Senyumnya
yang tidak berbalas, menimbulkan sedikit rasa hairan. Wajah Puan Salma yang
mencuka juga membuat dia tertanya-tanya. Dan, berdentum daun pintu bilik Encik
Karim ditutup membuat dia tersentak. Tidak pernah wanita ini bereaksi sebegini.
Arisa mengerutkan kening. Pelik. Namun, rasanya itu bukan sebahagian daripada
masalahnya. Barangkali ada masalah peribadi antara majikan dan isterinya itu.
Perlahan dia mencapai beg tangan. Bersiap untuk pulang. Dengan hati yang masih
disapa tanda tanya, dia berlalu dari ruangan kerja. Masalah peribadi orang,
jangan diambil peduli. Hatinya perlahan bersuara. Sudahnya dia mengatur langkah
malas. Bertembung dengan Tasnim di pintu utama.
“Nak balik?,”
Sapaan Tasnim dijawab dengan
anggukan kecil.
“Puan Salma datang sini
petang-petang ni, kenapa? Tergesa-gesa aje aku tengok,”
Soalan Tasnim dibiarkan sepi. Cuma
langkahnya dihala perlahan menuju ke tempat parking. Diekori Tasnim dari
belakang.
“Rissa… aku tanya ni…,”
Arisa menoleh. Tersenyum seketika.
Tersedar dia mengabaikan soalan Tasnim.
“Entah. Aku pun tak tahu. Macam
marah-marah. Tengok aku pun tak senyum. Tak macam selalu. Pelik aku tengok,”
“Marah-marah? Pelik tu. Jarang Puan
Salma nak emosi depan staff suami
dia,”
Arisa mengangguk perlahan. Memang
pelik. Teramat pelik. Dan, tiba-tiba dia berasa tidak sedap hati. Mungkinkah
dia turut terlibat dalam perubahan emosi Puan Salma?
“Tiba-tiba aku rasa tak sedap
hati…,”dia bersuara perlahan. Berhenti melangkah sambil matanya dalam merenung
wajah Tasnim.
Tasnim tergelak kecil.
“Kenapa? Kau ada affair
dengan Encik Karim ke? Tiba – tiba pula kau nak rasa tak sedap
hati?,”usik Tasnim bersama deraian tawa kecil.
“Ish… kau ni. Minta dijauhkan. Tapi…
aku rasa tak sedap hati. Takut-takut ini onar Radhi…,”luah Arisa tiba-tiba.
Entah kenapa begitu cepat imej Radhi terbentuk di mindanya. Cukup cepat dia
simpulkan sesuatu yang buruk tentang lelaki itu. Tawa Tasnim juga hilang
perlahan-lahan. Dapat merasakan ada kerisauan di hati temannya itu. Dan,
apabila nama Radhi terseret sama, ini bukan perkara main-main.
“Kenapa pula kau cakap macam tu? Dia
masih ganggu kau ke?,”
Arisa diam seketika. Teringat pada
pertemuannya dengan Radhi tempoh hari. Radhi telah membuat kesimpulan yang
salah tentang dia dan Encik Karim. Juga teringat pada panggilan telefon dan
beberapa pesanan ringkas daripada lelaki itu rentetan daripada pertemuan yang
tidak menyenangkan itu. Lelaki itu mula meminta wang seperti biasa. Mula
mengugut akan terus menyusahkan hidupnya. Dan, dia diamkan sahaja. Dia tidak
mengambil peduli pada semua ugutan itu. Mungkinkah lantaran dia abaikan segala
permintaan Radhi, kesimpulan itu telah Radhi bawa kepada Puan Salma? Jantungnya
pantas berdetak laju. Kalau Radhi, tiada perkara yang jadi mustahil.
“Aku ingatkan bila dah dapat duit tu, dia akan duduk diam,”sambung Tasnim
sambil berpeluk tubuh. Tercegat berdiri mahu mendengar cerita daripada Arisa.
Arisa menggeleng perlahan. Khuatir
dan keliru.
“Dia pernah ternampak aku makan
malam dengan Encik Karim. Masa tu, kami baru lepas jumpa client. Dia macam syak aku dengan Encik Karim tu ada apa-apa.
Kemudian dia call aku…sms aku… minta
duit. Dia ugut akan susahkan aku. Tapi, aku tak pedulikan dia. Aku tak layan
ugutan dia…,”
Tasnim mengeluh perlahan. Sangkanya
kini, Arisa sudah benar-benar bebas daripada gangguan Radhi. Namun, nampaknya
tidak semudah itu.
“Kalau dia cerita yang bukan-bukan
pasal aku pada Puan Salma, macam-mana Nim? Kalau dia fitnah kami…,”dalam
khuatir, dia ajukan soalan.
“Jangan fikir yang bukan-bukanlah.
Mungkin Puan Salma ada masalah lain, kot,”
“Tapi, Puan Salma tak pernah
bersikap macam ni dengan aku. Aku nampak dia macam marah betul tadi,”
“Harap-harap bukan sebab kau. Dan,
harap-harap Radhi tak sekejam tu, sampai sanggup buat fitnah pada kau,”
Arisa mengeluh berat. Itulah yang
dia tidak yakin. Tidak yakin akan ada secebis sifat mulia di hati lelaki itu.
Lelaki itu cuma fikirkan tentang diri sendiri dan tentang duit semata-mata. Apa
lagi yang penting di mata Radhi selain daripada wang?
“Aku tak yakin Radhi sebaik tu,”
Tasnim turut diam seketika. Berat
memikirkan kemelut hidup Arisa.
“Dah tu, apa kau nak buat
sekarang?,”akhirnya dia melontarkan soalan. Memandang wajah Arisa yang berkerut
seribu. Jatuh simpati pada nasib Arisa yang begitu malang.
“Harap-harap aku salah. Aku tak
sanggup nak hadapi lagi gangguan dari dia. Tak sanggup nak biarkan dia terus
susahkan keluarga aku,”
“Aku pun harap macam tu. Buat masa
ni, kita jangan fikir yang bukan-bukan. Okay?,”
Berat Arisa mengukir senyum. Memang
itu harapannya. Namun, kebimbangan tetap beraja di hati.
“Okaylah, Nim. Aku balik dulu,”
“Hmm… jangan fikir yang bukan-bukan.
Okay? Kalau ada apa-apa masalah, aku ada kat sini,”
“Thanks,
Nim. Aku balik dulu,”
Tasnim tersenyum sambil mengangguk
perlahan. Selangkah Arisa mengatur langkah, lengan temannya itu dicapai. Arisa
berpaling.
“Be
strong. Okay?,”ucapnya lembut.
Arisa tersenyum tawar. Namun,
kata-kata semangat itu dibalas dengan anggukan kecil. Mahu atau tidak mahu, dia
memang harus kuat untuk meneruskan kehidupan. Harus kuat untuk menghadapi apa
juga badai yang bakal melanda. Tidak kuat, memang dia akan jatuh tersungkur.
Dalam galau, langkah diteruskan ke arah keretanya.
*****
Arisa perlahankan langkah. Bapanya
yang tunduk di sofa sambil menekan dada, menarik perhatiannya. Beg tangan
diletakkan di sofa.
“Kenapa ni, ayah?,”perlahan dia
bertanya sambil mengambil tempat di sisi bapanya. Mengurut perlahan belakang
bapanya. Perlahan tangannya ditepis, membawa rasa pelik di hati. Bapanya tidak
pernah bertindak begitu. Berganda rasa pelik yang menimpa. Belum pun hilang
rasa pelik dengan tingkah Puan Salma seketika tadi, kini di rumah, bapanya pula
yang mengundang rasa aneh di hati. Wajah suram bapanya direnung tanpa berkelip.
“Kenapa ayah? Ayah marahkan Rissa
ke?,”
Nafas bapanya turun naik
lambat-lambat. Menghantar resah di hati.
“Ayah tak sihat ke? Kenapa tak suruh
adik-adik call saya kat office. Saya boleh balik…,”
“Sudahlah Rissa…,”perlahan bapanya
memotong kata-katanya. Membuat dia semakin cemas.
“Kenapa ni, ayah?,”lembut dia
bersuara. Namun, bapanya tetap membisu.
“Rissa ada buat ayah marah ke?,”sekali
lagi soalan itu meniti di bibirnya. Risau tanpa sedarnya, dia telah mengguris
hati seoarang ayah.
Tetap juga soalannya tidak berjawab.
Termangu dia seketika menanggapi perubahan itu. Sekeping sampul surat bersaiz
A4 yang terletak di atas meja, menarik perhatiannya. Perlahan dia mencapai.
Diselak sampul itu dan matanya menjamah beberapa keping foto. Segera
dikeluarkan dan ternyata foto itu mampu membuat dia tergamam. Dan, telahannya
ternyata benar. Melihat gambar itu, sekali lagi cuma wajah Radhi yang melintas
di fikiran.
“Apa ni, ayah?,”
“Kamulah yang beritahu, apa semua
tu,”
Arisa menahan nafas. Foto Encik
Karim sedang memegang lengannya dan memaut bahunya. Nampak begitu intim, walau
bukan itu sebenarnya kisah di sebalik foto itu.
“Siapa yang bagi semua ni? Radhi?,”laju
dia bertanya.
“Kenapa kamu sanggup lakukan semua
ni, Rissa? Ayah tak percaya bila Radhi cakap kamu ada hubungan sulit dengan bos
kamu. Ayah tak percaya juga cakap dia, bila dia cakap, bos kamu sanggup bagi
kamu duit untuk tolong kamu bercerai dengan dia. Tapi, bila tengok gambar tu,
ayah jadi terfikir semula. Siapa kawan kamu yang sanggup tolong kamu tu, Rissa?
Kenapa kamu sanggup rendahkan maruah kamu sampai macam ni sekali?,”
Arisa terdiam. Jelas ini semua
rancangan Radhi. Radhi muncul lagi untuk mengganggu hidupnya. Radhi datang lagi
untuk menghuru-harakan keluarganya. Radhi bijak mencari peluang untuk membuat
dia tersepit. Begitu teliti perancangan lelaki itu.
“Ayah… Rissa anak ayah. Ayah jangan
percaya cakap Radhi tak guna tu,”
“Cakapnya ayah boleh cuba untuk tak
percaya. Tapi, gambar tu? Kenapa nak ganggu rumahtangga orang, Rissa? Kenapa
nak buat benda-benda macam tu? Kamu tak malu ke?,”
“Tak betul tu ayah. Saya dengan
Encik Karim ni, tak ada apa-apa. Dia cuma bos saya. Gambar ni pula, ini gambar
curi. Dia ambil masa saya hampir terjatuh. Encik Karim cuma pegang saya supaya
tak terjatuh. Itu saja. Saya berani bersumpah, ayah?,”
“Jangan main-main dengan sumpah…,”
“Rissa sanggup. Sebab Rissa yakin
Rissa tak bersalah. Rissa tak bersalah, ayah. Salah Rissa pada ayah, cuma bila
Rissa tak beritahu ayah, duit untuk Radhi tu, bos Rissa yang bagi. Tapi, itu
pinjaman, ayah. Tiap-tiap bulan, Rissa bayar balik pada Encik Karim. Dan, Rissa
akan pastikan Rissa bayar semua duit tu. Encik Karim tolong Rissa sebab dia
kasihankan Rissa, ayah. Tuduhan Radhi ni, langsung tak betul. Ini fitnah…,”beria-ia
dia memberikan penjelasan.
“Kenapa dekatkan diri dengan
fitnah?,”perlahan soalan itu meniti lambat-lambat di bibir Haji Salleh.
Arisa tunduk. Diam mendengar soalan
bapanya. Dia tahu bapanya kecewa.
“Kerja Rissa memang menuntut untuk
Rissa selalu dengan Encik Karim. Tapi, atas urusan kerja saja, ayah. Radhi yang
mereka-reka semua ni. Mesti sebab Rissa tak layan bila dia minta duit lagi…,”
Haji Salleh mengangkat muka.
Memandang wajah Arisa yang mula sugul. Marahnya hilang seketika. Radhi masih
mengganggu Arisa?
“Bila dia ugut kamu?,”
“Sejak akhir-akhir ni dia selalu call minta duit. Mesej kat handphone Rissa minta duit. Bila Rissa
tak layan, dia ugut nak susahkan hidup Rissa. Mungkin inilah caranya kot,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Tidak
pasti untuk terus terpengaruh dengan beberapa keping foto yang Radhi berikan
atau untuk percaya pada luahan anaknya itu.
“Ayah tak percayakan saya?,”
Lirih soalan Arisa menusuk ke
jiwanya. Tersentuh dengan soalan yang kedengaran cukup tulus di telinganya itu.
Dalam renungannya pada wajah Arisa yang kembali mendung. Hilang sudah ceria
yang membuat wajah Arisa berseri sejak kebelakangan ini.
“Betul Rissa dengan bos Rissa tu tak
ada apa-apa? Rissa tak ganggu rumahtangga orang?,”
Laju Arisa menggeleng.
“Nauzubillah. Minta jauhkan daripada
semua tu. Rissa tak akan buat macam tu, ayah,”
Haji Salleh mengangguk perlahan.
“Ayah percayakan kamu,”
Arisa diam mendengar pengakuan itu.
Lega hatinya. Sungguh dia gusar andai bapanya terus terpengaruh pada cerita
Radhi. Siapa lagi yang dia ada untuk terus menyokongnya andai bapanya terus
meraguinya.
“Tapi, Radhi dah hancurkan semua…,”perlahan
dia bersuara. Kini dia benar-benar yakin, dia ada kaitan dengan kemarahan Puan
Salma.
“Kenapa Rissa cakap macam tu?,”
“Rissa rasa, dia dah hantar gambar
ni pada isteri Encik Karim juga. Tadi, Puan Salma datang ke office. Macam marah-marah. Rissa pun,
dia tak tegur. Rissa yakin, ini semua kerja Radhi…,”
Haji Salleh mengeluh perlahan. Mulai
risau dengan olah baru yang dibuat oleh bekas menantunya itu.
“Rissa tak tahu apa lagi yang Radhi
nak dari kita. Kenapa dia tak bosan-bosan nak susahkan hidup kita, ayah?,”
Tiada jawapan yang mampu diberikan.
Cuma kerisauan yang semakin menghimpit perasaan. Dapat dia rasakan gangguan
Radhi tidak akan berhenti di sini sahaja. Perlahan dia menekan dadanya yang
terasa menyesak. Menggosok perlahan sambil cuba mencari sedikit ketenangan.
Wajah Arisa dipandang hiba. Simpati pada nasib yang menimpa anaknya itu.
*****