Tuesday, April 27, 2010

Sekadar Di hati...9

“Apa cerita ni, Man? Darween call aku. Menangis-nangis. Marah-marah. Kenapa tiba-tiba?,”

Luqman diam. Memang Darween marah. Memang Darween kecewa. Namun, keputusannya sudah nekad.

“Kenapa sampai kau nak kahwin dengan budak tu? Apa masalah sebenarnya? Aku ingat, bila Darween balik korang berdua akan bertunang. Tup-tup belum sempat Darween balik, kau dah nak nikah dengan orang lain,”

“Kita kan cuma merancang…,”

“Ayat tu lagi… Kau tak kasihankan Darween ke?,”

“Aku rasa jodoh aku dengan Najwa. Sebab tu aku ambil keputusan nak nikah dengan budak tu. Bukan sekejap aku fikirkan semua ni. Banyak pendapat yang aku minta. Aku yakin, mimpi-mimpi aku selama ni, memberitahu aku… yang aku kena tolong Najwa,”

“Tolong? Sampai kena kahwin? Besar pertolongan kau tu. Sanggup kau ketepikan Darween yang kau cinta. Sanggup kau kecewakan perasaan dia,”

“Aku tak ada niat langsung nak kecewakan dia, Leesa. Aku yakin dengan keputusan aku,”

“Hmm.. sungguh aku tak faham. Apa pun, aku nak ucap tahniah dan selamat pengantin baru. Sebab kau kahwin ala-ala bidan terjun, awal-awal lagi aku nak say sorry. Aku memang tak boleh attend majlis kau. Aku ada hal keluarga on the same day. Dan lagi, aku doakan kau bahagia,”

Luqman tersenyum dalam diam. Teringat pada perbualan dengan Leesa beberapa hari lalu. Selain keluarganya, cuma gadis itu yang tahu rancangannya ini. Pernikahan ini memang sengaja tidak dihebahkan pada teman-teman sekerja. Bimbang banyak persoalan yang bakal timbul dengan perkahwinan secara tiba-tiba ini. Dan, dia tidak larat mengarang seribu alasan untuk menutup cerita. Cukuplah segalanya diketahui oleh individu tertentu sahaja.

Perlahan dia mengeluh. Memandang jarum jam di dinding. Sudah hampir pukul dua pagi. Pengantinnya entah di mana. Dia sendirian di sudut bilik Najwa yang kecil. Malam juga sudah kian sepi. Ibu mertua juga adik-adik iparnya pasti sudah lama diulit mimpi. Majlis kecil yang berlangsung siang tadi sudah lama berakhir. Ibunya juga sudah lama pulang bersama wajah kelat yang dia faham puncanya. Dia maklum ibunya marah, namun kesanggupan ibunya datang dan raikan majlis agar tidak timbul cerita yang tidak enak, tidak boleh dia lupakan begitu saja. Membuat dia yakin, jauh di sudut hati wanita itu ada sedikit restu untuknya.

Sekali lagi dia memerhati ruang bilik yang dihias sederhana, kemudian dia bergerak turun dari katil. Ingin mencari pengantinnya yang hilang. Pintu bilik ditolak perlahan. Dalam suram lampu dia meninjau di ruang tamu. Kosong dan sepi. Najwa tiada di situ. Menjengah ke dapur, juga tidak ditemui wajah Najwa. Pintu utama yang sedikit terkuak, menarik perhatiannya. Dari situ dia lihat Najwa sedang termenung di anak tangga. Duduk di beranda yang sederhana luas sambil mata terarah pada bintang malam yang menghias indah dada langit.

“Assalamualaikum,”

Salamnya membuat Najwa tersentak. Terlihat jemari Najwa menyentuh pipi, sebelum dia melabuhkan punggung di sisi gadis itu. Antara dengar dan tidak, salamnya berjawab. Serak suara itu cukup untuk memberitahunya Najwa sedang melayan tangis.

“Buat apa kat sini? Kan dah lewat malam ni,”

Najwa diam. Sedikit kekok untuk berdepan dengan Luqman kini. Terasa janggal bila mengingatkan dia kini sudah bergelar isteri kepada Luqman. Segalanya berlaku cuma dalam sekelip mata.

“Abang belum tidur ke?,”

“Isteri abang tak ada, macam mana abang nak tidur?,”gurau Luqman sekadar membuang kelat di wajah Najwa. Terlalu sukat untuk melihat ceria di wajah itu. Najwa tersenyum hambar. Menatap wajah Luqman dalam cahaya malam. Besarnya pengorbanan lelaki ini. Baiknya hati lelaki ini. Antara Luqman dan Zarith, umpana langit dan bumi jauh berbeza perilakunya. Mengingatkan Zarith, hatinya sakit tiba-tiba.

“Kenapa abang tak pernah beritahu Aja pun, abang akan bertunang tak lama lagi?,”soalan segera dikarang. Tidak mahu mindanya terus diganggu wajah Zarith.

“Siapa yang cakap?,”

“Mak abang beritahu…,”

Luqman mengeluh perlahan. Tidak sangka cerita itu akan sampai ke telinga Najwa. Tidak menduga ibunya akan utarakan hal itu pada Najwa. Pasti ibunya sengaja mahu memberi tekanan pada Najwa. Mahu menyakiti hati Najwa.

“Apa lagi yang mama beritahu?,”

Najwa mengeluh berat. Berpaling memandang wajah Luqman. Memang banyak bicara ibu mertuanya itu yang menghiris perasaan. Memang banyak juga cerita tentang Luqman yang sampai ke telinganya. Tetapi, dia bukan sesiapa untuk berkecil hati. Juga bukan sesiapa untuk merajuk hati.

“Mak abang cakap, Aja dah musnahkan masa depan abang. Aja dah rampas abang dari mak abang. Aja dah kecewakan perasaan orang lain. Aja musnahkan hidup semua orang,”

Luqman menahan nafas. Tenang kata-kata itu meniti di bibir Najwa. Tetapi, melihat pada redup wajah itu, dia tahu setiap kata-kata yang meniti di bibir gadis itu mengundang rawan yang bukan sedikit di jiwa.

“Sudahlah tu. Abang tak mahu dengar Aja cakap macam ni lagi,”

Najwa tunduk. Mungkin dia boleh menutup mulutnya daripada mengulangi kata-kata itu. Namun, mustahil untuk dia tepis rasa bersalah yang bersarang di hati setelah dia tahu begitu banyak perkara yang terpaksa Luqman korbankan hanya semata-mata mahu menutup kepincangan hidupnya kini.

“Entahlah bang. Berat rasanya. Aja serba – salah. Terima kasih banyak-banyak bang, sebab abang sanggup tolong Aja sampai macam ni sekali. Sampai mati pun, Aja tak akan lupakan jasa abang ni. Tapi, Aja tak boleh buang rasa bersalah ni, bang… Abang korbankan segala-galanya Cuma untuk perempuan macam Aja. Tak berbaloi, bang,”

“Aja..dah terlalu banyak ucapan terima kasih yang keluar dari bibir tu,”dalam senyum Luqman bersuara.

“Aja tak kisah kalau abang teruskan pertunangan abang tu. Aja tahu abang berhak hidup bahagia dengan pilihan hati abang. Pertolongan abang dah cukup besar buat Aja. Aja betul-betul tak kisah, bang. Aja tahu abang cuma nak bantu Aja,”sambungnya tanpa mengacuhkan gurauan Luqman. Ada perkara lebih penting yang perlu Luqman fikirkan. Luqman tidak seharusnya terus memberatkan fikiran dengan masalahnya. Luqman sepatutnya fikirkan juga tentang kebahagiaan diri sendiri.

“Cukuplah cakap pasal semua ni. Sekarang ni, jom kita masuk. Dah lewat pagi. Tak elok tidur lewat macam ni,”

“Aja tak nak abang tak dapat merasa bahagia sebab pernikahan kita ni,”

“Kenapa kita tak boleh rasa bahagia?,”

“Sebab abang tak cintakan Aja. Mustahil abang boleh bahagia kalau hidup dengan orang yang abang tak cinta. Mustahil abang boleh lupakan kekasih abang. Aja cintakan Zarith…,”kata-katanya tiba-tiba mati sebaik nama Zarith bermain di bibir.

“Maksud Aja…Aja pernah cintakan Zarith. Jadi, Aja tahu perasaan tu. Sebab tu Aja nak abang teruskan juga pertunangan abang. Abang kena hidup bahagia sebab abang seorang lelaki yang sangat baik. Aja tak boleh hukum abang macam ni,”

“Dah habis cakap? Abang mengantuk ni. Jom, masuk tidur,”

“Ceritalah pasal kekasih abang tu,”pinta Najwa tanpa mempedulikan ajakan Luqman. Tanpa mempedulikan sikap acuh tidak acuh Luqman. Membuat Luqman terdiam seketika. Matanya mula mencari renungan Najwa yang menanti cerita. Perlahan dia menyentuh jemari Najwa. Menggenggam tangan itu.

“Aja… abang dah tak ada kekasih. Abang cuma ada seorang isteri bernama Najwa,”

Najwa kaku di kepala tangga. Kata-kata itu benar-benar meruntun jiwanya. Tidak berperasaankan lelaki ini? Semudah itu membuang nama gadis yang dia cintai semata-mata kerana kini, dia sudah bergelar suami? Dia sendiri tidak mudah mahu mengikis nama Zarith walau segunung derita yang lelaki itu tinggalkan untuknya. Tetapi, Luqman begitu tenang menghadapi segala kemelut ini? Membuang nama seorang gadis sebaik menerima dirinya sebagai isteri?

“Sudahlah tu. Jangan peningkan kepala tu. Kita lupakan pasal semua orang. Sekarang kita tumpukan pada hidup kita. Pada perjalanan hidup kita. Mulai hari ni, abang nak Aja jadi Najwa yang baru. Najwa yang sudah buang semua cerita sedih. Semua peristiwa hitam. Hari ni, Aja isteri abang dan tanggungjawab Aja sekarang…ni….,”

Najwa menelan liur tatkala telapak tangan Luqman menyentuh perutnya. Tiba-tiba terasa kedudukan antara mereka kini terlalu dekat. Perlahan dia mengengsot menjauh. Luqman pula, membiarkan tanpa bersuara.

“Abang nak Aja jaga kandungan tu. Abang nak Aja buang semua kesedihan Aja. Boleh?,”sambungnya bersama senyum.

Najwa membisu seribu bahasa. Bolehkah dia lakukan semua itu? Semestinya tidak semudah itu. Kandungan ini, bukan kandungan yang dinanti. Kandungan ini membuat jalan hidupnya berubah sama sekali. Dia pasrah. Dia redha. Namun, tiada rasa gembira di hatinya setiap kali dia teringat ada nyawa di rahimnya.

“Nanti Aja kena sewa biliklah. Takkan Aja nak terus tinggal kat rumah sewa. Walaupun kawan-kawan tahu Aja dah kahwin, tapi, mereka mesti pelik tengok perut Aja nanti. Mesti ada yang syak. Aja ingat nak cari kerja lain. Aja nak mulakan semuanya di tempat baru. Tempat yang tak ada siapa pun kenal Aja. Boleh ya bang?,”soalan Luqman dibalas dengan satu permintaan.

Sejak Luqman menyuarakan hasrat untuk memperisterikannya, dia sudah mula fikirkan jalan penyelesaian itu. Dia tidak mahu kawan-kawan serumahnya melihat perutnya yang semakin membesar. Juga mesti mengundang pelik, andai dia masih tinggal di situ selepas pernikahannya. Dia juga tidak mahu terus membebankan Luqman dengan kehadirannya bersama bayi yang langsung tiada kena - mengena dengan Luqman. Jadi, jalan yang ada, cuma satu. Dia perlukan mulakan segalanya dari langkah pertama semula. Tempat baru. Suasana kerja baru.

“Macam mana Aja boleh terfikir idea macam tu?,”

“Kenapa pula?,”

“Aja akan tinggal dengan abang…Dengan suami Aja,”

Najwa terkebil-kebil.

“Tapi, mama abang…,”

“Kita tak akan tinggal dengan mama. Abang ada rumah. Kita akan pindah. Kita tinggal di rumah abang,”

Kata-kata Luqman membuat dia perlahan-lahan faham maksud kata-kata Puan Juwita padanya siang tadi.

“Patutlah mama abang cakap Aja rampas abang. Janganlah bang. Abang tinggal dengan mama abang. Aja tinggal sendiri. Jangan risau, Aja pandai jaga diri,”

“Itu keputusan abang. Dan, keputusan abang, muktamad,”

“Nanti mama abang…,”

“Kita sama-sama pujuk mama. Abang nak mama terima keadaan kita. Terima Aja. Terima cucu dia ni,”

Najwa membisu lagi. Memandang wajah Luqman buat sekian kalinya.

“Terima kasih bang. Aja akan cuba tak menyusahkan abang. Aja ingat abang cuma nak kita nikah aje. Bila baby ni lahir semuanya akan berakhir,”

“Aja..Aja… mana ada kahwin macam tu? Kalau dah kahwin, maknanya kahwinlah. Mana boleh ada tempoh pula,”

Penjelasan itu membuat Najwa diam. Memandang jauh pada kegelapan malam. Bermakna masa depannya sepenuhnya bersama Luqman. Bagaimana nanti? Dia tidak nampak apa-apa.

“Hmm.. kenapa pula ni?,”

“Masa depan kita lepas ni, mesti segelap malam ni,”

“Kita yang tentukannya. Dahlah. Jom masuk. Dah lewat sangat ni. Masuk tidur. Berehat,”

“Aja nak duduk sini dulu. Kejap lagi Aja masuk,”

“No..no… sekarang. Masuk tidur sekarang,”

Najwa menarik nafas perlahan. Luqman sudah pun tegak berdiri. Melihat Luqman tercegat menantinya, dia turut mengangkat punggung. Luqman tersenyum. Memberi ruang Najwa melangkah sebelum dia mengekori langkah gadis itu.





****

Friday, April 23, 2010

Kau, Aku Dan Nenek...1

Dalam debar, dia memilih untuk melayan menungnya di sepanjang perjalanan. Sudah hampir setahun berlalu. Bermakna hampir setahun juga segalanya berlalu. Dia harus pulang. Itulah SMS yang dia terima dari Amar setelah sekian lama tidak mendengar khabar berita daripada lelaki itu. Buat kali pertama juga dia perlu menghadap wajah lelaki itu setelah segalanya berlalu. Bukan salah lelaki itu. Juga bukan salahnya.Dia dan Amar sama-sama senang dengan keadaan itu. Itulah pilihannya juga pilihan Amar.

Telefon bimbit di dalam beg menjerit perlahan. Menghalau menungnya. Beg tangan segera diselongkar. Telefon bimbit segera dicapai.

[Kau kat mana. Aku dah sampai ni. Cepat sikit]

SMS itu dicerlung seketika. Sedikit geram dengan tulisan di dada screen telefon bimbitnya. Lelaki ini memang tidak pernah pandai bercakap lembut.

[Dalam teksi. Tunggulah jelah. Kjp lagi sampailah]

Dia tersenyum. Tidak kurang keras jawapan yang diberi. Padan muka. Sepi. Tiada lagi balasan SMS dari Amar. Membuat dia tenang semula bersandar sambil menikmati panorama alam. Sambil mengimbau peristiwa yang tiba-tiba hadir di dalam hidupnya.

“Hah? Harta? Banyak ke harta nenek tu?,”bulat matanya bertanya. Segera melabuhkan punggung ke sofa. Tidak pernah ibunya bercakap tentang harta nenek. Dan, topik itu begitu menarik untuk terus diselidiki.

“Materialistik betul kau ni ya? Kalau banyak pun, bukan kau yang dapat. Kau tu kira cucu angkat aje. Tak ada pertalian darah. Aku ni, cucu tunggal nenek,”

Dia mengerling.menjeling pada si penilik lidah tajam itu. Tidak berminat untuk melayan kata-kata pedas lelaki itu, segera berpaling memandang wajah ibunya. Mahu mendengar lagi tentang harta nenek.

“Kenapa tiba-tiba mak cakap pasal harta nenek ni?,”dia bertanya sambil menarik kerusi rotan. Mehu hampir dengan ibunya.

“Yang kau sibuk, kenapa? Ini hal keluarga. Anak angkat duduk tepi,”

Dia menjeling lagi. Kata-kata Amar walaupun menyakitkan hati, namun sudah tidak membekas di hatinya. walau segunung ungkitan Amar tentang pertaliannya dengan keluarga ini, dia tidak kisah. Dia tahu kasih sayang ibunya tidak pernah membezakan itu semua.

“Eleh…Belum pasti pun dapat. Nenek tu kan kedekut? Takkkan senang-senang dia nak bagi kat awak,”tingkahnya sambil menjeling.

“Kedekut pun… harta tu akan jatuh ke tangan aku juga,”

“Dua-dua tak dapat,”

“Kenapa pula? Amar kan cucu nenek,”

Dia tergelak jahat. Padan muka. kata-kata ibunya membuat hatinya berbunga riang.

“Memang kamu cucu dia. Tapi, nenek bagi syarat kat mak, malam tadi. Nenek nak kamu berdua berbaik. Tak nak kamu bertengkar macam anjing dengan kucing tiap-tiap hari,”

“Alah…kacangnya syaratnya. Boleh aje. Sekarang juga kami boleh berbaik,”dia bersuara selamba. Disambut anggukan Amar. Satu perubahan yang positif.

“Nenek nak kamu berdua kahwin. Barulah harta tu jadi milik kamu. Kalau tidak, nenek nak serahkan semua hartanya ke amanah raya,”

“Hah?!,”

“Hmm.. mak dah agak. Dua-dua dah terkejut. Lupakan ajelah saranan nenek tu,”

“Ish.. mana boleh. Kita orang tak kisah. Kita orang boleh ikut kehendak nenek,”laju Amar bersuara. Membuat dia tergamam seketika. Berbaik dia tidak ada masalah. Berkahwin?

“Ara… kau tak kisah kan?,”

Dia termangu. Berkahwin? Kehilangan harta nenek? Yang mana harus dipilih?

“Ara!,”

“Tak..tak… kami boleh ikut syarat nenek,”spontan dia bersetuju

“Cik! Dah sampai,”

Tiara tersentak. Segera peristiwa setahun lalu berlalu begitu sahaja. Pantas dia mengeluarkan duit tambang. Bergerak keluar dari teksi. Hari sudah petang. Melilau matanya mencari bayang Amar.

“Kata dah sampai. Penipu betul!,”dia mula merungut. Geram memikirkan dia perlu menunggu lagi.

“Siapa penipu? Dah sejam aku tunggu. Kan dah cakap pukul 4.30. sekarang dah 5.30,”

Tiara tersentak. Segera menoleh. Amar bersandar santai di kerusi.

“Dah. Jomlah. Tadi nak cepat sangat,”

“Tak salam suami kau dulu? Cium tangan dulu,”

Tiara mencemik.

“Jomlah. Buang masa kat sini, kenapa? Saya penat ni. nak balik rehat,”

Amar jongket bahu. Angkat punggung sambil berlalu.

“Hey! Tolonglah bawa ni,”

Amar menoleh.

“Nenek pesan kat kau kan? Kaulah yang bawa,”

Tiara tercegat menahan geram. Memandang plastik besar berisi ikan pekasam. Juga beg pakaiannya yang sedikit besar.

“Cepatlah wey! Aku tinggal karang..,”

Tiara merengus perlahan. Pantas tangan mencapai beg pakaiannya. Plastik berisi ikan pekasam ditinggalkan begitu sahaja. Laju melangkah menyaingi Amar.

“Oit! Ikan nenek mana?,”

“Tu…,”panjang muncungnya ke arah plastik yang terletak di tepi pangkin.

“Lah…kau tinggal kenapa? Nanti nenek bisinglah,”

“Tak nak nenek bising, awak pergilah ambil,”

“Kau!,”

Tiara tersengih. Padan muka! Sambil merengus marah, Amar bergerak semula menuju ka arah beg plastik yang ditinggalkan. Dia pula, melangkah perlahan ke dalam kereta.



****



“Dah lama tak balik jenguk nenek ya…,”

Tiara mengukir senyum.

“Sibuk nek,”

“Dua-dua pun sibuk saja. Dah tak ingat dekat orang tua ni, ya?,”

“Mana ada lupa nek. Tengok tu. Satu plastik saya order ikan pekasam untuk nenek,”Amar mencelah.

“Dah nenek minta…baru sibuk nak cari. Lagi satu, Ara yang duduk kat Kedah, macam mana kamu yang order? Bukan kamu kat Johor ke?,”

Tiara tergelak.

“Nak menumpang nama lah tu, nek,”tempelaknya sambil mengerling. Amar tersengih. Bergerak perlahan mendekati Tiara.

“Apa pula menumpang nama? Dari Johor abang ke Kedah kan?,”ujarnya sambil memaut bahu Tiara.

“Nek… mak panggil tu,”spontan Tiara bersuara sambil menunding jari. Spontan juga neneknya berpaling. Memberi kesempatan untuk dia menyiku rusuk Amar. Rasakan. Nak ambil kesempatan pula dia.

“Aduh!,”Amar mengaduh perlahan.

Dia tersengih. Nenek berpaling.

“Tak ada pun mak kamu. Yang kamu ni, kenapa, Amar?,”

“Sakit badan nek. Penat memandu. Naik ke Kedah jemput Ara. Pastu, drive lagi sampai kampung. Sakit pinggang ni…,”

“Hmmm.. pergilah berehat. Nanti malam kita sembang lagi. Ara, temankan suami kamu masuk. Kesian dia penat. Kamu pun, berhentilah kerja. Tinggal dengan Amar kat Johor.Tak ada susah nak ke sana sini bila nak balik kampung,”

“Orang lain kahwin elok saja duduk sekali. Yang kamu. Seorang ke timur seorang ke barat,”

“Salah nek. Seorang ke utara. Seorang ke selatan. Baru betul,”celah Amar tersengih. Tiara tersenyum. Nenek menjeling geram.

“Menjawan bukan main…,”

Amar tersenyum lagi mendengar nenek menggumam.

“Jom, Ara,”

“Baik, bang…,”panjang senyumnya sambil mengangkat punggung. Membiarkan sahaja Amar memaut pinggangnya.

“Sudahlah tu. Nenek dah ke dapur,”

Tangan Amar ditepis perlahan. Pintu bilik ditolak. Langkahnya seiring dengan Amar.

“Naik sampai ke Kedah konon! Yalah Encik Amar oiii… setakat tunggu kat bus stand kat pekan aje.. letih jemput Ara konon. Letih awak, tak ada kena – mengena dengan saya. Ok?,”

Amar tergelak.

“Urut sikit. Penatlah,”

“Uwek!! Jangan harap. Dahlah. Saya nak keluar. Awak nak rehat. Rehatlah…,”

Amar diam. Badannya segera dilayangkan ke katil. Lega. Asyik dapat berbaring bebas. Memang dia penat memandu pun. Walaupun tidak sampai ke Kedah.



****

“Hey! Kenapa ni? Muka pucat semacam?,”

Tiara tersentak. Pantas menarik muncung sambil berpaling muka. Geram dikejutkan Amar tiba-tiba.

“Kenapa ni? Nenek cakap apa tadi?,”sekali lagi Amar bersuara sambil melabuhkan punggung ke kerusi. Membenarkan angin malam membelai wajahnya.

“Ara!,”

Sekali lagi Tiara tersentak. Merenung wajah selamba Amar. Tiba-tiba dia tidak berdaya menatap wajah itu. Mengingatkan kata-kata neneknya sebentar tadi, hatinya semakin gelisah untuk terus menatap wajah Amar.

“Sejak bila kau hilang suara ni?,”

“Nenek…,”

“Ha ah. Aku tahulah nenek yang sembang dengan kau tadi. Aku kenal lagi nenek aku,”

Tiara membuang pandang. Amar tergelak jahat.

“Nenek. Dia minta cucu..,”

Gelak Amar semakin lantang.

“Apa nak risau? Aku kan ada. Berapa orang nenek nak? Kita boleh usahakan,”Amar bersuara sambil mengangkat kening. Sekejap saja kusyen kecil di tangan Tiara mendarat ke wajah Amar.

“Apa ni?,”Amar bersuara geram. Kusyen disambut dan dilontar semula ke arah Tiara. Selamat mendarat ke riba Tiara.

“Padan muka. Awak tengok muka saya ni, ada mood nak bergurau ke?,”

“Kau kan mata duitan. Takkan dugaan macam ni, dah tergugat? Kalau aku, aku tak kisah, aku sanggup,”

“Oh… saya yang mata duitan? Bukan orang yang bagi cadangan kita kahwin ke yang lebih-lebih mata duitan?,”

Amar mencemik.

“Kalau tak mata duitan, kenapa orang tu setuju?,”

Tiara menjeling. Putus fakta untuk patahkan kata-kata Amar. Amar tersenyum. Bergerak menghampiri Tiara.

“Kahwin.. kita dah setuju. Apa salahnya hadiahkan nenek cucu pula. Mana tahu, dia nak bagi apa-apa lagi kat bakal cicit dia? Hmm…cicit macam tak banyak. Cicit-cicit..mungkin banyak sikit bahagiannya nanti,”

“Awak! Kepala tu memang penuh dengan duit ya?,”

“Bukan kepala aku aje. Kepala kau pun…kan?,”

Tiara menjeling. Kurang sikit tahap materealistik berbanding kau! Jerit hatinya geram. Dan, saranan nenek? Saranan itu membuat dia kembali diserang rasa seram sejuk. Ngeri. Melihat wajah Amar, dia menggeleng perlahan.

“Haaaa… apa geleng-geleng? Kau bayangkan apa tu?,”

“Tak ada apa-apa,”laju dia menjawab. Amar tersenyum panjang.

“Nak try ke?,”usik Amar tersenyum menggoda.

“Gila!,”

Amar tergelak besar.

“So, kerja macam mana?,”topic bicara dialih Amar sambil matanya merenung wajah meterialistik adik angkatnya yang kini sudah menjadi isterinya. Kesian melihat wajah itu sudah seperti udang kena bakar menanggapi usikannya.

“Biasa-biasa saja,”

“Hmm… kau rasa- rasa serius ke cadangan nenek?,”

Tiara mengangguk.

“Aku tak kisah,”

“Pasal duit, mana awak nak kisah,”

Amar tersenyum.

“Amar, awak tak rasa ke, tak baik kita tipu nenek macam ni? Saya rasa macam bersalah pula,”

“Kita tipu apa?,”

“Yalah. Perkahwinan ni. Lakonan ni. Depan nenek kita tunjuk bahagia,”

“Lah.. bukan depan nenek aje. Belakang nenek pun kita bahagia kan? Kau bahagia di Kedah, aku bahagia di Johor. Kan?,”

“Tapi, sampai bila?,”

Amar menjongket bahu.

“Kenapa tiba-tiba kau fikir pasal semua ni?,”

“Entahlah. Bila tengok nenek. Bila nenek tanya pasal kita. Rasa macam nenek harap sangat kita ni macam suami isteri betul-betul,”

“Memang kita suami isteri betul-betul pun. Kan? Berpeluh tangan aku bersalam dengan tok kadi tahun lepas. Tahu?,”

Tiara diam tidak terkata. Amar pura-pura tidak faham maksudnya. Atau, lebih tepat lagi, Amar sengaja memancing rasa geramnya. Kes nak cari gaduh. Sudahnya dia mengangkat punggung, serentak dengan deringan telefon Amar. Dia menoleh. Memandang Amar yang laju menjawab panggilan itu.

“Ya…ya sayang. Tengah buat apa tu?,”

Sayang?! Bulat mata Tiara merenung wajah Amar yang sudah tidak mengacuhkannya. Sayang? Amar ada kekasih ke? Dan, kalau pun Amar ada kekasih, kenapa dia harus kisah. Mestilah! Aku isterinya! Dia terkebil-kebil. Terkejut dengan jeritan hati sendiri. Senyum Amar tiba-tiba membuat dia meluat. Segera dia melangkah sambil menolak daun pintu kuat. Berdentum.

“Hoi!,”

Jeritan Amar tidak dia hiraukan. Terus melangkah membawa perasaan yang tidak menentu.



****

Tangannya laju membawa tetikus menelusuri facebook di screen computer riba. Membaca info terkini yang tertera di dinding facebook. Dia tersenyum. Kemudian membuka kotak sembang. Dua hari di kampung, dia sibuk dengan neneknya. Tiada masa untuk mengikuti perkembangan rakan online nya itu.

Teratak Iltizam: Nampaknya awak ada program baru…

Agak lama dia menunggu sambil membuka album. Melihat kegiatan gotong-royong yang dijalankan temannya itu.

Rumah Harapan: Yup. Dah a week ago saya rasa.

Teratak Iltizam: Macam mana cadangan saya tu?

Rumah Harapan: Not bad. Saya rasa cadangan awak tu bagus. Dalam proses sediakan

maklumat. Awak dah lama mulakan projek tu?

Teratak Iltizam: Dah dekat setahun. Alhamdulillah. Banyak membantu. Sekurang2 nya

kami dapat maintain income bulanan kami. kalau nak bergantung dengan

derma dan sumbangan semata-mata, susah juga. Kat sini, ada lebih

kurang 50 anak yatim yang bersekolah. Besar perbelanjaannya.

Rumah Harapan: Tak dinafikan. Kadang-kadang pening nak cari sources. Tiap2 bulan

perbelanjaan boleh tahan banyaknya. Ubat lagi. Rawatan pun. Kalau

kat sinilah. Tapi, idea awak memang bagus. Jadi usahawan tani ya. Nanti

saya akan panjangkan kepada boss saya.

Tiara tersenyum. Memang usahanya mendatangkan hasil. Dengan bantuan penduduk kampung yang sudi sewakan tanah yang terbiar, dia usahakan aktiviti pertanian menggunakan duit pemberian neneknya. Aktiviti yang kini berjaya menjadi satu punca pendapatan utama untuk rumah anak yatim yang dibukanya bersama beberapa orang penduduk kampung. Bukan materialistik. Cuma, rasanya banyak perkara yang boleh dia lakukan dengan duit yang dijanjikan neneknya itu. jadi, saranan Amar diterima dan dia selamat dinikahkan dengan lelaki itu. Kini, masalah kekurangan sumber kewangan sudah berjaya dia atasi. Cuma, masalah perasaan pula yang melanda sejak dia mendengar perbualan mesra Amar tempoh hari.

“Apa ni?,”

Tiara berpaling. Mengurut dada perlahan. Siapa lagi yang sanggup membuat dia terkejut sebegitu rupa?

“Awak! Kalau jangan buat saya terkejut, boleh tak?,”

Amar tersenyum.

“Facebook kau?,”

Tiara menjeling sambil menghalang pandangan Amar ke screen laptopnya. Tidak mahu lelaki itu melihat facebook nya.

“Jangan menyibuk hal orang, boleh tak, Encik Amar?,”

“Aku menyibuk hal wife aku. Bukan hal orang,”

Malas mahu melayan jarinya pantas mencari icon pangkah. Mahu menutup wondow Facebook. Sepantas jarinya ditepis tangan Amar.

“Kejap. Aku nak tengok,”

“Nak tengok apa?,”soalnya geram.

“Tengok kau ada boyfriend ke tak…,”

Tiara jegilkan mata. Melampau betul tuduhan lelaki ini.

“Heloo… saya ni, tahu status diri. Ok!. Bukan macam awak tu. Jangan risaulah ya. Saya tak ada boyfriend. Dah, tepi. Pergi main jauh-jauh,”

“Dah tu, kenapa takut sangat aku tengok FB kau tu?,”

“Ini kan ruang private saya. Mana boleh awak ceroboh sesuka hati,”

“Tepi sikit. Aku nak tengok,”

Tiara jatuh terduduk di tepi katil sebaik tangan Amar selamba menolak tubuhnya. Dengan selamba lelaki itu mengambil tempatnya. Menarik computer ribanya. Tekun memandang screen.

“Awak! Sakit tahu tak?,”

Amar menoleh. Tersengih melihat Tiara terduduk di lantai.

“Kau duduk kat lantai kenapa? Duduklah kat sofa kalau sakit punggung,”ujarnya selamba.

“Awak ni, kan!,”

Amar terus tersenyum. Tidak berminat mahu terus mengusik gadis itu. Dia tertarik dengan paparan yang berada di depannya kini.

“Teratak Iltizam ni, kau punya?,”

Tiara menarik muncung. Bingkas bangun sambil menggosok punggung.

“Kalau saya punya, kenapa? Ada masalah?,”

Amar mengangkat muka. Tersenyum melihat wajah mencuka Tiara. Sedikit terkejut sebeanrnya dengan apa yang dilihatnya.

“So, kau nak duit nenek tu, sebab ni lah?,”

“Saya punya pasal lah. Duit saya. tak ada kena mengena dengan duit awak kan?,”

“Kenapa kau tak cakap?,”

Tiara bergerak bersandar ke katil sambil kaki berjuntai ke lantai. Soalan Amar tidak perlu dijawab. Rahsianya juga sudah sampai ke pengetahuan Amar. Begitu selamba lelaki itu menjelajah laman sosialnya itu.

“Tak sangka isteri aku ni, mulia hatinya,”

Tiara mencemik. Kata-kata itu membuat dia teringat panggilan mesra Amar di talian telefon tempoh hari. Entah gadis mana yang menghubungi lelaki itu. Entah sudah berapa lama Amar menjalin hubungan cinta. Sebelum pernikahan mereka atau selepas pernikahan mereka? Kenapa sebelum ini dia tidak pernah kisah? Dan kenapa saat ini, dia terlalu marah bila teringatkan suara Amar yang sebegitu mesra. Amar tidak pernah bercakap semesra itu dengan itu dengannya.

“Hai..aku puji pun, pandang macam nak telan?,”

Tiara sedikit tersentak. Tersedar yang renungannya tajam menikam wajah Amar. Amar tersenyum sambil kenyitkan mata. Membuat jantungnya berkocak tiba-tiba. Pantas dia mengangkat punggung. Tidak mahu berlama dengan lelaki itu. Terasa perasaannya semakin parah. Dia harus siasat punca anehnya perasaan ini. Dia harus lari dari lelaki ini.

“Nak ke mana tu?,”

“Suka hati saya lah. Jangan lama-lama tengok FB saya. Jangan mengada nak menyamar. Jangan gatal nak tackle kawan-kawan saya,”

“Baik sayang… tak lama sayang. Kejap lagi abang off ye sayang,”

Tiara menggigit bibir. Senyum Amar yang meleret menambah geram di hati. Namun, untuk membalas kata-kata lelaki itu, jantungnya sudah tidak mampu berdegup.

“Gatal!,”gumamnya geram. Terus berlalu keluar dari bilik. Meninggalkan Amar bersama sisa gelaknya.





****

ALAMAK! BERSAMBUNGLAH PULAK. TP, TAK APA. SEBAB INI CERPEN, JADI KEJAP AJE KENA TUNGGU 

NANTIKAN SAMBUNGANNYA YA….

Monday, April 19, 2010

Sekadar Di hati...8

Hashimah bungkam. Kelu sebenarnya. Matanya dikerling ke arah Najwa yang menunduk.

“Aja tak pernah cerita pada makcik pun. Kamu datang hari tu pun, dia tak cakap apa-apa,”

“Aja selalu menolak. Katanya dia nak lepaskan semua adik-adik habis belajar. Sebab tu saya buat terpaksa buat keputusan terburu-buru macam ni. Saya terus cakap dengan makcik. Aja pun belum tahu apa-apa. Kalau saya bincang dengan Aja dulu, dia mesti tak setuju. Makcik, saya nak kahwin dengan Aja. Secepat yang mungkin. Makcik jangan risau. Saya berkahwin dengan Aja bermakna saya ambil segala tanggungjawab Aja,”

“Bukan risau. Cuma makcik terkejut. Mengejut sangat,”

Luqman tersenyum.

“Saya tahu, makcik. Saya datang untuk beritahu makcik niat saya. Saya berharap sangat makcik tak halang dan izinkan keluarga saya datang meminang. Kemudian langsungkan terus pernikahan kami,”

Hashimah mengeluh panjang. Benar-benar di luar jangkaannya kedatangan Luqman kali ini membawa hajat besar. Sekali lagi dia menoleh memandang Najwa yang terus membisu dari tadi.

“Kenapa Aja tak pernah cerita pada mak?,”

Najwa mengangkat muka. Merenung wajah tenang itu. Apa yang hendak dia katakan? Diam? Itu bukan penyelesaiannya.

“Aja tak nak mak susah hati. Kalau Aja kahwin, mesti mak risau pasal sekolah adik-adik. Sebab tu, Aja diam dulu. Tak sangka abang Man tiba-tiba buka mulut kat mak pula,”lambat-lambat bibirnya turut mengalun pembohongan. Dia terpaksa berbohong. Dia dapat melihat sejauh mana Luqman berusaha untuk memperlihatkan tiada kepincangan dalam dirinya. Sebolehnya Luqman melindungi dirinya. Dan demi ibunya, rasanya bibirnya juga harus berbohong. Matanya menikam wajah Luqman yang tenang. Sungguh. Dia gagal menebak apa yang sedang bermain di hati lelaki itu.

“Hmm… itu kan masa depan kamu juga. Kamu boleh kongsi dengan mak, Aja,”

Najwa diam. Tunduk sekali lagi.

“Saya nak nikah secepat yang mungkin, makcik,”

Hashimah memalingkan muka. Merenung wajah anak muda di hadapannya itu. Tingkah Luqman, langsung tiada cela. Anak muda itu baik. Berbudi bahasa. Tiada sebab untuk dia menolak kalau memang itu pilihan Najwa. Namun, permintaan Luqman membuat dia sedikit goyah.

“Kenapa cepat sangat? Nanti pelik pula orang kampung tengok. Jadi fitnah nanti,”

Najwa kaku. Soalan ibunya membuat dia gerun. Membuat dia sedih. Betapa ibunya terlalu risaukan tohmahan orang. Tetapi, hakikatnya, sugunung malu telah dia letakkan di bahu wanita tua itu.

“Benda elok, buat apa nak ditangguh-tangguh, makcik?,”

“Aja setuju ke?,”

Najwa telan liur. Perlahan mengangkat muka. memandang wajah Luqman yang tersenyum senang. Kemudian memandang pula wajah ibunya yang menanti jawapan.

“Aja ikut aje,”akhirnya Cuma itu yang mampu diluahkan.

“Mak kamu cakap apa? Dia dah tahu ke?,”soalan Hashimah tertuju pula pada Luqman.

“Dah. Tunggu keputusan makcik saja. Kalau makcik setuju, kami akan uruskan majlis nanti. Mungkin kita buat majlis kecil dulu makcik sebab sekarang ni saya sibuk dengan kerja. Bila kerja dah selesai, kita boleh langsungkan majlis yang lebih besar,”

“Memang serius ke kamu nak kahwin cepat ni?,”

Luqman tersenyum.

“Kalau ikutkan saya, dah lama dulu lagi, saya nak kahwin, makcik. Saya serius. Sementara Aja rasa nak setuju, baik saya langsungkan cepat-cepat. Nanti, dia buat tak nak kahwin lagi, lama lagi saya terpaksa menunggu,”seloroh Luqman bersama senyum lebar. Membuat senyum yang sama turut terukir di bibir Hashimah.

Najwa pula diam seribu bahasa. Sungguh. Perbincangan itu perlahan-lahan membuat hatinya hancur. Membuat penyesalannya bagai tidak bertepi. Andai dia tidak khilaf. Andai dia tidak meletakkan seratus peratus kepercayaan pada Zarith, Luqman tidak perlu berkorban sebegini untuknya. Dia juga tidak perlu berbohong pada ibunya sebegitu. Sekali lagi dia dibuai rasa sedih. Sungguh dia menyesal. Menyesal yang bukan sedikit. Tanpa sedar, jemarinya menyentuh perut. Mengingatkan dirinya ada nyawa sedang berkongsi jasad dengannya. Mengingatkan dirinya ada dosa yang dia tidak pasti bakal tertebus atau tidak. Ada hati yang bakal terluka. Ada kehidupan yang bakal terkorban. Semuanya kerana kesilapannya. Dalam diam dia memandang wajah Luqman. Kosong renungannya. Menikmati senyum dan bicara lelaki itu dengan ibunya. Apa yang dibicarakan, dia sudah tidak ambil peduli. Keluhuran hati lelaki itu benar-benar membuat dia mati akal. Mahu menolak. Hal yang terjadi terlalu besar untuk dia abaikan pertolongan yang Luqman sudi hulurkan. Untuk menerima? Terasa hatinya tidak mampu membenarkan Luqman memusnahkan masa depan sendiri demi menutup aib yang dia cipta. Sukarnya pilihan yang dia ada kini.

“Maafkan saya, abang…,”hatinya berbisik perlahan.

“Aja dah bersedia ke nak jadi isteri orang?,”

“Hah?,”sedikit terpinga-pinga dia menyambut soalan ibunya. Fokusnya bukan pada perbincangan Luqman dan ibunya. Fikirannya tenat memikirkan pengorban Luqman yang tidak tahu bagaimana harus dia balas.

“Mak Tanya, Aja dah betul-betul bersedia ke nak jadi isteri orang? Perkahwinan ni, bukan perkara main-main. Aja kena fikir masak-masak. Mak tak nak nanti, separuh jalan, macam-macam masalah yang timbul,”

“Entah,”terpacul jawapan itu tanpa sedar. Membuat Hashimah mengeluh perlahan.

“Itu yang mak tak nak dengar tu…,”

Najwa tersenyum kecil.

“Aja tahu niat abang Man ikhlas. Aja yakin abang Man takkan kecewakan Aja dan mak. Aja ikut saja, mak,”

“Betul ni?,”

Najwa diam. Mengerling pada Luqman yang tersenyum panjang. Tiba-tiba ada sedikit rasa segan untuk dia mengiyakan. Sudahnya hanya sekuntum senyum nipis yang mampu dia hulurkan buat ibunya.

“Kalau begitu kehendak kamu berdua, mak ikut saja. Jemputlah keluarga Man ke sini. Boleh kita bincang elok-elok,”

Luqman menghela nafas lega.

“Terima kasih, makcik,”

Hashimah tersenyum. Memandang wajah-wajah di hadapannya. Tidak sangka secepat itu anak gadisnya mahu mengakhiri zaman daranya.



****

“Kenapa bang?,”

Luqman mengerling seketika. Kemudian tumpuannya kembali ke jalan raya. Memandu dengan cermat.

“Kenapa apa?,”

“Abang tak bincang dengan saya dulu pun. Tiba-tiba ajak saya jumpa mak. Rupa-rupanya abang nak cakap pasal ni,”

Luqman tersenyum.

“Kenapa? Aja tak setuju?,”

Najwa mengeluh perlahan. memandang terus ke hadapan.

“Memang saya tak setuju bang. Tapi, saya tak boleh menolak. Saya tahu abang nak tolong saya. Tapi…pertolongan abang ni….,”kata-katanya putus di situ. Dia menoleh. Memandang wajah Luqman dari sisi.

“Saya ni selfish ke bang? Kejam ke saya ni bang?,”soalan itu meniti di bibirnya.

Luqman tersenyum.

“Kenapa Aja Tanya macam tu?,”

“Saya sedang musnahkan masa depan abang. Abang nak hulurkan bantuan. Saya boleh menolak. Saya boleh cakap saya tak setuju depan mak tadi. Tapi, sebab takut hadapi kenyataan, saya sanggup setuju. Jahat ke saya, bang?,”

“Aja… dengar sini. Aja tak jahat. Aja tak selfish. Abang tak rasa pun masa depan abang musnah,”

“Saya tak layak untuk abang…,”

“Siapa kita untuk menilai begitu. Abang buat keputusan bukan tergesa-gesa. Abang dah fikir masak-masak. Abang yakin dengan keputusan abang. Abang nak tolong Aja. Abang nak pastikan peristiwa ni tak akan buat Aja terus tersungkur,”

Najwa diam. Terharu mendengar penjelasan itu.

“Kenapa abang baik sangat ya?,”perlahan soalan itu meniti di bibirnya.

“Tak gembira ke, dapat suami baik?,”senda Luqman bersama senyum lebar.

“Kenapa Zarith tak macam abang?,”

“Jangan kesalkan itu semua…,”

Najwa terus diam. Gurau Luqman tidak membawa senyum di bibirnya. Kata-kata Luqman pula terus mematikan hasratnya untuk terus berbual.

“Mak abang mesti tak setuju kan?,”setelah agak lama membisu, soalan meluncur dari bibirnya.

Luqman menoleh. Wajah sendu itu direnung seketika.

“Abang tak nak bohong pada Aja. Tapi, abang nak Aja tahu yang mama tak boleh halang niat abang,”

“Kan tak baik abang buat macam tu kat mak abang?,”

“Susah nak tentukan soal baik dan tak baik tu, Aja. Tindakan mama abang pada Aja pun, tak baik juga. Kalau boleh, abang nak mama lebih bertanggungjawab. Abang berdoa, satu hari nanti, mama akan akan restui perkahwinan kita dengan ikhlas,”

“Aja dah menyusahkan ramai orang…,”

Luqman mencari wajah Najwa. Tersentuh dengan luahan perasaan Najwa. Tiba-tiba terasa dia begitu hampir dengan gadis itu apabila ganti nama saya sudah tiada di bibir Najwa. Dia tersenyum.

“Jangan pesimis macam ni. Aja tak susahkan sesiapa. Aja diduga dan Aja kena kuat tempuhi dugaan ni. Mungkin ini semua bermula dari kesilapan Aja. Dan Zarith. Tapi, Aja tak boleh beralah dengan kesilapan tu. Aja kena bangun dan betulkan keadaan. Kalau Aja betul-betul menyesal, Aja kena bertaubat. Berjanji tak akan ulang kesilapan yang sama lagi. Itu lebih baik daripada Aja asyik menyesali diri. Asyik menyalahkan diri sendiri,”

Najwa diam. Memandang Luqman sambil mencerna segunung nasihat dari lelaki itu.

“Kalau Aja tak jumpa abang, Aja tak tahulah macam mana Aja nak hadapi semua ni,”

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Kan?,”

Najwa tersenyum kecil.

“Mungkin Aja dah mati. Kan? Kena langgar kereta,”

Luqman tersenyum.

“Mungkin Aja kat hospital dengan kaki dan tangan tergantung…,”

Najwa tergelak. Tiba-tiba terbayang dia terbaring di katil hospital dengan kaki dan tangan tergantung.

“Pandai pun ketawa…,”

Usikan Luqman kali ini, mampu membuat senyum terukir di bibirnya.

“Masa tu, Aja yakin je, Aja akan mati. Tak terfikir pun kemungkinan Aja cedera aje. Cacat ke lepas kemalangan tu,”

“Sebab masa tu syaitan berusaha keras yakinkan Aja itu saja jalan penyelesaian yang ada. Menyesatkan tu, kerja syaitan,”

Najwa mengangguk perlahan. Sedar betapa bodohnya tindakan dia tempoh hari.

“Bodoh betul Aja ni. Kan?,”

“Tak bodohlah…. Cuma kurang cerdik sikit,”

“Samalah tu,”ujar Najwa tersenyum. Selamba saja Luqman membuat komentar.

“Terima kasih ya bang. Sebab selamatkan Aja hari tu,”sambungnya lembut.

Luqman menarik nafas dalam. Melemparkan senyum pada gadis yang sudah mula mahu bercakap panjang dengannya itu.

“Terima kasih pada ALLAH. Bersyukur pada ALLAH sebab Dia masih sayangkan Aja. Dia masih mahu beri Aja peluang untuk Aja tebus kesilapan Aja,”

Najwa mengangguk lagi. Betul kata Luqman. Kalaulah nyawanya tercabut dari badan waktu itu, tiada kesempatan untuk dia sujud memohon ampun. Lebih buruk, dia akan mati dalam dosa yang melimpah – ruah. Mata dipejamkan sambil menekan dada. Nauzubillah!

“Kenapa Aja? Pening ke? Nak muntah? Abang berhentikan kereta kalau Aja nak muntah,”

Najwa membuka mata. Menggeleng perlahan.

“Betul ni?,”

“Betul. Kenapa? Abang takut Aja muntah dalam kereta abang ni ya?,”usiknya sambil tersenyum. Membuat Luqman turut tersenyum.

“Ke situ pula dia…,”

“Aja gurau,”

“Baguslah,”

“Apa yang bagus?,”

“Aja dah pandai bergurau…,”

Najwa tersenyum. Gembira? Entahlah. Tetapi, kehadiran Luqman mampu membuat dia berasa tenang. Berasa segalanya akan berubah menjadi baik. Cuma satu perkara yang perlu dia ingat. Pengorbanan Luqman terlalu besar. Terlalu besar sehingga dia gerun untuk menerimanya.

“Kenapa bang?,”sekali lagi dia bertanya.

“Kenapa apa pula kali ni?,”

“Kita kenal tak sampai dua minggu. Abang nekad nak kahwin dengan Aja?,”

“Tuhan lebih tahu sebabnya. Abang tak boleh jawab soalan tu,”

“Kita kahwin sampai bila bang?,”sekali lagi dia bertanya.

Luqman menoleh. Sedikit terkejut dengan soalan itu.

“Kenapa tanya macam tu?,”

Najwa menggeleng. Lebih baik dia diam rasanya.

“Aja nak tidur kejap,”

“Tidurlah. Nanti sampai di kawasan rehat Temerloh, abang kejutkan Aja,”

Najwa diam. Berpaling sambil sandarkan kepala ke kerusi. Membiarkan Luqman terus memandu.





****

[11:35:50 PM] hos.getah: