan laut di hadapannya. Nurul Huda terkedu.
“Aku tak bolehlah,”
“Please…kalau kau tak ada masa, sekejap pun tak apa. Tolonglah. Takkan tak sudi jumpa kawan-kawan kau kot?”
Nurul Huda tersenyum kecut.
“Aku tak nak kacau honeymoon kau orang,”dia cuba beralasan.
“Mengarutlah kau ni. Cakap jelah kau memang tak nak jumpa kami lagi kan?” Julia bersuara dengan nada berkecil hati, membuat Nurul Huda serba salah.
“Ok lah,”akhirnya bibirnya memberi persetujuan tanpa sempat akalnya memproses permintaan Julia. Membuat wajah murung temannya itu kembali ceria.
“Macam tu lah,”
Nurul Huda tersenyum kecil. Betul ke tindakannya ini? Tidakkah nanti pertemuan ini akan mendekatkan dia dengan teman-temannya yang lain juga? Seterusnya akan mendekatkannya dengan seseorang yang amat tidak mahu dia temui? Memikirkan itu semua, dia menjadi resah tiba-tiba. Membuat dia terfikir semula. Betulkah tindakannya pulang semula ke bumi Malaysia ini? Tidakkah nanti dia akan menjadi pengganggu kebahagiaan orang lain?
“Hey! Apa lagi kau fikrikan tu?,”Julia menyapa sambil melayangkan tangannya di hadapan Nurul Huda. Nurul Huda tergelak kecil, menutup resah yang mula bertandang. Melindung sesal yang baru mahu menjengah.

****

2 comments:

-Ain-Dak In- said...

hmmm,,,bes nye k hanni..
nurul huda tu byak smpn rahsia,,,

mesti byk kngn pahit..

chayok2 lg k hanni...

saya xcited ni...

Anonymous said...

nice story..
minat btul bca cita akak..
nnti bila dah ada yg kua kat pasran jgn lupa bgthu y..

[11:35:50 PM] hos.getah: