Sunday, November 30, 2008

Pergilah Air Mata 25

“Tak nak tambah ke, Yana?,”
Dayana tersenyum sambil menggeleng perlahan. Datin Hamidah tersenyum kecil sambil menolak pinggannya.
“Betul ke you tak nak tambah ni? Sedap Kak Milah masak ni. You pula, sikit benar you makan,”
“Dah kenyanglah,”
Badrul menjungkit bahu sambil tersenyum. Datuk Hamidi cuma memandang gelagat anak dan menantunya itu.
“I naik dulu ya. Mama..abah…saya naik dulu,”
Datin Hamidah mengangguk. Datuk Hamidi pula sekadar mengukir senyum. Badrul membasuh tangan sambil menolak pinggan yang sudah kosong.
“Bad, tunggu sekejap,”Datuk Hamidi bersuara sebaik Badrul mengangkat punggung dari kerusi. Datin Hamidah yang sudah mula melangkah meninggalkan meja makan, mematikan langkahnya seketika. Memandang ke arah suaminya. Cuma untuk seketika, sebelum dia berlalu meninggalkan Badrul dan Datuk Hamidi di meja makan. Tidak mahu mengganggu perbincangan suaminya dan Badrul.
“Ada apa, abah?,”Badrul mengajukan pertanyaan. Perlahan dia duduk semula ke kerusi.
“Ada perkara yang abah nak cakap sikit,”
Badrul diam. Setia menunggu apa yang ingin bapanya katakan. Datuk Hamidi membetulkan duduknya. Menunggu Jamilah membawa pinggan ke ruang dapur. Sebaik bayang pembantu rumah itu hilang dari pandangannnya, matanya kembali tertumpu pada wajah Badrul. Badrul tersenyum sambil bersandar ke kerusi.
“Sabrina apa khabar?,”
Badrul merenung wajah bapanya. Soalan itu terasa menggeletek jiwanya. Dia tersenyum kecil.
“Kenapa abah tanya? Kan hari-hari nampak dia?,”soal Badrul lucu.
“Abah memang jumpa dia hari-hari. Kamu? Bila kali terakhir kamu jumpa dia? Kamu kena ingat Badrul. Tanggungjawab kamu pada Sabrina sama dengan tanggungjawab kamu pada Dayana. Besar tanggungjawab tu, kamu tahu?,”
Badrul terdiam. Senyumnya juga mati perlahan-lahan. Soalan bapanya rupa-rupanya bersebab. Dia sendiri lupa bila kali terakhir dia berselisih dengan Sabrina. Sejak pulang dari Bali, Sabrina berusaha mengelak dari bertemu dengannya. Dia pula, seakan lupa pada Sabrina apabila Dayana sering berada di sisinya. Mendengar nama itu dari mulut bapanya, mengingatkan dia bahawa Sabrina masih lagi ada bersamanya. Dia tersenyum kelat. Sekejap ingatannya begitu kuat pada Sabrina. Namun, dalam sekelip mata, wajah gadis itu langsung tiada di mindanya. Sungguh dia keliru dengan perasaannya sendiri. Cuma, saat ini dia tidak terlalu mengacuhkan perasaannya itu. Dia lebih senang menikmati alam perkahwinannya dengan gadis yang dia cintai.
“Abah tak suka tengok kamu macam ni. Sabrina tu isteri kamu. Dia ada hak ke atas kamu. Kamu tak boleh terus menghukum dia macam tu,”
“Dia tak kisahlah, abah,”ujar Badrul perlahan. Datuk Hamidi merengus marah.
“Mana kamu tahu dia tak kisah?,”
Badrul memandang wajah bapanya. Mencari kata-kata yang sesuai untuk dilontarkan.
“Biarlah saya yang uruskan hal saya dengan Sabrina, abah. Kami tahu apa kami buat,”akhirnya dia bersuara lemah.
Datuk Hamidi diam. Cuma matanya tajam mencerlung Badrul. Badrul tunduk. Sedar kata-katanya sedikit kasar. Sedar kata-katanya mampu membuat bapanya berkecil hati.
“Kamu tahu apa kamu buat? Baiklah. Abah nak tengok sejauh mana kamu tahu apa kamu buat,”
Badrul mengeluh panjang. Ternyata bapanya terus- menerus melayannya seperti seorang anak kecil. Ingin mengatur setiap apa yang patut dan tidak patut dia lakukan. Satu situasi yang membuat dia rimas.
“Ada apa-apa lagi ke, abah?,”
Mendengar soalan Badrul, Datuk Hamidi memandang wajah anaknya itu tanpa emosi. Degil. Keras kepala. Itulah Badrul.
“Kalau boleh, malam ni, luangkan masa dengan isteri pertama pula,”sindir Datuk Hamidi dalam lembut. Badrul bungkam. Mengangkat punggung dengan wajah mencuka. Laju melangkah meninggalkan ruang makan. Hampir bertembung dengan Sabrina yang juga agak laju menuruni tangga.
“Sorry,”ucap Sabrina sambil tegak berdiri di hadapannya.
“Sorry…Sorry… Sorry. Itu sajalah yang kau tahu,”
Sabrina kerutkan kening. Melihat wajah masam Badrul. Tiba-tiba menghamburkan kemarahan padanya. Pasti ada sesuatu yang mengganggu lelaki ini.
“Kenapa ni? Masam je muka?,”tegur Sabrina sekadar beramah. Sedaya-upaya dia cuba mengelak dari Badrul. Malam ini, bertembung juga dengan suaminya ini.
“Kaulah,”
“Saya? Kenapa? Apa saya buat?,”
Badrul mengeluh panjang. Tiada guna dia lepaskan geram pada Sabrina yang tidak tahu apa-apa.
“Tak ada apa-apalah. Tepi, aku nak lalu,”
Sabrina bergerak memberi ruang untuk Badrul melangkah. Dia Cuma memandang Badrul separuh berlari meniti anak tangga. Tidak sabar hendak jumpa Dayanalah tu…hatinya merungut. Ada sedikit rasa geram yang membuat dia menjadi kurang senang dengan perasaannya sendiri. Cepat-cepat dia menampar pipinya sendiri sambil menyambung langkah yang terhenti. Cuba sedarkan diri sendiri, jangan terus membiarkan dirinya hanyut dengan perasaan yang cuma akan menambah torehan luka di hatinya.
“Hai… tampar muka sendiri pula? Apa hal sampai tampar muka sendiri ni?,”
Langkah Sabrina mati sekali lagi. Wajahnya terasa membahang. Rupa-rupanya tingkahnya diperhatikan. Perlahan dia menoleh. Datuk Hamidi memandangnya sambil bersandar di kerusi. Dia cuma mampu tersengih sambil menggeleng perlahan. Membuang rasa malu yang menyerbu tiba-tiba.
“Nak ke mana tu?,”
“Nak minum,”
“Tak makan ke? Ke sini sekejap. Abah nak cakap sikit,”
Sabrina menelan liur. Risau setiap kali Datuk Hamidi melontarkan dialog itu. Perlahan dia melangkah ke meja makan. Menarik kerusi sebelum duduk menghadap wajah bapa mertuanya.
“Milah! Siapkan makan malam untuk Sabrina ni,”
“Tak payahlah abah. Saya tak nak makan. Dah kenyang,”cepat-cepat Sabrina bersuara. Memang dia tidak berhajat untuk turun makan. Dia cuma mahu mencari air. Dahaga.
“Milah. Cepat,”
Sabrina mengeluh lemah. Kalau itu dialog Datuk Hamidi, maknanya dia tidak boleh membantah lagi. Satu persamaan antara Badrul dan Datuk Hamidi. Sama-sama suka memerintah. Dan, sama-sama mahu setiap kata-kata yang meniti di bibir mereka mesti dipatuhi.
“Kenapa tak turun makan sekali tadi?,”
“Saya…,”Sabrina cuba mencipta alasan. Namun, gagal. Memang dia sengaja tidak mahu hadirkan diri di antara Dayana dan Badrul.
“Mengelak? Mengelak dari apa?,”
“Tak adalah, abah. Bukan nak mengelak. Cuma, tak lapar,”bohong Sabrina perlahan.
“Setiap hari tak lapar? Pelik tu…,”
Sabrina menatap wajah orang tua di hadapannya. Dia tahu, bohongnya tidak menjadi di telinga Datuk Hamidi. Sudahnya dia cuma mengukir sekuntum senyum sumbing.
“Mulai esok, setiap kali makan malam, abah nak Ina pun ada sekali,”
“Abah…,”
“Itu keputusan abah. Apa bezanya Ina dengan semua orang dalam rumah ni? Kenapa perlu nak mengelak? Sebab Dayana? Kan, Ina sendiri yang sudi jemput Dayana datang ke rumah ni? Sudi nak berkongsi suami dengan dia? ,”Datuk Hamidi bersuara tegas. Membuat Sabrina resah di kerusinya.
“Abah, please… Jangan paksa Ina?,”
“Bagus…Bagus betul. Yang seorang tu… bagi amaran, tak mahu abah masuk campur urusan dia. Yang kamu pula, bagi amaran jangan paksa-paksa kamu, ya?,”
Sabrina mengangkat muka. Menatap wajah Datuk Hamidi. Bukan itu maksudnya.
“Abah… saya minta maaf. Bukan itu maksud saya. Bukan maksud saya nak kurang ajar dengan abah. Tapi, sebolehnya saya tak nak buat semua orang tak selesa. Sebab tu saya…,”
“Berkurung dalam bilik?,”sampuk Datuk Hamidi lembut. Sabrina memandang wajah Datuk Hamidi tanpa menjawab soalan itu.
“Kamu selesa, bila kamu buat begitu?,”
“Apa yang saya rasa, tak penting, abah…,”
“Bagi abah, itu semua penting. Kita di sini satu keluarga. Kamu, menantu abah. Sebahagian daripada keluarga ni. Kenapa pula kamu mesti nak mengelak sampai macam ni sekali? Tak adil pada kamu kan?,”
“Abah… Sebenarnya saya lebih senang macam ni. Kalau boleh, abah jangan paksa saya ya? Abah boleh suruh saya buat apa saja. Tapi, jangan paksa saya bertembung dengan mereka…,”
Datuk Hamidi mengeluh perlahan. wajah Sabrina sudah berubah mendung. Niat untuk terus bertegas, hilang tiba-tiba. Simpati pula yang menjentik rasa.
“Tapi, sampai bila? Dulu, kamu kata kamu tak kisah kalau Badrul kahwin dengan Dayana. Kalau kamu betul-betul tak kisah, kenapa tak nak bertembung? Kenapa kamu perlu lari dari suami sendiri?,”
Sabrina diam. Itu dulu, abah… hatinya menjawab dalam diam.
“Abah dah nasihatkan dulu. Kamu degil…,”
“Tak apalah abah. Sekurang-kurangnya sekarang ni, Bad dah gembira kan?,”
“Abah tak nak tengok cuma Badrul yang gembira. Abah nak tengok kamu berdua gembira. Mungkin kamu berdua ada buat silap dulu. Tapi, tak bererti kamu berdua tak boleh betulkan dan hidup bahagia…,”
Sabrina tunduk memandang meja. Lagi-lagi Datuk Hamidi terus membuat kesimpulan, peristiwa itu terjadi kerana silapnya. Atau barangkali kerana silap Badrul. Atau lebih tepat, Datuk Hamidi menyalahkan dia dan Badrul di atas insiden yang memalukan itu.
“Ina?,”
Mendengar namanya di bibir Datuk Hamidi, dia mengangkat muka.
“Ina salahkan abah sebab abah paksa Ina kahwin dengan Badrul?,”
Laju Sabrina menggeleng.
“Abah minta maaf. Abah ingat kamu boleh terima antara satu sama lain. Apa yang jadi ni, betul-betul di luar jangkaan abah,”
“Abah tak perlu minta maaf. Saya tak pernah salahkan abah. Tak pernah salahkan sesiapa pun. Mungkin ini yang tersurat untuk untuk saya. Jadi, saya kena terima,”
“Tapi, abah terkilan tengok Badrul layan kamu ni,”
Sabrina mengukir senyum.
“Layanan Badrul pada saya sekarang jauh lebih baik dari dulu, abah. Badrul dah banyak berubah,”
“Tapi, dia tetap belum terima kamu sebagai isteri, kan?,”
Sabrina memandang wajah Datuk Hamidi. Memang ada sedikit kekesalan di wajah itu. Kekesalan yang tidak boleh mengubah apa-apa.
“Abah, jangan risau pasal saya, ya. InsyaALLAH saya okay,”
Datuk Hamidi mengeluh perlahan sambil mengangkat punggung.
“Kalau boleh bertegas sikit dengan Badrul tu. Ingatkan dia tentang tanggungjawab dia pada kamu. Takkan selamanya kamu nak terabai macam ni. Abah betul-betul tak suka apa dia buat pada kamu sekarang,”
Sabrina tersenyum mendengar kata-kata itu. Perlahan dia mengangguk sekadar menyedapkan hati Datuk Hamidi. Ingatkan Badrul tentang tanggungjawabnya? Mustahil. Kerana saat ini dia cuma menunggu lelaki itu melepaskannya. Seperti yang Dayana sampaikan padanya dulu. Cuma, bila saat itu akan tiba? Sudah lama rasanya dia bermadu dengan Dayana. Sudah lebih sebulan. Pahit madu itu sudah mula meresap ke jiwanya.
“Dan, satu lagi. Makan. Jangan guna alasan tak lapar lagi. Nanti kalau sakit, susah,”
Sabrina tergelak kecil.
“Yalah, abah,”balasnya sambil tersenyum panjang. Datuk Hamidi mengukir senyum sebelum berlalu meninggalkan Sabrina sendirian di meja makan. Perlahan dia melepaskan satu keluhan. Memandang hidangan di meja yang sudah berusik.
“Ina nak makan ke? Akak ambilkan lauk baru untuk Ina,”
Sabrina menoleh. Jamilah tercegat di ruang dapur. Sabrina menggeleng sambil mengangkat punggung. Bergerak menuju ke dapur.
“Betul tak nak makan ni?,”
“Tak laparlah, kak. Nak minum saja,”
“Nak minum apa? Akak buatkan,”
Sabrina tersenyum.
“Tak payahlah. Saya buat sendiri. Kak Milah buatlah kerja akak,”
Jamilah memandang seketika pada Sabrina yang mencapai mug dan sudu. Yakin Sabrina tidak perlukan apa-apa darinya, Jamilah bergerak semula ke ruang makan. Ingin mengemas meja tang baru ditinggalkan.
Sabrina mengacau milo di dalam mug perlahan-lahan. Kemudian meletakkan sudu ke dalam sinki. Buat seketika, dia termenung mengingatkan kata-kata Datuk Hamidi. Dia bernasib baik kerana masih ada Datuk Hamidi yang mengambil berat tantangnya. Dan, Jamilah yang semakin hari semakin rapat dengannya. Badrul? Lelaki itu saat ini leka dalam kebahagiaannya sendiri. Dia mengeluh pendek sambil tunduk ingin mencapai mugnya. Tiada. Berkerut keningnya sambil menggaru kepala. Ke mana hilang mug di hadapannya ini?
“Kat sini,”
Sabrina menjerit. Hampir terloncat di situ. Segera dia menoleh. Badrul santai meneguk milo yang dia sediakan seraya bersandar pada kerusi. Wajah masam lelaki itu sudah hilang.
“Lain kali, mintalah,”Sabrina merungut perlahan. Badrul tersenyum kecil.
“Tak ada beza, aku minta atau tak. Bukan kau dengar pun, kalau dah start termenung macam tu. Apa yang kau lamunkan ya?,”
Sabrina menggeleng perlahan. Memandang Badrul meneguk milonya. Sudahnya, dia bergerak ke meja lalu tuangkan air masak ke dalam gelas yang memang tersedia di situ. Malas menyediakan satu lagi milo.
“Duduklah,”
“Tak apalah. Saya nak masuk tidur dulu,”balas Sabrina bersama gelas di tangan.
“Duduklah… Awal lagi ni,”Badrul bersuara sekali lagi. Dalam enggan, Sabrina mengambil tempat di hadapan Badrul.
“Apa awak buat kat sini? Selalu dah hilang dalam bilik,”Sabrina bersuara. Memecah kesunyian apabila Badrul lebih senang berdiam diri.
“Nak minum,”
Sabrina mengangguk perlahan. Kelu. Badrul diam lagi. Terasa kekok berdepan dengan Badrul dalam suasana bisu sebegini.
“Bad…,”
Badrul mengangkat muka. Lembut suara Sabrina memanggilnya. Meresap jauh ke sudut hatinya. Wajah Sabrina ditatap lama., membuat Sabrina bertambah kekok. Lidah pula tiba-tiba jadi bertambah kelu.
“Janganlah pandang macam tu…,”
“Suka hati akulah. Mata aku,”
Sabrina menarik muka. Apa yang ingin dia suarakan seakan-akan hilang.
“Saya naik dululah,”Sabrina bersuara sambil mengangkat punggung. Membuat Badrul tergelak kecil.
“Okay. Sorry. Apa dia? Kau nak beritahu aku sesuatu ke?,”Badrul bersuara sambil mencapai tangan Sabrina. Pantas Sabrina menarik tangannya. Bimbang ada mata yang memandang.
“Tak apalah. Tak penting,”ucapnya sedikit gugup.
“Cakaplah. Aku dengar ni,”
Sabrina kaku berdiri di hadapan Badrul. berkira-kira untuk bersuara atau tidak. Tetapi, kalau bukan sekarang, bila lagi dia akan dapat bersemuka dengan Badrul seperti sekarang?
“Sabrina. I’m waiting,”
“Okay. Saya nak minta izin bekerja. Boleh?,”
“Tak boleh,”
Sabrina ternganga. Terus dia duduk semula ke kerusi.
“Kenapa pula?,”
Badrul menatap wajah gadis itu yang kelihatan sedikit marah.
“Aku tak izinkan kau keluar dari rumah ni, sendirian. Kau nak kerja? Lagilah aku tak izinkan. Faham?,”
“Saya bosanlah berkurung dalam rumah macam ni. Lagipun, saya perlu kerja. Untuk tanggung diri saya sendiri,”
“Kau duduk dalam rumah ni, cukup semuanya. Tak payah keluar duit langsung. No. Aku tak benarkan,”
“Tapi…,”
“Tak ada tapi… tapi. Lagipun, abah nak aku beri kau wang setiap bulan. So, mulai bulan depan, aku akan beri kau RM 2000 sebulan. Lebih dari cukup kan?,”
Sabrina mengetap bibir. Perlahan dia hentakkan kaki ke lantai.
“Nak protes depan aku?,”soal Badrul tanpa senyum. Sabrina menjeling. Bukan wang sebenarnya yang dia inginkan. Dia cuma mahu keluarkan dari sangkar emas ini.
“Saya bosanlah kena kurung macam ni,”
“Bila masa aku kurung kau? Kau bebas ke mana-mana dalam rumah ni, kan?,”balas Badrul pura-pura tidak mengerti akan maksud bicara Sabrina.
“Susahlah cakap dengan awak ni,”
Badrul tersenyum sambil meneguk milo di tangannya. Sabrina mengangkat punggung. Melangkah agak laju mahu keluar dari ruang dapur.
“Oit! Air kau ni,”
Sabrina menoleh. Balik semula ke meja sambil mencapai gelas berisi air masak yang dia letak di atas meja sebentar tadi. Melihat senyum Badrul, geramnya terasa semakin memuncak. Sia-sia dia cuba berdiplomasi dengan Badrul.
“Sabrina,”
“Apa lagi?,”soalnya geram sambil berpaling sekali lagi.
“Lain kali buat milo, jangan manis sangat. Kurangkan susu ya?,”
Sabrina menahan nafas. Geram. Sungguh geram. Badrul tergelak. Dia merengus perlahan sambil melangkah laju meninggalkan Badrul.

****

Saturday, November 29, 2008

Pergilah Air Mata 24

Maria bercekak pinggang. Merenung tajam wajah lelaki itu. Ikmal menoleh. Renungan Maria mengundang rasa hairan di hatinya.
“What?,”Soalnya dengan sedikit senyuman. Maria menjeling sambil bergerak ke jendela. Bersandar di situ sambil terus merenung wajah Ikmal.
“You promise me. Tapi, tengoklah. Janji tinggal janji saja kan?,”
“Apa ni? Aku tak fahamlah. Cuba cakap terang-terang…,”soal Ikmal masih dengan rasa sedikit pelik. Komputer ribanya, ditutup perlahan. Maria bergerak ke arah meja solek Ikmal yang kosong. Cuma deretan beberapa botol minyal wangi pelbagai jenis dan cream rambut yang tersusun di situ. Pantas dia mencapai bingkai gambar di atas meja itu.
“Ni… apa ni?,”
Ikmal memandang Maria mengangkat bingkai gambar berisi foto Sabrina, sambil bergerak pula ke arah meja kerjanya.
“Ni…Semua ni,”
Beberapa bingkai gambar Sabrina diangkat Maria satu persatu. Ikmal tersenyum tawar. Memang biliknya masih penuh dengan gambar Sabrina.
“Tu..dekat katil… Tepi katil.. kat atas meja ni…Kat dinding…Semuanya gambar Ina..,”Maria bersuara dengan nada sedikit geram.
“Sorry, Mar. Bagi aku sedikit masa,”
Maria mengeluh panjang. Berpeluk tubuh sambil merenung wajah Ikmal yang kelihatan serba- salah.
“Aku tahu. Aku tak patut buat kau macam ni. Aku tak adil pada kau, kan?,”Ikmal bersuara perlahan. Pasti Maria berkecil hati. Dia lupa, Maria sekarang adalah tunangannya. Tidak sepatutnya gambar Sabrina yang terus menghiasi kamarnya.
“Dalam bilik kau ni, penuh dengan gambar Ina…,”Maria merungut perlahan.
“Bagi aku masa, Mar…,”
“Aku boleh bagi kau sebanyak mana masa yang kau nak. Tapi, boleh berjaya ke? Boleh ke kau lupakan Ina kalau kau letak dia dan kenangan dengan dia, di setiap penjuru hidup kau? Boleh ke Mal?,”
Ikmal diam. Maria bergerak perlahan menghampiri lelaki itu.
“Aku minta maaf ya, Mar,”
Maria tersenyum kecil. Menarik kerusi kecil dari meja solek, lalu melabuhkan punggung di hadapan Ikmal.
“Kau tak payah minta maaf pada aku Mal. Kau kena minta maaf pada diri kau sendiri. Sebab kau sanggup terus seksa diri kau sendiri. Sampai bila kau nak terus seksa diri sendiri macam ni? Kau kata kau akan cuba. Akan cuba dan akan cuba… Aku yakin, kalau macam nilah cara kau mencuba, kau tak akan berjaya. Kau tak akan dapat buang Ina dari fikiran kau. Percayalah cakap aku,”
Ikmal terus membisu. Memang dia ingin melupakan Sabrina. Tetapi, dia tidak kuat untuk menghalau wajah gadis itu dari hatinya. Dia tidak mahu kenangan-kenangan itu berlalu pergi. Ternyata kehendak akal dan hatinya betul-betul bertentangan. Akalnya nekad mahu melupakan seraut wajah Sabrina, sedang hatinya, bermatian mahu mempertahankan wajah itu.
“Mal… sekarang ni, kau kena realistik. Kau tak boleh terus hidup dalam dunia khayalan kau. Kalau kau boleh kembali pada Sabrina, aku tak kisah kau terus melayan perasaan macam ni. Tapi, Sabrina dah jadi kenangan, Mal. Tak mungkin kau dapat bersama dengan dia lagi. Dia jadi jadi isteri orang. Tolonglah ingat hal itu. Janganlah buat hidup kau jadi macam ni. Tak sanggup aku nak tengok kau macam ni, Mal. Kau kena lupakan Sabrina. Kau kena kuat untuk cuba lupakan Sabrina,”
“Macam mana?,”
Maria menarik nafas penjang sambil mengangkat punggung.
“Macam mana?,”dia mengulangi soalan Ikmal. Ikmal sekadar merenung wajah temannya itu. Menanti jawapan.
“First, kau kena remove all these photo. Setiap hari kau pandang gambar Sabrina, macam mana kau nak lupakan dia? Betul tak?,”
Ikmal memandang gambar-gambar Sabrina yang menghiasi segenap penjuru biliknya itu. mampukah dia buang semua barang kesayangannya itu?
“Second, kau kena banyakkan aktiviti kau. Kalau kau nak aku temankan, anytime. Just let me know and, I’ll be there for you. Kalau tak nak aku temankan, kau boleh buat apa-apa aktiviti dengan kawan-kawan kau. Anything… Just to make sure, kau tak ada masa untuk termenung and fikirkan benda yang dah lepas,”
“Third..habiskan banyak masa dengan mak. Mungkin bila kau selalu pandang wajah mak, perlahan-lahan kau dapat lupakan kesedihan kau. Ingat, kau masih ada tanggungjawab pada mak. Kau tak boleh terus hanyut dan biarkan mak kecewa…,”
Ikmal termangu mendengar celoteh Maria yang panjang berjela. Setiap bicara Maria penuh dengan motovasi, Cuma dia yang gagal aplikasikan setiap nasihat Maria itu. bukan sekali dua sahabatnya itu memberi nasihat. Dia tersenyum kecil melihat Maria merenungnya sambil mengangkat kening.
“Boleh ke?,”soal gadis itu bersama senyum manis.
Ikmal tersenyum lagi. Perlahan mencapai jemari Maria.
“Thanks, Mar. Sepatutnya kau marahkan aku sebab abaikan kau sebagai tunang aku. Tapi, yang jadi, sebaliknya ya? Kau terus menjadi sahabat baik aku. Terus memberi aku dorongan. Memberi aku kekuatan,”
Maria tersenyum kecil sambil menunduk.
“Aku faham. Aku tahu, aku tak bawa apa makna pun pada kau. Kita bertunang pun, sebab nak jaga air muka keluarga kau. Kau tak usah fikir sangat pasal aku, okay? Yang penting sekarang ni, kau fikirkan macam mana nak pulihkan semula hati kau yang kecewa tu,”
Ikmal terkedu. Terharu mendengar patah demi patah kata-kata yang meniti di bibir Maria. Mendengar luahan Maria, membuat dia sedar betapa kejamnya dia pada Maria. Gadis itu telah korbankan dirinya demi menjaga maruah keluarganya. Dan, dia acuhkan Maria begitu sahaja. Dia senang saratkan kepalanya dengan wajah Sabrina yang sudah jauh meninggalkannya.
“Jangan cakap macam tu, Mar. Of course kau bawa makna besar pada aku. Kau sanggup buat apa saja demi aku. Demi mak. Aku terhutang budi pada kau Mar,”
Maria tersenyum kecil.
“Jangan Mal…,”
“Jangan apa?,”soal Ikmal sedikit hairan.
“Jangan sampai terhutang budi pada aku. Aku tak nak kau terima aku, semata-mata kerana budi. It’s not fair. Tak adil pada kau, juga pada aku. Anggap saja pertunangan kita sekarang tak ada apa-apa makna. Selepas kau boleh lupakan Ina, barulah kita decide mana arah tuju pertunangan kita ni. Okay?,”lembut sahaja Maria mengeluarkan kata-kata. Membuat Ikmal bertambah terkedu.
“Apa maksud kau? Kau nak putuskan pertunangan ni ke?,”
Maria tergelak kecil. Wajah Ikmal yang sedikit terkejut itu, dipandang agak lama.
“Kau nak putuskan ke?,”
“Bukan sekarang. Sekarang kita bertunang tanpa perasaan, kan? Kalau boleh aku nak hubungan kita bukan setakat aku tolong kau dan kau pula berterima kasih pada aku. Kau rasa hubungan macam tu, boleh kekal ke?,”
“Maksud kau?,”
Maria diam seketika. Menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sekali lagi, pandangannya dilayangkan ke wajah Ikmal. Ikmal pula, jelas kelihatan menunggu penjelasan yang lebih terperinci daripada gadis itu. Sedikit keliru dengan kata-kata Maria.
“Just forget it,”ucap Maria tersengih.
“Jomlah. Sebenarrnya mak suruh aku panggil kau keluar makan. Lupa pula aku. Jomlah. Dah lama mak tunggu tu,”
“Jangan nak berdalih, Mar. Jelaskan dulu apa maksud kau?,”
Maria tunduk sambil sandarkan punggungnya ke meja kerja Ikmal.
“Mar… cakap. Aku nak dengar,”
“Lupakanlah. Jomlah kita makan dulu,”balas Maria sambil mengatur langkah ingin keluar dari bilik Ikmal. Pantas Ikmal mencapai tangan Maria, membuat langkah gadis itu terhenti. Dari kerusi yang didudukinya, tajam matanya menikam wajah Maria. Dia perlukan perjelasan dari Maria. Maria menelan liur. Pegangan Ikmal membuat dia senang. Sudah lama dia inginkan perhatian dari Ikmal. Perhatian yang lebih daripada sekadar teman akrab. Dia mengukir senyum yang tidak begitu manis. Memandang wajah Ikmal dengan wajah serba salah. Riak sebegitu yang perlu dia pamerkan untuk Ikmal. Dia tidak boleh tonjolkan perasaannya yang sebenar. Dia tidak boleh tonjolkon hatinya yang berlagu riang dengan reaksi Ikmal.
“Tak pentinglah, Mal,”dalih Maria sambil menarik perlahan tangannya.
“Aku tak kisah penting atau tidak. Aku Cuma nak tahu apa yang kau nak cakap tadi?,”Ikmal berdegil.
“Lepas tangan aku dulu. Nanti mak tengok,”Maria bersuara sambil tersenyum kecil. Mendengar kata-kata itu, cepat-cepat Ikmal melepaskan pegangannya. Tidak sedar sebenarnya bila dia mencapai tangan Maria.
“Okay. Now tell me,”
Maria tersengih.
“No. Tak penting,”ujarnya sambil cepat-cepat menuju ke arah pintu bilik yang sengaja dibiarkan terbuka luas. Meninggalkan Ikmal terkebil-kebil.
“Mar! Wait! Maria!,”dia bersuara sedikit nyaring. Maria mempermainkannya. Tanpa sedar, senyum terukir di bibirnya. Cepat dia mengangkat punggung cuba mendapatkan Maria. Laju Maria melangkah ke ruang dapur. Cepat-cepat berdiri di sebelah Nafisah.
“Apa hal ni?,”
Maria tersengih sambil memandang wajah Nafisah.
“Tak ada apa-apa, mak,”
Nafisah tersenyum kecil.
“Mana Ikmal?,”
“Mar! Kau tipu aku ya?,”
Nafisah menoleh. Melihat Ikmal yang muncul bersama senyuman yang lebar. Dia turut mengukir senyum. Lamanya dia tidak melihat senyuman di bibir anak tunggalnya itu.
“Kenapa ni?,”soalnya sedikit hairan dengan senyum yang terukir di bibir Maria juga di bibir Ikmal. Ikmal terdiam di hujung meja, sambil Maria duduk di kerusi sambil tersenyum kecil.
“Kau hutang aku… aku akan tuntut penjelasan tu,”
“Tuntutlah,”ujar Maria selamba. Ikmal mengeluh pendek sambil menarik kerusi. Perlahan melabuhkan punggung di situ.
“Mar… sendukkan nasi untuk Ikmal tu,”arah Nafisah sambil tuangkan jus orange ke dalam gelas. Maria mengangguk sambil mengangkat punggung. Mencapai mangkuk berisi nasi, kemudian bergerak mendekati Ikmal. Dengan hati-hati dia sendukkan nasi ke pinggan Ikmal.
“Terima kasih, Ina,”
Maria tersentak. Ikmal terdiam. Kebiasaan, setiap kali Sabrina berkunjung di sini, pasti semua ini menjadi tugas Sabrina. Dan, kerana itulah dia tersasul menyebut nama itu. Tersasul membuat Maria terasa sekali lagi.
“Marialah…,”akhirnya Maria bersuara sambil tersenyum lebar. Menyembunyikan rasa terkilannya. Dia tidak boleh memberi tekanan pada Ikmal. Dia perlu membuat Ikmal selesa dengannya. Dia tidak akan mendesak Ikmal. Biarlah perlahan-lahan Ikmal boleh menerimanya tanpa rasa terpaksa.
“Sorry. I didn’t mean it,”Ikmal bersuara perlahan. Dia mengangkat muka. Memandang wajah Maria yang ceria, juga memandang wajah ibunya yang sedikit kelat.
“It’s okay. Aku faham. Bukan senang nak lupakan orang yang kita sayang. Betul tak, mak?,”ujar Maria separuh berseloroh. Nafisah memandang wajah Maria. Sukar ditebak perasaan gadis itu saat ini. Sedihkan Maria dengan sikap Ikmal?
“Kalau kita nak ingat pun, biarlah orang yang kita sayang tu, ingat pada kita. Kalau setakat kita sorang saja yang teringat-ingat… baik cari orang lain. Belajar ingat orang lain,”dalam lembut, tajam sindiran Nafisah di telinga Ikmal. Ikmal tersenyum. Faham maksud kata-kata ibunya itu.
“Mal tak sengajalah, mak,”Ikmal bersuara sekali lagi. Maria tersenyum sambil bergerak semula ke kerusinya.
“Aku betul-betul minta maaf kalau kau terasa,”
Maria memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Wajah itu Nampak sungguh kesal.
“It’s okaylah. Serius. Aku tak kisah. Aku faham kau perlukan masa. Sudahlah tu. Daripada kau cakap yang bukan-bukan, baik kau makan. Aku yang masak semua ni, tahu tak? Kerabu mangga tu, aku yang buat. Bawal tiga rasa tu pun, aku yang buat. Masak lemak pucuk paku ni…,”
Ikmal mengangkat kening.
“Semua?,”
“Yalah. Kenapa? Ingat aku tak pandai masak ke? Tapi… maklah yang ajar,”balas Maria bersama tawa besar. Membuat deraian tawa turut pecah dari bibir Nafisah dan Ikmal. Nafisah menghela nagas lega. Senang hati melihat tingkah Maria. Dan, senang hati juga melihat wajah ceria Ikmal. Dia berharap benar, Maria mampu mengembalikan keceriaan Ikmal. Mampu membahagiakan Ikmal.
“Hmm… ada cikgu. Ingat semua kau masak sendiri… tanpa tunjuk ajar dari cikgu bertauliah ni,”
Maria ketawa riuh. Ikmal tersenyum senang. Memandang wajah tunangannya itu, dalam diam, dia bersyukur mendapat teman sebaik Maria.
“Kamu berdua ni kan…,”
Suara Nafisah yang mencelah tiba-tiba membuat Ikmal dan Maria sama-sama menoleh ke arahnya.
“Kenapa mak?,”soal Ikmal lembut.
“Sakit telinga mak dengar tahu tak?,”
Maria kerutkan kening.
“Sakit telinga? Sakit telinga kenapa mak?,”Maria pula bertanya lambat-lambat. Tidak sedap hati dengan nada suara Nafisah.
“Beraku engkau aje kan? Boleh tak lembutkan lidah tu sikit? Maria? Ikmal? Maria… cuba biasakan lidah tu panggil abang ke… Takkan sampai kahwin nak beraku engakau saja?,”
“Oh…,”Maria bersuara lega. Ikmal pula mengurut dada perlahan. Sangkanya ibunya ada rasa tidak puas hati tentang sesuatu.
“Mak ni. Buat suspen saja. Mal ingatkan apalah tadi,”
Maria mengangguk. Menyokong kata-kata Ikmal. Nafisah tersenyum.
“Janganlah cakap aku..engkau.. macam tu. Tak manislah mak dengar. Kalau dulu, lainlah. Tapi, sekarang, keadaannya dah lain,”
“Yalah mak. Saya cuba ubah,”Maria bersuara perlahan. Ikmal pula Cuma mendengar bersama wajah yang manis.
“Bagus,”Nafisah bersuara senang.
“Mar… boleh hulurkan abang sayur tu?,”Ikmal bersuara tiba-tiba. Maria tercenggang seketika.
“Macam tu ya, mak?,”soal Ikmal bersama tawa kecil. Maria tergelak. Nafisah pula mencebik.
“Main-mainkan mak ya?,”marah Nafisah, berpura-pura.
Ikmal menyambung gelak. Maria pula menghulurkan mangkuk berisi masak lemak pucuk paku.
“Sayurnya… a…bang…,”Maria menyambung sakat Ikmal bersama deraian tawa. Nafisah menggeleng perlahan sambil sembunyi senyum. Bahagia melihat ada sedikit kegembiraan yang mula berputik di wajah Ikmal itu.

****

Monday, November 24, 2008

Pergilah Air Mata 23

“Hey! Masuklah! Apa lagi tercegat di situ? Nak tunggu aku dukung ke?,”
“Oh… please. Aku benci tengok air mata tu. Please!,”
Sabrina tersenyum kelat. Dari buaian besi di halaman, dia bagai terbayang susuk tubuhnya dan Badrul yang melangkah masuk ke banglo besar milik Datuk Hamidi.
“Kau ni, tak faham Bahasa Melayu? Aku tak ada masa. Lagipun, aku memang tak ada perasaan nak bercakap dengan kau. Tak ada perasaan. Kau tahu tak?,”
“Kalau benda yang kau nak cakap tu, penting sangat, tulis. Letak kat meja aku. Nanti aku baca,”
Ingatannya memproses satu lagi peristiwa bersama Badrul.
“Takkan kereta saya pun, nak buang jugak…,”
“Kau cakap nak ambil barang. Tak ada pun cakap nak ambil kereta,”
“Kau keluar. Tinggalkan aku di sini. Aku nak tunggu ke. Tak nak tunggu ke, itu aku punya pasal. So, may you…?,”
Kali ini, senyum pahit yang terukir di bibir. Pedih apabila teringatkan kata-kata Badrul itu.
“Kita ke klinik. At least untuk ambil pain killer and cuci luka tu,”
“Dah dekat pukul 12. Masuklah. Malam-malam macam ni, kat kawasan ni, banyak hantu. Tu… rumah kosong kat depan tu… malam-malam macam ni, macam-macam bunyi boleh dengar,”
“Bodoh. Mana ada hantu? Kau percaya hantu ke? Kalau ada hantu pun, hantu mesti respect kat orang hati jahat macam kau ni. Dia orang tak akan kacau kau…,”
“Kau jangan keluar dari bilik ni,”
“Kalau bosan, kau baca semua tu. Tengok CD ke?,”
“Tapi, saya bukan boleh baca pun. Bukannya saya pandai bahasa Cina,”
“Tak boleh baca, tengok gambar. Tak pun tengok CD. Aku bawa CD juga kat situ,”
“Semua cerita hantu. Nak buat apa?,”
“Tengoklah. Biar hilang takut kau tu,”
“Awak saja nak seksa saya ya?,”
“Smart girl. Yes. I’am. Memang aku nak buat kau terseksa,”
Sekuntum senyum lucu yang terukir di bibirnya. Ternyata peristiwa di Pangkor itu, kini boleh membuat dia tersenyum lucu.
“Cepat buka pintu ni,”
“Tak nak,”
“Oit! Aku nak mandilah. Kau ni, berlakon over sangatlah. Macam baik aje kan? Sudah! Cepat buka pintu ni. Aku nak mandi. Dah nak masuk Maghrib ni,”
“Awak tak serius kan?,”
“Perasanlah kau! Tak ingin aku. Cepat. Aku nak mandi,”
“Bodoh!,”
Sekali lagi senyum lucu terukir di bibirnya.
“Kenapa letak benda-benda bersepah kat lantai? Tak ada kerja lain ke? Sengaja nak bagi aku tersungkur kat sini?,”
“Kau gila ke? Takkan kau nak seterika kepala aku?,”
Sabrina tergelak kecil. Terbayang wajah Badrul yang kehairanan sewaktu dia memegang seterika ketika itu.
“Kau takut hantu ke… kau takut aku?,”
“Ha?,”
“Kenapa pula saya nak takut kat awak?,”
“Sebab… aku rasa macam nak belai rambut kau,”
“Aku rasa macam nak sentuh bibir kau…,”
“Aku rasa macam nak belai tubuh kau…,”
“Aku rasa macam… nak bersama kau…,”
“Boleh? Kalau boleh, I’ll stay…,”
Wajah Sabrina merona merah. Selintas ingatan pada peristiwa itu, membuat dia jadi malu sendiri.
“Lupa kot? Baguslah. Dibuatnya orang masuk, nak angkut kau pun boleh, tahu tak? Pintu tak berkunci. Tidur mati. Orang nak rogol kau pun, kau tak akan sedar. Tahu tak?,”
“Berapa kali aku pesan, kunci pintu. Sebelum aku keluar pun, sekali lagi aku pesan, kan? Ke.. kau rasa kau tu dah kuat sangat nak melawan?,”
Sabrina menongkat dagu. Tiba-tiba dia suka pada perhatian yang Badrul berikan, walaupun dengan nada yang sedikit kasar.
“Aku dah agak! Kau jumpa lagi lelaki tu. Itu sebabnya kau nak keluar ya? Patutlah dengan senang hati kau izinkan aku kahwin dengan Dayana. Rupa-rupanya kau ada agenda lain ya? Mulai hari ini aku tak benarkan kau keluar dari rumah. Faham?!,”
“Ini semua kau punya pasal, tahu tak?,”
“Apa pulak?,”
“Yang kau peluk aku tu, kenapa?,”
Sekali lagi wajahnya terasa panas apabila teringatkan insiden dia di tangkap khalwat kali kedua. Memalukan.
“Dah dua minggu aku tengok kau tak lapar-lapar. Nanti boleh tinggal tulang saja, kau tahu. Jangan nak mengada. Makan,”
“Dah buat muka seposen. Malas betul aku nak layan kau ni. Yalah…yalah… Aku bayar dulu, lepas tu kita balik,”
Sabrina tergelak kecil. Prihatin Badrul dalam marahnya tiba-tiba membuat dia tersentuh lagi. Dia tersenyum sayu sambil menyentuh cincin di jari manisnya.
“Jangan tanggalkan lagi,”
“Saya tak akan tanggalkan…,”perlahan dia berbisik sendiri. Ingatan-ingatan itu membuat dia bertambah merasai kehilangan Badrul. Sudah seminggu lelaki itu terbang ke Bali. Berbulan madu. Minggu hadapan baru pulang ke sini. Itulah yang diberitahu oleh Jamilah. Dia tidak bertanya, dan Badrul pula tidak bercerita. Namun, dia tidak terkilan apabila Badrul tidak bercerita tentang rancangan bulan madunya itu. Malah dia lebih senang begitu. Barangkali kalau lelaki itu bercerita, hatinya akan sakit.
“Hey!,”
Sabrina terjerit. Kuat memegang buaian yang digoncang kuat.
“Apa ni?!,”jeritnya marah. Betul-betul marah apabila menungannya diganggu seteruk itu. Nasib baik dia sempat berpegang pada buaian itu. Kalau tidak, sudah lama dia tersungkur di situ. Gelak yang menyentuh di telinganya, membuat dia segera berpaling. Tidak mungkin! Dia tergamam. Badrul berdiri di belakangnya sambil ketawakannya.
“Apa awak buat kat sini?,”soalnya hairan.
“Aik… Suka hati akulah. Ini rumah aku…,”
Sabrina diam sejenak.
“Maksud saya, kan awak sepatutnya pulang minggu depan? Kenapa awal sangat?,”soalnya lagi. Memandang wajah Badrul yang kelihatan cukup gembira.
“Bukan hal kaulah,”
“Oh… okay…,”Sabrina bersuara perlahan. Memang betul pun bukan hal dia.
“Jomlah,”Badrul bersuara sambil memegang besi buaian.
“Pergi mana?,”
“Masuklah,”
Sabrina diam di buaian. Agak hairan melihat Badrul sendirian.
“Mana isteri awak?,”
Badrul memandang wajahnya.
“Rumah parent dia,”
“Kenapa? Awak bergaduh ke? Baru kahwin dah bergaduh?,”
Badrul tergelak lucu.
“Ingat dengan kau ke, asyik nak bergaduh?,”soalnya sinis. Membuat Sabrina terdiam lagi.
“Dia singgah sana sekejap. Nanti dia datang sini,”terang Badrul melihat wajah Sabrina sudah sedikit kelat. Barangkali terasa dengan kelancangan mulutnya yang gagal dikawal. Dia tidak berniat untuk mengeluarkan kata-kata sebenarnya.
“Jomlah,”
“Nak buat apa? Malaslah. Saya nak ambil angin kat sini. Awak pergilah masuk. Jumpa mama ke… abah ke…,”
“Dah lama aku kat dalam. Dah kenyang pun aku makan karipap Kak Milah,”
Sabrina menatap wajah Badrul. Sudah lama rupanya lelaki itu sampai. Tetapi, Cuma sekarang baru datang mencarinya? Perasaannya sedikit tersayat. Cepat-cepat dia mengukir senyum. Mahu melupakan apa yang sedang dia rasa. Aneh. Kenapa tiba-tiba dia jadi mengada-ngada? Kenapa tiba-tiba dia mahukan perhatian Badrul?
“Jomlah!,”sekali lagi Badrul bersuara sambil menarik tangannya.
“Nak ke mana? Janganlah tarik tangan saya. Sakitlah…,”
“Jom ikut aku,”
Sabrina mengangkat punggung, menurut tarikan tangan Badrul.
“Nak ke mana? Nak halau saya ke?,”
Langkah Badrul terhenti. Berpaling merenungnya. Tajam. Sabrina tersengih. Membatalkan niat Badrul untuk menghamburkan rasa geram.
“Aku ada sesuatu untuk kau,”
Sabrina terpaku seketika. Sesuatu?
“Surat cerai ke?,”soal Sabrina lambat-lambat. Sekali lagi membuat renungan tajam Badrul menikam wajahnya.
“Okay… bukan surat cerai…,”ujarnya perlahan melihat Badrul membisu dengan wajah kelat. Wajah marah. Dia tahu Badrul marah.
“Kau ni, kenapa? Dah rindu sangat nak kena marah dengan aku ke?,”
Sabrina menggeleng.
“Sorry. Tak sengaja,”
Badrul diam. Terus menarik tangan Sabrina agar mengikut langkahnya.
“Hai… nak ke mana, laju benar ni?,”
Sabrina menoleh. Datuk Hamidi yang menyapa sebaik Badrul melintas ruang tamu. Baru sahaja dia mahu membuka mulut untuk menjawab, dia sudah agak jauh meninggalkan bapa mertuanya itu. Laju Badrul menarik tangannya.
“Awak… abah tegur tadi…,”aku bersuara.
Badrul berhenti di hadapan biliknya.
“Aku belikan sesuatu untuk kau,”
“Apa? Kalau setakat magazine Cina, tak apalah. Tak nak. Dah penat saya buat origami. Kalau CD seram pulak. Saya tak nak tengok…,”
“Auch… sakitlah…,”Sabrina merungut perlahan sambil menggosok bibirnya. Sakit bila jari Badrul menjentik bibirnya. Walaupun tidak kuat, tetapi, mampu mengalirkan refleks rasa pedih terus ke otaknya untuk dirasai di bibirnya.
“Boleh tolong diam tak?,”
Sabrina diam. Badrul membuka pintu biliknya. Dia tercegat di situ sebaik Badrul melangkah masuk. Membuat Badrul berpaling dengan wajah hairan.
“Buat apa tercegat kat situ. Masuklah,”
“Hah? Saya? Masuk ke dalam? Tak naklah. Saya tunggu kat luar saja,”
Badrul sudah mula menarik nafas panjang. Wajah pun sudah kembali berubah kelat.
“Mengada-ngada apa pulak ni? Jangan bagi aku hot tempered, boleh tak?,”
“Awak… ini bilik awak dengan Dayana. Kalau saya masuk, nanti apa kata Dayana? Tak naklah saya,”
Sabrina bersuara geram.
“Dia ada ke? Tak ada kan? Dah. Jangan mengada-ngada,”Badrul bersuara sambil menarik tangan Sabrina masuk ke dalam bilik. Sabrina mengeluh marah. Badrul bergerak ke almari pakaian. Sabrina pula tercegat memerhati bilik pengantin yang masih berhias cantik itu. Entah kenapa, dia langsung tidak suka berada di situ. Walau Cuma dia dan Badrul di dalam bilik itu, kehadiran Dayana, dapat dia rasai. Bau harum bilik itu, terasa menyesakkan nafasnya. Tidak mendamaikan perasaanya seperti selalu.
“Duduklah. Yang tercegat kat situ, buat apa? Macam tak biasa pula kau duduk kat dalam bilik ni, ya?,”
Sabrina mencebik. Perlahan dia bergerak ke arah sofa. Tempat tidurnya sebelum Badrul mengahwini Dayana. Dia melabuhkan punggung di situ. Menunggu apa yang ingin Badrul katakan. Dia sekadar memerhati Badrul mencari-cari sesuatu di antara longgokan beg pakaian dan beg-beg kertas yang diletakkan hampir dengan almari pakaian.
“Kenapa tak kemaskan semua tu?,”Sabrina bersuara apabila longgokan itu sedikit menyakitkan matanya.
“Nantilah…,”balas Badrul sambil mencapai satu beg kertas sambil bergerak menuju ke arah sofa.
“Untuk kau,”sambungnya sambil melabuhkan punggung di sebelah Sabrina.
Sabrina tersenyum kecil.
“Untuk saya? Terima kasih. Tak sangka awak ingat juga kat saya ya?,”ujar Sabrina sambil mencapai beg kertas Badrul hulurkan. Badrul turut tersenyum kecil sambil matanya memandang wajah Sabrina.
‘Aku pun tak tahu macam mana aku boleh teringatkan kau…,”hatinya berbicara sendiri. Aneh. Memang sedikit aneh. Dia teringatkan Sabrina sewaktu dia menghabiskan masa bersama Dayana.
“Saya keluar dulu, ya,”Sabrina bersuara sambil mengangkat punggung. Tidak mahu berlama di bilik itu.
“Tak nak tengok ke apa yang aku beli tu?,”soal Badrul sedikit kecewa. Beria-ia dia mahu memberi buah tangannya itu kepada Sabrina. Tetapi, pemberiannya seakan diacuhkan.
“Nanti saya tengok dalam bilik saya,”
“Tengoklah sekarang,”Sabrina menggaru kepala. Melihat wajah Badrul yang berharap. Perlahan dia melabuhkan punggung ke sofa.
“Okay,”akhirnya dia bersuara pendek sambil membuka beg kertas yang dipegangnya.
“Baju?,”
Badrul tersenyum. Sabrina mengeluarkan fabrik lembut berwarna coklat bercorak bunga-bunga kecil bercampur abstrak .
“Nice dress. Cantik. Terima kasih,”ujar Sabrina sambil menelek dress ringkas yang Badrul belikan untuknya. Melihat dari ribaannya, barangkali dress ini melangkau lututnya. Memang cantik di matanya.
“Cubalah,”
Sabrina tersenyum. Pantas dia berdiri sambil meletakkan dress itu di dadanya. Betul. Menutup lututnya.
“Cantik. Terima kasih,”ujarrnya sekali lagi. Badrul tersenyum senang.
“Aku tak tahu kau suka warna apa, so… aku beli warna kesukaan aku,”
“Saya suka warna ni. Memang warna favourite saya. Saya suka sangat. Terima kasih sekali lagi,”
Badrul tergelak kecil. Tiba-tiba dia berasa senang melihat wajah girang gadis itu. Juga dia berasa senang apabila Sabrina suka dengan pilihan yang dia buat.
“Maaf, Encik Badrul. Saya ingat tak ada orang. Datin suruh saya tengok baju Encik, yang Encik nak basuh. Nanti saya datang balik ya,”
Sabrina menoleh ke arah pintu. Badrul yang tersandar di sofa, turut menghalakan pandangan ke arah yang sama.
“Dalam beg tu, Kak Milah,”ujarnya sekaligus memberi kebenaran Jamilah masuk ke biliknya. Jamilah melangkah masuk bersama senyuman. Sabrina tersenyum panjang.
“Cantik tak, kak?,”soalnya sambil menayangkan baju diletakkan di dadanya kepada Jamilah. Jamilah tersenyum lebar. Badrul turut tersenyum sambil menggeleng. Pertama kali dia melihat Sabrina Nampak begitu ceria. Nampak cukup manja tingkah Sabrina saat itu. Satu aksi spontan dari Sabrina yang membuat dia berasa teramat senang.
“Cantik. Cantik benar dengan Puan Sabrina…,”
Sabrina tersenyum puas.
“Terima kasih ya, Bad,”ujarnya sekali lagi sambil tangannya memasukkan semula dress pemberian Badrul ke dalam kotak kertas.
“Small matter,”
“Saya keluar dulu,”Sabrina bersuara sambil mengekori langkah Jamilah yang membawa selonggok pakaian yang mahu dicuci dari beg pakaian Badrul. Meninggalkan Badrul terkebil-kebil di sofa. Dia mahu Sabrina tunggu di situ. Duduk bersamanya. Tetapi, untuk apa? Memang Sabrina tidak patut berada di dalam bilik ini. Kenapa? Kerana dia mahu Dayana yang menghuni bilik ini. Dan, apabila impiannya itu tercapai, kenapa ada bisik-bisik aneh yang meminta wajah Sabrina bertenggek di mindanya?
Badrul memandang kosong ke arah Sabrina yang menutup perlahan pintu biliknya. Sebaik pintu tertutup, dia tersenyum sendiri sambil mengeluh perlahan. tidak mahu lagi memikirkan hal-hal yang pelik itu. dengan malas, dia bangkit dari sofa, kemudian melangkah ke arah katil. Menghempaskan diri di situ. Lega. Hilang seketika penatnya. Terkebil-kebil seketika memandang siling. Pantas dia mencapai telefon bimbit yang dicampak di atas katil sebaik dia tiba tadi. Ingin menghubungi Dayana. Belum pun sempat dia mencari nama Dayana, panggilan dari Dayana yang masuk.
“Hello. Kat mana sekarang?,”
“Rumah papa lagi. I balik malam sikit, boleh? May be lepas Isyak?,”
“Kenapa?,”
“Nak dinner dengan mama. Lama tak dinner dengan dia. Boleh ya?,”
“Okaylah. Tapi, jangan lambat sangat. Abah and mama Tanya you tadi. I dah cakap balik sini dulu… degil, nak juga balik rumah parent you dulu,”
Tawa Dayana pecah di talian.
“Tolong sikit ya. Cakap I pula. You pun sama. I ajak singgah rumah I dulu you tak nak. Cepat je nak balik rumah dia. Rindu sangat dekat mama dia,”
Badrul tersenyum kecil. Memang dia ingin cepat sampai di rumah. Ingin melihat Sabrina. Bukan sebab dia rindukan ibunya. Bodoh betul perasaannya ini.
“Okaylah Bad,”
“Hmm… Kirim salam kat papa and mama. Beritahu mereka esok I datang ke sana dengan you,”
“Okay. Take care okay. Lepas Isyak I sampai,”
Talian terputus. Badrul mengeluh pendek. Dayana..Dayana… Terasa sedikit sukar untuk berkomunikasi dengan isterinya itu. Mungkin disebabkan masing-masing belum dapat menyesuaikan diri. Jadi, masing-masing lebih suka mengikut keputusan masing-masing. Tiada persetujuan bersama. Dia menolak untuk sama-sama pulang ke rumah keluarga Dayana dahulu. Dayana pula menolak untuk pulang ke rumah ini terlebih dahulu. Sudahnya, mereka membuat satu keputusan yang sama adil. Masing-masing pulang ke rumah masing-masing. Dan, gara-gara Dayana juga, bulan madu yang sepatutnya selama dua minggu, berubah menjadi Cuma seminggu. Sebabnya? Ada seminar yang perlu Dayana hadiri esok. Tidak dapat dielakkan.
Dia mengeluh lagi sambil pejamkan mata. Tidak sedar dia terlena selepas itu.

****

Sunday, November 23, 2008

Dinner Konon...

ABAIKAN LOGIKNYA. SEKADAR UNTUK HIBURAN SAHAJA…

Sejadah aku lipat elok-elok kemudian aku letakkan di hujung katil. Dalam tergesa-gesa, songkok aku letakkan sahaja di atas sejadah. Bergerak laju keluar dari bilik.
“Aik! Saya berleter pun tak habis lagi, abang dah siap solat? Ni, marathon ke apa ni?,”
Aku memandang isteriku yang sedang menyambung omelannya. Kenapalah semakin hari, semakin aktif mulut isteriku ini? Dulu, semasa bercinta, pemalu orangnya. Bercakap pun, setakat menjawab soalan aku. Tetapi, bila sudah bertahun berkahwin, mulutnya sudah sama becok dengan mulut burung kakak tua yang aku bela.
“Abang dah lambat ni, sayang,”
“Lambat pun, takkan sampai nak lengahkan waktu solat?,”
“Kan abang dah solat?,”
“Macam ribut tu? Tak baik mencuri dalam solat tahu,”
“Mana ada macam ribut? Pandai-pandailah. Dah, abang pergi dulu. Nanti menunggu pula si botak tu,”
“Abang dinner kat mana? Kenapa tak nak ajak saya?,”
“Alah… bukan special pun. Kat Port Klang sana. Sure tak bestlah. Nanti esok, abang ajak sayang pergi dinner. Candle light dinner. Okay, abang pergi dulu,”aku bersuara sambil mencapai helmet.
“Kenapa tak bawa kereta?,”
“Malas. Nanti Botak tu suruh angkut budak-budak Bangla tu, buat buang minyak aje,”
“Amboi… kedekutnya,”
Aku tersengih.
“Dah bos kedekut. Kita kenalah kedekut sama. Abang pergi dulu. Kunci pintu,”
Isteriku mengangguk sambil mencapai tanganku. Mengucup lembut sebagai ucapan selamat jalan. Aku tersenyum sambil mengusap rambutnya. Inilah yang aku suka tentang isteriku ini. Selalu menyejukkan hatiku, walau kadang-kadang mulutnya sering juga menguji suhu darahku.
“Hati-hati, bang,”
“Ya, sayang,”balasku sambil menarik perlahan hidungnya. Membuat dia tergelak malu. Gelak malu yang sama seperti sebelum kami berkahwin.
***
“Biar betul, bos,”
“Betullah,”
Aku menggaru kepala. Memandang ke arah Azman. Mr. Lim bergerak masuk ke pejabatnya. Ada perhimpunan sebelum ke restoran makanan laut pilihan majikanku yang kedekut. Entah apa mimpi, tiba-tiba pula majikanku ini menawarkan diri untuk mengadakan satu majlis makan malam bersama pekerjanya sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Takkan Botak tu serius?,”aku bersuara sambil memandang Azman. Azman tersenyum panjang.
“Betul ke abang ipar kau pakai kereta?,”soal Azman sambil bersandar pada lori. Aku tersengih.
“Mana ada? Elok je parking kat rumah. Malas aku nak bawa. Kan betul. Nasib baik aku tak bawa. Kalau tak, buat rosak kereta aku je nak sumbat budak-budak bangla tu ramai-ramai. Dah tu, minyak sah-sah tak boleh claim tu. Kau pulak? Betul ke kereta kau rosak?,”
Azman tergelak besar. Cepat-cepat meletakkan jari telunjuk ke mulut. Isyarat tutup mulut Suruh aku diam.
“Mana ada. Aku pun macam kaulah. Tak pasal-pasal wira canggih aku jadi prebet sapu. Tak nak aku,”
Aku tergelak sama mendengar kata-kata itu.
“You all gelak apa? Apa yang kelakar?,”
Kami menoleh. Mr.Lim bercekak pinggang bersama segugus kunci lori.
“Takkan naik lori bos,”
“Itu van, road tax sudah mati, maa… Tak sempat mahu renew,”
“Kasi sewalah. Itu hari saya sudah cakap,”
“Ala.. mahu sewa buat apa? Membazir. Ini, lori ada. Masuk lorilah,”
“Apa bos? Naik lori ka? Nanti beku, apa macam? Saya tak mahu jadi sayurlah bos…,”
Aku menoleh. Terkejut dengan suara kuat yang melantun soalan itu. Rafikul Islam yang mencelah rupa-rupanya. Melihat wajah terkejutnya, aku tergelak besar. Juga melihat wajah terkejut teman-teman senegaranya yang sudah siap kemas berpakaian. Azman pula, sesuka hati menyambung gelakku.
“Ini. Kasi angkat satu tan punya lorry. Angkat box punya,”
“Semua nak sumbat lorry satu tan? Gila ke bos? Dibuatnya lemas dia orang kat dalam, macam mana?,”Azman menyampuk. Aku mengangguk setuju.
“Ada air cond maa,”
“Memanglah. Tapi, 15 orang ni, bos. Tak selesa mereka nanti. Lagipun itu air cond banyak sejuk bos. Nanti beku macam mana?,”ujarku separuh berseloroh. Rafikul Islam sudah menggeleng-geleng kepala di belakangku. Gelengan tidak puas hati yang menggeletek hatiku.
“Ada ke kena naik lori. Sana Bangladesh sana, pun aku tak pernah masuk dalam ini box lori…,”
Aku tergelak lucu mendengar rungutan perlahan si Rafikul Islam.
“Sudah…Sudah. Itu macam, angkat tiga tan punya,”
“Dua buahlah bos. Satu saya bawa. Satu Man bawa. Baru selesa sikit dia orang,”tambahku lagi . Nampaknya majikanku ini serius mahu angkut pekerja Bangladeshnya naik lori.
“Tak payah sampai dua buahlah. Satu cukuplah,”
“Tak boleh bos. Ini manusia bos. Bukan sayur import bos… mahu longgok sampai penuh box,”Azman pula menyampuk.
‘You aaaaa. Banyak cakaplah. Sudah. Ini last punya. You angkat itu sepuluh tan punyalah,”
Aku dan Azman sama-sama terkebil-kebil. Gila betul.
“Apa lagi?,”soal Mr.Lim dengan wajah sedihnya. Memanglah Cina ni. Tengok muka macam kasihan. Tapi, perangai… Itu yang aku tidak sanggup. Kedekut sungguh!
“Malam ni, kenderaan berat dah tak boleh naik atas jalan bos. Kena saman nanti, kan?,”aku bersuara risau.
“Nolah. Tak ada hallah. Bukan jauh maa.. Port Klang sana saja. Sudah. Cepat. Saya naik kereta. Itu lain punya staff semua sudah tunggu sana,”
Terkebil-kebil mata aku bila dia menghulurkan kunci lori. Nekad sungguh Cina ini. Keputusan berani mati.
“Macam mana ni?,”Azman bertanya.
“Mana aku tahu. Dah dia suruh, kita ikut sajalah. Tobat, tahun depan, aku tak nak pergi dinner lagi,”
“Ayyo…serius mahu naik lorry ka?,”Rafikul Islam tiba-tiba tercegat di hadapanku.
“You dengar tadi, kan?,”Azman bersuara sambil tersengih.
“Sudah pakai Shah Rukh Khan punya fesyen… kena naik lori ke? Susahlah ini macam. Bikin saya susah hati. Sudah lawa-lawa, kena naik lori,”
Meledak tawa pecah dari mulutku mendengar rintihan hati jejaka Bangladesh itu. Berpaling ke belakang, ketawaku makin menjadi-jadi. Semuanya bersama fesyen ala-ala hero Hindustan. Hero-hero Hindustan yang terpaksa naik lori sayur. Rasa mahu menggelupur di situ aku melayan gelak bersama Azman.
“Apa lucu, kawan? Naik lori pun lucu ke?,”
“Yelah. Macam you tak pernah bawa itu lori. Hari-hari bawa lori, pun, lucu ke?,”sampuk satu lagi suara perantau dari Bangladesh yang tidak aku pasti namanya.
“Betul hari-hari saya bawa lorry. Tapi, ini hari special punya. Selalu saya angkat itu sayur import, ini hari saya angkat itu Bollywood punya hero…,”Azman bersuara membuat aku terduduk di kerusi melayan gelak. Sungguh aku tidak mampu menahan rasa lucu ini. Kunci aku hulurkan pada Azman. Tidak mampu bergerak menuju ke arah lori. Azman tergelak sambil melangkah ke arah lori. Membuka kotak lori berhawa dingin yang tidak berkunci.
“Masuk,”
Aku menekan perut mendengar arahan Azman. Lebih bergoncang tubuhku melihat seorang demi seorang memanjat lori, masuk ke dalam kotak lori.

***
“Habis! Masak kita Man,”
Azman menggaru kepala sambil memperlahankan lori di gigi jalan.
“Call bos…,”dia bersuara lemah. Aku mencapai telefon bimbit di pinggang. Mengerling ke arah dua pegawai polis trafik yang mendekati Azman.
“Hello bos…,”
“Haaa… you mana?,”
“Rantau Panjang bos..,”
“Oh… saya belakang youlah. Sekarang saya dekat ini petrol station. You pergi dulu. Tak payah tunggu saya. Join office staff dulu dekat restoran sana,”
“Tak payah pergi mana-mana bos. Bos datang sini saja,”
“Apa you cakap?,”
“Ada road block. Lori kena tahan,”
“Hah?! Haiyaaa…. Banyak suweylah you orang!,”
Aku kerutkan kening. Telefon segera aku jauhkan dari telinga. Macam halilintar suara Cina itu. Nasib baik melalui telefon, kalau berdepan, memang wajib kena cari payung. Sudah dapat aku bayangkan tempias yang menyimbah dari mulutnya yang sentiasa basah itu.
“Okaylah bos. You datanglah,”
Talian telefon segera aku matikan. Memberi fokus pada Azman dan dua pegawai polis bersamanya.
“Lori tak boleh naik atas jalan malam ni. Takkan Encik tak tahu,”pegawai polis itu bersuara sambil membelek lesen memandu Azman.
“Tahu Tuan. Tapi, ini urgent Tuan. Bos saya yang suruh,”
“Buka kotak belakang sekejap,”
“Hah?,”serentak soalan itu keluar dari mulutku dan Azman. Membuat kening pegawai polis itu pula yang berkerut seribu.
“Kenapa? Ada masalah ke?,”
Aku tersengih sambil menggeleng laju.
“Tak ada masalah Tuan. Cuma…,”
“Buka sekarang,”
Azman mengangguk sambil membuka pintu lori. Aku turut membuka pintu sambil melompat turun dari lori. Mengekori Azman dan pegawai polis itu ke belakang. Dalam teragak-agak, Azman membuka pintu yang berkunci.
“Wah! Lega…. Sudah sampai ka? Banyak cepat haaa? Sudah tak sabar mahu makan itu udang bakar sama ikan bakar,”
Aku dan Azman terkebil-kebil. Pegawai polis itu pula, aku lihat sedikit terperanjat. Mampus! Dan, wajah ceria Rafikul Islam tiba-tiba bertukar pelik. Dia pandang ke arahku.
“Kata mahu pergi dinner. Apa macam boleh sampai depan ini Encik polis?,”soalnya bersama wajah tidak bersalahnya. Aku garu kepala. Sungguh aku serik dengan majikan kedekutku ini.
“Apa ni? Boleh jelaskan?,”tegas suara yang meniti di bibir pegawai polis muda di hadapanku ini.
“Seludup manusia ke?,”
“Subhanallah. Tak Tuan. Mana ada. Ini semua worker bos saya. Kami on the way pergi dinner, Tuan,”
“Naik lorry box? Ini manusia. Bukan daging beku. Sudah. Semua, turun,”
Sekumpulan hero-hero Bollywood di dalam lori itu, berdiri serentak. Seorang demi seorang melompat turun dari lori.
“Apa ni? Sudah pakai smart-smart kena naik lori. Sudah naik lori lagi kena tahan polis...Ini macam, tak payah dinner pun tada apa-apa. Tidur lagi baik…,”
Aku sembunyi senyum mendengar rungutan itu. Dalam kecut, hati ini masih dijentik rasa lucu setiap kali terpandang gelagat mereka.
“Sekarang macam mana ni? Salah bawa lori naik atas jalan. Kenderaan berat dilarang berada atas jalan raya sehingga minggu depan. Bawa manusia pula tu. Ni semua, ada pas perjalanan sah ke tidak ni?,”
“Ada…”
“Ada, tuan… Mesti ada,”
“Mana bolah tada, Tuan. Mesti ada,”
Riuh jawapan keluar dari bibir mereka.
“Keluarkan. Saya nak tengok,”pegawai polis itu bersuara sambil memanggil lagi seorang rakan setugasnya. Aku dan Azman tersandar ke lori. Memang malang betul. Silap haribulan malam ini aku boleh merasa menginap di hotel banyak jaring.
“Mana passport?,”
Aku menjengah. Masing-masing Nampak sedikit kelam-kabut. Dan ada beberapa orang pekerja asing itu memandang wajah Rafikul Islam yang sedikit kelat. Laju tangan lelaki itu meraba poket seluar.
“Alamak. Saya sudah lupa tuan. Itu passport semua saya letak atas meja. Lupa mahu angkat,”
“Hah?,”serentak mata-mata yang memandangnya itu bersuara.
“Tuan… kami punya passport kami suruh dia pegang…,”
“Kenapa suruh orang lain pegang? Itu salah. Kamu tak tahu ke? Kumpulan ini semua passport dia lupa bawa. Kamu semua pula macam mana? Mana passport?,”
Mendengar soalan itu. pandangan aku dan Azman bergerak pula pada sekumpulan lagi pekerja Mr Lim yang pucat sambil meraba poket seluar dan poket baju.
“Dalam itu seluar kerjalah Tuan. Lupa mahu angkat,”
“Betul tu Tuan,”
Pegawai polis itu menggeleng perlahan. Menolah ke arah aku dan Azman.
“Besar masalah kamu ni. Mana bos kamu?,”
“On the way, Tuan. Saya dah cakap dengan bos saya, Tuan. Tapi, dia tak nak dengar…,”
“Apa cerita ini? Ini semua pekerja saya Tuan. Kami mahu pergi Chinese New Year punya dinner. Kasi canlah Tuan,” suara Mr. Lim tiba-tiba mencelah. Aku menoleh. Terkedek-kedek Mr Lim melangkah ke arak kami
“Ini serius. Ini orang. Mana boleh sumbat dalam lori macam ni? Kalau ada yang mati lemas macam mana? Lagi satu, kenderaan berat tak boleh berada atas jalan. Salah ni…,”
“Dekat saja, Tuan. Lagi pun ini box besar maaa… Mana boleh lemas. Kasi canlah. Kasi settle sini sudahlah. Hari raya saya punya pasal, maa..,”
“Encik…. Kesalahan Encik ni, dah banyak tahu. Jangan nak tambah dengan kesalahan cuba beri suapan pada saya pula,”
Mr. Lim menggaru kepala.
“Takkan tak boleh tolong, Encik…,”
“Maaf. Saya tak boleh tolong. Saya terpaksa ambil tindakan. Ini, pekerja encik semuanya tak ada bawa dokumen perjalanan yang sah,”
Mr.Lim mengeluh panjang sambil menggaru kepala.
***
Aku mengeluh perlahan sambil melompat turun dari lori. Empat buah teksi berhenti di hadapan pejabat. Seorang demi seorang pekerja asing majikanku yang kedekut itu melangkah keluar dari teksi. Kereta Mr. Lim bergerak perlahan masuk ke perkarangan pejabat. Tiga orang lagi pekerja melangkah keluar dari keretanya.
“Padan muka. Kedekut sangat. Tak pasal-pasal kena saman. Nasib baik tak kena sita,”Azman merungut sambil bercekak pinggang di sebelahku.
“Itu satu. Lagi satu, nasib baik kita tak bermalam kat lokap. Dinner ke mana… kita pula ke mana nanti,”tambahku sambil mmemerhati Mr. Lim yang membuka walletnya membayar tambang teksi.
“Nasib baik polis tu kasi can, suruh datang ambil passport bangla ni semua. Kalau tak… memang masak kita, Ril,”
Aku tergelak sambil memandang Azman.
“Masak? Aku rasa tak masak lagi dah. Rentung beb…renting…,”
Azman tergelak sama.
“Hey! You orang, apa gelak-gelak? Kelakar ke? Saya sudah banyak rugi, you tahu ke?,”Mr. Lim menjerit marah. Aku tutup mulut. Azman tersenyum.
“Bos… dinner apa macam. Saya sudah pakai ini baju lawa-lawa mahu makan itu udang bakar…,”seorang teman Rafikul Islam bersuara.
“Apa dinner? Tak ada dinner. You semua balik hostel! Tak ada dinner…,”
Terkebil-kebil mata pekerja Bangladesh itu. Muka tidak berpuas hati, tetapi tidak berani bersuara. Mr. Lim mahu menyambung cakapnya, tetapi, telefonnya tiba-tiba berdering. Dengan muka masam telefon dia angkat.
“Apa? Dinner? No dinner. You all balik saja. Dinner punya pasal saya sudah rugi banyak. Lain tahun, tak ada dinner lagi!,”jeritnya sambil terus mematikan telefon.
“Sudah. Semua balik hostel. Saya mahu balik. Sakit kepala ini macam,”
Aku sekadar memandang Mr. Lim bergerak ke arah keretanya. Laju keretanya keluar dari kawasan kilang.
“Aduh. Ini bos banyak teruklah. Aku tak ada makan, pasal mahu makan banyak-banyak ini malam,”
Terdengar rungutan demi rungutan. Mula-mula aku faham, selepas itu, aku tidak lagi faham. Mereka sudah menggunakan bahasa ibunda mereka. Aku pandang Azman.
“Kesian pula aku tengok mamat-mamat tu. Tak makan sebab nak makan besar dengan bos,”
Azman tersenyum kecil.
“Hello Rafikul….,”panggilku setelah melihat masing-masing melangkah longlai mahu pulang ke asrama yang memang tersedia berhampiran kawasan kilang.
“Ada apa lagi, baiya? Saya mahu pulanglah, perut sudah lapar… tidur lagi bagus,”
“Jomlah. Pergi makan kat restoran sebelah. Tapi, masing-masing bayarlah,”pelawaku ikhlas.
“Itu pun bagus juga. Bolehlah,”balas Rafikul Islam. Tidak bersemangat. Di sokong oleh kawan-kawannya yang lain.
Aku tersenyum sambil mengatur langkah bersama Azman. Memberi isyarat kepada pengawal keselamatan di pos pengawal agar tidak mengunci pintu pagar kilang dulu.
“Malang betul kita dapat bos macam tu,”Azman mula mengomel. Aku tergelak.
“Memang hantu betullah botak tu. Lepas ni, kalau dia nak buat dinner kat hotel lima bintang pun, aku takkan pergi,”
Azman tersenyum panjang. Aku menggeleng perlahan. Dinner konon. Akhirnya, aku mengambil makan lewat malam di kedai mamak memandangkan jam di tanganku sudah menunjukkan jam 12.30 pagi.
****

Friday, November 21, 2008

Pergilah Air Mata 22

Tanpa sedar ada air jernih yang mengalir membasahi pipinya. Untuk apa? Dia sendiri tidak tahu. Yang pasti, untuk sedetik, tatkala Badrul melafazkan akad, dia terasa jiwanya tiba-tiba kosong. Dan, tatkala Dayana tunduk mengucup tangan Badrul, air matanya menitis tanpa sedar.
“Ina…,”
Dengan sedikit tersentak, Sabrina menoleh. Jamilah memandang wajahnya dengan renungan simpati. Perlahan dia mengukir senyum sambil tersenyum. Dari tingkat atas dia memandang majlis akad nikah yang dijalan di ruang tamu. Badrul segak dengan baju melayu berwarna ungu lembut. Dan Dayana cukup jelita dengan kebaya lace dari warna sedondong.
“Masuklah ke dalam,”Jamilah bersuara sambil melabuhkan punggung ke sofa panjang. Duduk di sebelah Sabrina. Simpati membuak-buak di hatinya melihat wajah Sabrina. Sabrina menggeleng perlahan. Air mata di pipi disapu perlahan.
“Kak Milah tak sibuk ke?,”
Jamilah menggeleng.
“Kalau semua ni, buat Ina sedih, janganlah tengok. Pergilah masuk bilik,”
Sabrina menggeleng perlahan.
“Tak apa. Saya tak apa-apa. Okay,”
“Okay? Kalau okay ni apa ni?,”Jamilah bersuara sambil menyapu air mata di pipi Sabrina. Sabrina tergelak dalam sendu.
“Saya pun tak tahu, Kak. Air hujan kot,”balasnya cuba berseloroh. Jamilah tersenyum hiba. Perlahan menarik Sabrina rapat ke bahunya. Dia yakin, gadis itu sedang bersedih. Sabrina terkedu. Pelukan Jamilah terasa begitu mendamaikan. Rindunya dia pada pelukan sebegini. Pelukan yang sudah bertahun tidak dia rasa. Pelukan yang membuat dia teringatkan Mak Alang. Ibu saudara yang menjaganya sejak dia kehilangan ayah dan ibu. Ibu saudara yang telah pergi meninggalkannya tiga tahun lalu. Dengan sedikit teragak-agak, Sabrina membalas pelukannya itu. Terasa hangat pelukan Jamilah sehangat pelukan Mak Alang sewaktu dia perlukan sokongan arwah ibu saudaranya itu.
“Sabarlah,”
Sabrina sebak mendengar kata-kata pujukan itu. Terasa apa yang sedang menghimpit dadanya, bakal meledak keluar.
“Saya pun tak tahu kenapa saya rasa macam ni, Kak Milah. Sebelum ni, kenapa saya tak rasa macam ni?,”
“Walau Ina kahwin sebab terpaksa, Encik Badrul tetap suami Ina. Isteri mana yang boleh tersenyum senang melihat suami berkahwin dengan orang lain,”
Sabrina kaku di dalam pelukan Jamilah. Betul ke? Sebab itu ke, air mata menitis di pipinya?
“Kenapa sebelum ni, saya langsung tak kisah?,”dia bertanya lagi. Benar-benar tidak faham dengan perasaanya sendiri. Jamilah diam. Cuma perlahan mengelus rambut Sabrina.
“Sudahlah tu. Jomlah masuk,”
Sabrina meleraikan pelukannya. Memandang sekali lagi ke arah ruang tamu yang cukup meriah dengan para jemputan. Kerlipan flash kamera bagai kilat sabung-menyabung. Melihat wajah ceria Badrul dan Dayana, hatinya terasa perit tiba-tiba. Cepat-cepat dia alihkan pandangan. Terpaut pada renungan Darius. Darius memerhatinya dalam diam. Di celahan tetamu yang ramai, Darius tercegat memandangnya.
“Awak pula. Silap bila awak setuju dia kahwin lain,”
Selintas kata-kata Darius tempoh hari menjengah di ruang ingatan. Inikah kesilapan yang Darius maksudkan? Dia silap menilai perasaan sendiri. Dia yakin dia boleh lalui ini semua dengan mudah. Namun, saat ini, baru dia sedar, terlalu sukar untuk menerima hakikat dia kini terpaksa berkongsi Badrul dengan Dayana. Walaupun, tiada rasa cinta untuk Badrul, namun, lelaki itu pernah melafazkan akad yang sama untuknya. Melihat Badrul dan Dayana berpakaian indah, pantas dia teringatkan majlis akad nikahnya yang penuh dengan air mata. Pipinya lencun tatkala Badrul melafazkan namanya di hadapan kadi.
Dia melihat segarit senyum di bibir Darius. Dengan payah dia membalas senyuman itu.
“Saya nak masuk dululah, Kak Milah.”
Jamilah mengangguk.
“Nak akak temankan ke?,”
Sabrina menggeleng pantas.
“Tak payah. Nanti mesti Kak Milah sibuk nak melayan tetamu. Takut Datin marah pula nanti. Saya minta maaf ya, Kak Milah. Saya betul-betul tak boleh tolong Kak Milah. Saya ingat saya kuat, rupa-rupanya saya lemah sangat. Saya tak sanggup nak tengok semua tu,”
Jamilah tersenyum kecil. Memandang wajah Sabrina yang sedikit sugul. Dalam hati segundah itu, Sabrina masih sempat memikirkan tentang dirinya.
“Tak payah risau pasal akaklah. Akak dah biasa. Sekarang Ina pergi rehat. Jangan fikir sangat tentang benda ni,”
Sabrina tersenyum kecil sambil mengangkat punggung. Melangkah lesu menuju ke biliknya. Dalam enggan, dia berhenti di hadapan bilik Badrul. Menolak daun pintu tanpa tujuan tertentu. Melihat bilik itu yang dihias cantik. Bilik pengantin. Dia mengeluh perlahan sambil menutup semula pintu bilik itu. menyambung langkah menuju ke biliknya. Dia kini terpaksa tidur di dalam bilik lain. dalam diam, dia mulai berasa jauh dari Badrul.
‘Ini yang kau mahu Ina… Kau kena terima semua ni’
Sabrina menelan liur. Suara hatinya tidak lebih membuat dia berasa semakin sedih. Pintu bilik ditolak perlahan. Bilik tetamu kini menjadi biliknya. Mungkin hanya bilik ini yang layak untuknya. Pintu bilik ditutup perlahan. Sepi. Terpisah dari segala keriuhan dari luar. Dia mengeluh perlahan. Bergerak ke katil. Sepinya hati ini saat ini. Banyak yang tersimpan di hatinya, ingin dia luahkan pada seseorang. Tetapi, saat ini dia tidak mempunyai sesiapa. Tidak ada teman untuk berkongsi rasa sedih ini.
Dia mencapai telefon. Ingin menghubungi Maria. Tetapi, untuk apa? Tiba-tiba teringatkan layanan Maria padanya tempoh hari. Berbeza sekali layanan temannnya itu. Takkan Maria mahu mendengar rintihan hatinya. Ikmal? Lelaki itu tidak sesuai untuk menjadi tempat dia luahkan perasaan. Lagipun dia tidak mahu menambah beban di bahu Ikmal. Dia mengeluh perlahan. Sekarang baru dia sedar, rupa-rupanya teman akrabnya Cuma Maria. Bahu untuk dia lepaskan tangisnya Cuma Ikmal. Teman-teman lain, tidak lebih sekadar teman berkogsi cerita gembira. Dan, saat ini, dia harus belajar menelan setiap kepahitan sendirian. Dia harus lebih kuat dari sebelumnya. Telefon bimbitnya diletakkan semula di atas meja kecil di tepi katil. Terpandang cincin di jari manisnya. Cincin yang tidak pernah dia acuhkan selama ini. Cincin perkahwinannya dengan Badrul. Perlahan dia menyentuh cincin emas yang terlalu biasa bentuknya itu. Tiba-tiba timbul rasa sayang pada cincin itu.
Sekali lagi dia menghela nafas panjang. Mengangkat punggung bergerak ke jendela. Mengintai ke halaman banglo Datuk Hamidi yang penuh dengan khemah. Badrul berkeras mahu mengadakan majlis perkahwinannya di rumah sahaja. Menolak cadangan ibu mertuanya agar majlis itu dibuat di hotel. Kenapa? Tidak pula dia tahu. Senyum lebar Badrul dan Dayana yang sedang melayan tetamu, dipandang sepi. Bahagianya pasangan itu.
“Saya harap awak tak menyesal dengan keputusan ini. Kalau awak sayangkan Bad, baik awak minta saya batalkan perkahwinan ni. Saya tak nak nanti timbul masalah…,”
“Tak. Saya tak ada apa-apa perasaan pada Badrul. Lagipun saya tak berhak menghalang Badrul untuk hidup bahagia…,”
“Saya tak tahu kenapa saya boleh setuju dengan cadangan Badrul ni. mungkin sebab saya terlalu cintakan dia, atau sebab saya cemburukan awak. Tapi, saya terima perkahwinan ini sebab awak cakap, perkahwinan ini tak membawa makna pada awak. Awak tak harap apa-apa dari perkahwinan ni. Dan Badrul pula, dia cakap, dia akan lepaskan awak. Sampai masa, dia akan lepaskan awak. Sebab itu saya terima. Sebab, saya tak nak berkongsi Badrul dengan orang lain..,”
“Jangan bimbang. Badrul hanya milik awak. Dia Cuma mahu awak jadi teman hidupnya,”
“Awak yakin awak tak akan menyesal? Saya harap awak dah fikir masak-masak. Saya kahwin dengan Badrul dan awak terpaksa lupakan hak awak sebagai isteri dia sehingga dia lepaskan awak. Kalau itu semua terlalu berat pada awak, baik awak ubah keputusan awak sekarang. Sebelum saya berbincang dengan family saya. Betul awak tak rasa sayang pada perkahwinan awak ni? Sikit pun tak ada?,”
Sabrina memandang wajah Dayana. Perlahan dia menggeleng.
“Saya Cuma nak tunggu hari Badrul akan lepaskan saya..,”
Sabrina mengeluh panjang. Kata-katanya amat meyakinkan lewat pertemuannya dengan Dayana sebelum kata putus tentang perkahwinan itu dibuat. Dia sendiri amat yakin dengan perasaannya saat itu. dia tidak berbohong pada Dayana. Memang saat itu dia Cuma mahu badrul lepaskannya. Dan kata-kata Dayana bagai memberi kekuatan padanya. Dayana memberitahu Badrul memang berhasrat ingin melepaskannnya. Sungguh. Saat itu,itulah satu-satunya berita yang dia nantikan. Tetapi, kenapa kini, perasaannya seakan berubah? Kenapa tiba-tiba dia jadi sayang pada perkahwinan yang tidak pernah dia acuhkan selama ini? Kenapa dia berasa jauh dengan Badrul apabila melihat lelaki itu erat memeluk tubuh Dayana. Berasa sedih melihat gelak tawa gembira lelaki itu?
“Bodoh! Jangan jadi bodoh Sabrina. Kau dah janji. Kau tak boleh mungkir janji. Kau sendiri yang cakap, kau tak ada apa-apa perasaan pada dia…,”
Sabrina memegang kepala. Dia sudah mula bercakap sendiri. Sudah mahu gilakah dia? Satu keluhan yang teramat berat dilepaskan. Dia tidak mahu tengok ini semua. Dia tidak mahu fikir tentang semua ini. Langsir ditarik perlahan. Bergerak ke katil sambil merebahkan diri di situ. Cuba membuang rasa sebak yang kembali datang menghimpit dada. Pergilah wahai air mata. Janganlah memberat di bibir mata ini lagi. Dia cuba pejamkan mata. Cuba membuat dia lena…

****
Badrul mengukir senyum. Bagai mimpi, akhirnya Dayana bergelar isterinya. Dari jauh dia melihat Dayana sedang berbual dengan ibu dan bapanya. Acara sudah berakhir. Tetamu sudah beransur pulang. Halaman yang dari pagi penuh dengan manusia, kini sudah sepi.
“Kak Milah,”panggilnya sebaik melihat kelibat pembantu rumahnya itu. Jamilah menoleh. Melangkah merapatinya.
“Ada apa Encik Badrul?,”
“Hmm… Sabrina mana? Saya tak Nampak dia pun…,”Badrul mengajukan soalan. Agak pelik apabila dia tidak melihat kelibat Sabrina sepanjang hari.
“Ada kat bilik dia kot. Dia Nampak sedih tadi,”jawab Jamilah bersahaja.
“Sedih? Kenapa pula?,”
“Manalah akak tahu. Encik Badrul pergilah tengok sendiri,”
Baru sahaja dia mahu ajukan lagi soalan, Jamilah sudah berlalu. Sedih? Sabrina sedih? Kenapa gadis itu mesti sedih? Semalam dia melihat Sabrina tersenyum senang membantu Jamilah menyiapkan persiapan perkahwinannya. Sehari sebelum itu, Sabrina bertenggek di ruamg tamu melihat ibunya menghias barang-barang hantaran. Hari ini, tiba-tiba bersedih pula? Dia mengeluh perlahan. Menghayun langkah menuju ke tingkat atas. Ingin melihat keadaan Sabrina. Laju dia melangkah sebelum berhenti seketika di hadapan pintu bilik Sabrina. Teragak-agak untuk mengetuk pintu. Tiba-tiba jadi serba-salah untuk berdepan dengan gadis itu. Dalam rasa serba-salah itu, perlahan dia mengetuk pintu. Senyap. Tidak berjawab. Dia mencuba sekali lagi. Sama. Sudahnya dia menolak perlahan daun pintu. Tidak berkunci. Pintu dikuak lebih lebar, sebelum dia melangkah masuk.
“Tidur lagi. Tak ada kerja lain ke?,”dia merungut perlahan melihat Sabrina lena di katil. Melangkah mendekati katil. Perlahan dia melabuhkan punggung di birai katil. Memandang wajah Sabrina dalam lena. Nampak begitu tenang. Dalam benci, dia harus berterima kasih pada gadis ini. Kerana Sabrina, Dayana setuju untuk mengahwininya. Dia tidak tahu apa yang Sabrina bualkan dengan Dayana. Tetapi, setelah pertemuan empat mata antara Sabrina dan Dayana, Dayana akhirnya memberi kata putus. Kata putus yang membahagiakannya.
“Thanks,”bisiknya perlahan sambil mengusap perlahan rambut Sabrina. Usapannya terhenti tatkala dia terpandang cincin di atas telapak tangan Sabrina. Dia ingat cincin itu. Cincin ibunya. Cincin yang diberi ibunya untuk digunakan sewaktu majlis akad nikahnya dengan Sabrina. Terpaksa menggunakan cincin ibunya kerana dia tidak sempat menyediakan itu semua. Atau lebih tepat lagi, dia tidak mahu menyediakan semua itu. Biasanya cincin itu tersarung elok di jari manis gadis ini. Kenapa hari ini cincin itu ditanggalkan? Dan, kenapa jantungnya tiba-tiba berdegup kencang melihat cincin itu tidak lagi tersarung di jari Sabrina? Dengan hati-hati dia mencapai cincin di telapak tangan Sabrina. Tidak mahu membuat gadis itu terjaga. Sebaik jarinya tersentuh tangan Sabrina, mata gadis itu terbuka tiba-tiba. Cepat-cepat cincin yang sudah dia ambil, digenggam erat. Sabrina terjerit kecil. Pantas berengsot ke kepala katil sambil mengurut dada.
“Awak ni. tak pandai nak ketuk pintu ke?,”
Badrul memandang wajah Sabrina.
“Dah nak roboh pintu aku ketuk. Kau tu yang tidur mati,”
Sabrina diam. Dia melihat tangannya. Cincin di telapak tangannya sudah tiada. Mana perginya? Dia melihat sekeliling. Tiada. Pantas tangannya menyelak selimut. Tiada. Bergerak turun dari katil sambil membongkok mencari di lantai.
“Kau cari apa?,”
Sabrina tidak menjawab. Mahu berterus-terang dengan Badrul, dia sedang mencari cincin? Dia tidak sebodoh itu untuk membiarkan dirinya yang sedang bersedih ini, dimarahi Badrul. Terbongkok dia terus mencari di lantai.
Badrul terus memandang. Sudah tahu sebenarnya apa yang dicari Sabrina. Namun, seronok pula dia melihat wajah Sabrina yang cemas. Daripada membongkok, Sabrina kini merangkak perlahan mencari di sekitar katilnya. Membuat darah menyerbu naik ke muka Badrul sebaik melihat leher baju kurung Sabrina yang terjatuh. Menampakkan dada putihnya. Pasti gadis itu tidak sedar.
“Hey!,”
Sabrina mengangkat muka.
“Apa?,”soalnya geram. Badrul tidak menjawab. Cuma matanya tidak bergerak. Sabrina menurut arah renungan Badrul dan renungan itu berakhir ke dadanya. Wajahnya terasa panas tiba-tiba. Cepat-cepat dia duduk di lantai sambil memegang leher baju kurungnya.
“Awak pergi keluarlah. Jangan kacau saya,”jerit Sabrina geram. Badrul tergelak melihat wajah Sabrina yang merah menyala menahan malu.
“Kau cari apa?,”
“Adalah. Bukan urusan awak. Pergilah keluar. Jangan ganggu saya,”
“Amboi! Garangnya. Kak Milah kata kau tengah bersedih. Tapi, ini bukan bersedih. Ini tengah hot tempered ni,”
Sabrina menjeling tajam. Cuba buang rasa malu yang menjengah.
“Apa awak buat kat sini? Pergilah masuk bilik awak. Jangalah kacau saya,”soalnya sedikit hairan. Badrul merangkak ke atas katil kemudian duduk di lantai sambil bersandar pada katil.
“Kau cari ini ke?,”soalnya sambil membuka genggamannya. Sabrina memandang cincin di telapak tangan Badrul. Patutlah hilang.
“Awak nak balik ke, cincin tu?,”soal Sabrina perlahan. Dia tahu cincin itu bukan miliknya. Juga bukan milik Badrul.
“Mama nak semula ya?,”soalnya lagi.
“Kenapa kau tanggalkan?,”
Sabrina diam. Nampaknya dia bakal kehilangan cincin yang baru sahaja dia hargai akan kewujudannya itu. Perlahan dia bangun. Ingin melangkah keluar dari bilik itu. Langkahnya terhenti apabila tangan Badrul mencapai jemarinya. Dia pandang wajah Badrul. Segak bersongkok dengan baju melayu ungunya. Masih belum berganti pakaian.
“Come,”ujar Badrul sambil menarik tangannya. Dia akur. Melabuhkan punggung di sebelah Badrul sambil bersandar pada katil.
“Kenapa kau tanggalkan?,”sekali lagi Badrul bertanya. Sabrina diam. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia tanggalkan cincin itu. Mungkin dia ingin menggenggam cincin itu. mungkin juga dia ingin menggenggam semula perkahwinan yang sudah dia lepaskan ini. Dia pandang wajah Badrul. Takkan dia mahu berterus-terang dengan Badrul. Tidak penting rasanya.
“Tahniah,”ucapnya sekadar ingin mengubah tajuk perbualan. Badrul diam. Ternyata ucapan tahniah dari bibir Sabrina berbeza daripada ucapan tahniah dari manusia lain di sekelilingnya tadi. Kalau tadi, ucapan itu membuat dia berasa gembira dan bahagia. Tetapi, kenapa ucapan daripada Sabrina membuat dia kelu? Dia merenung wajah Sabrina. Perlahan mencapai jemari Sabrina, membuat Sabrina sedikit tercenggang. Memandang wajah Badrul hairan. Dia terpaku seketika apabila Badrul menyarungkan semula cincin itu ke jari manisnya.
“Jangan tanggalkan lagi,”
Sabrina memandang jari manisnya. Tersenyum.
“Terima kasih,”ucapnya perlahan.
Badrul turut tersenyum. Menggenggam erat jari Sabrina. Sabrina terkebil-kebil. Kurang selesa dengan cara Badrul. Tangannya ditarik perlahan. Namun, genggaman Badrul tetap erat mencengkam.
“Sabrina…,”
Sabrina mengangkat muka. Memandang wajah Badrul.
“Kak Milah kata, kau sedih. Kenapa? Sebab aku kahwin dengan Dayana ke?,”
Sabrina betul-betul tergamam. Lembutnya suara badrul mengalunkan soalan itu. Tidak pernah Badrul bercakap selembut ini dengannya.
“Berterus-terang dengan aku,”
Sabrina berdehem perlahan. Cuba bersuara. Tetapi tidak mampu. Sudahnya dia Cuma menggeleng perlahan.
“Apa maksudnya? Aku tak faham,”
“Saya… saya tak sedih pun. Kak Milah tu, pandai-pandai saja,”
Badrul tersenyum kecil. Perlahan menjatuhkan tangannya ke bahu Sabrina. Menarik Sabrina ke pelukannya.
“Thanks…,”ucapnya lembut sambil melayangkan satu kucupan di dahi Sabrina. Sabrina kaku tidak bergerak. Pelik betul tingkah Badrul. Lama bibir itu melekat di dahinya. Membuat jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.
“Untuk apa?,”soal Sabrina perlahan.
“Untuk segalanya. Aku tahu Dayana setuju kahwin dengan aku sebab kau. Sebab sesuatu yang keluar dari bibir kau. Bukan sebab aku ajak dia kahwin. Dia menolak sehinggalah kau berjumpa dengannya. Aku tak tahu apa yang kau cakap padanya. Tapi, terima kasih,”
Sabrina tersenyum kecil.
“Awak…,”
Badrul menatap wajah Sabrina sambil gadis itu cuba melepaskan diri dari pelukannya. Gagal. Kerana pautan tangannya di bahu Sabrina lebih kuat dari kudrat gadis itu.
“Awak… keluarlah. Bilik awak kat sebelah,”
Badrul tersenyum kecil.
“Kau takut ke?,”
Sabrina menjeling.
“Nanti Dayana cari awak. Cepatlah keluar,”
“Menghalau nampak…,”balas Badrul sambil mengangkat punggung. Sabrina terus duduk tersandar ke katil sambil memandang cincin di jarinya. Kemudian menyentuh dahinya yang masih terasa hangat kucupan Badrul.
“Jangan sambung tidur. Dah nak senja. And… tolong turun makan. Aku tak Nampak kau seharian hari ni. Mesti kau tak makan,”
Sabrina mendengar sambil membuat muka selamba. Bergerak memajat ke katil.
“Dengar tak?,”
“Dengarlah. Saya tahulah. Saya ni bukan budak kecil. Dah, cepatlah keluar,”
Badrul tergelak. Berlalu keluar dari bilik itu. Meninggalkan Sabrina terkebil-kebil di tengah-tengah katil. Dia sukakan layanan Badrul sebentar tadi. Badrul tidak mengeluarkan kata-kata sinis padanya. Lelaki itu melayannya dengan baik sekali. Dan dia suka. Dia suka apabila lelaki itu mengambil berat tentangnya.
“…And… tolong turun makan. Aku tak Nampak kau seharian hari ni. Mesti kau tak makan,”
Badrul perasan akan kehilangannya? Walau bersama Dayana, Badrul masih perasan yang dia tiada di dalam majlis. Dia tersenyum. Tidak faham akan maksud senyum itu. bukan senyum gembira, bukan juga senyum menutup kesedihan. Dia benar-benar keliru dengan perasaannya…

***

Di Penghujung Rindu 2

Shahril bersandar malas kerusi. Matanya tajam merenung wajah ceria Julia. Melihat wajah itu, membuat dia teringat begitu banyak dugaan yang harus dia tempuhi untuk memiliki gadis ini. Akhirnya dia berhasil menyunting gadis yang sekian lama bertakhta di hatinya itu untuk menjadi suri hidupnya. Dia tersenyum senang. Bahagia dapat hidup bersama Julia sebagai pasangan suami isteri.
“Kita tunggu siapa ni, sayang?”dia mula bersuara setelah agak lama berdiam diri. Sudah mula dijentik rasa bosan dek lama menunggu. Julia memandang wajahnya. Wajah itu Nampak sedikit resah.
“Abang ni… tunggu sajalah. Sabar ya. sabar,”
“Abang memanglah sabar aje. Abang tengok Jue tu.. dah macam kucing hilang anak. Siapa yang Jue nak jumpa ni?,”
“Abang ni.. sabarlah. Mesti abang terkejut bila jumpa dia nanti,”
Sharhil tergelak kecil. Lucu melihat wajah Julia yang Nampak begitu teruja.
“Siapalah orangnya yang boleh mengejutkan abang tu ya? PM nak jumpa kita ke? Atau superstar?” soal Shahril separuh bergurau.
Julia tergelak kecil. Dia memandang wajah Shahril seketika. Kemudian dia mengalih pandangannya ke arah pintu restoran. Tiada sesiapa yang muncul di ambang pintu itu. Dia melihat jam di tangannya. Pukul 8.15. Tiadak datangkah Nurul Huda? Dia mengeluh perlahan. Tak mungkin gadis itu mungkir janji. Dia kenal benar dengan Nurul Huda. Janjinya pasti akan dikota. Namun, mungkinkah masa telah mengubah pendirian gadis itu? Mengubah sikap gadis itu? menjadikan gadis itu seorang yang memungkiri janji?
“Kenapa mengeluh?”lembut Shahril bertanya sambil mencapai jemari Julia. Perlahan dia mengusap jemari lembut isterinya itu. Julia Cuma tersenyum sambil menggeleng perlahan. Sekali lagi dia memandang ke arah pintu restoran. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Penantiannya mendatangkan hasil. Melihat senyuman yang tiba-tiba mekar di bibir isterinya, Shahril turut memandang ke arah yang sama. Sebuah senyuman seorang gadis yang memang amat dia kenali membuat dia terpaku seketika. Segera dia menoleh ke arah Julia. Julia tersenyum sambil mengangkat kening. Shahril turut tersenyum . Memang ini satu kejutan baginya. Nurul Huda melangkah laju menuju ke arah mereka. Berdiri di hadapan dua temannya itu bersama sekuntum senyuman yang cukup lebar.
“Sorry, I’m late. Sungguh-sungguh tak disengajakan. Sorry ya,”
“Never mind. Asal kau datang.. lambat sikit pun tak apa. Duduklah,” ujar Julia senang. Nurul Huda akur. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi. Dia memandang Shahril yang masih memandangnya dengan wajah terkejut. Dia tersenyum.
“Hai Shah. Apa khabar?” soalnya bersama senyuman. Shahril turut tersenyum.
“Well… I’m fine. What a surprise. Memang abang terkejut sayang,” ujarnya sambil memandang wajah Julia. Julia tersengih.
“Anyway, congratulation Shah. For your wedding. Akhirnya kamu berdua bergelar suami isteri. Aku tumpang gembira. Aku ingat kau orang berdua nak bergaduh sampai ke tua,” Nurul Huda bersuara sambil menghulurkan tangan, bersalaman dengan Shahril.
“Terima kasih,” jawab Shahril pendek.
“Mana best asyik bergaduh. Aku bergaduh pun, sebab Jue ni yang suka ajak bergaduh,”tokoknya bersama senyum gembira.
“Tolong sikit ya? abang tu yang selalu cari gaduh dengan Jue. Semua yang Jue cakap semua tak betul. Betulkan Huda? Bukan aku yang cari gaduh. Dia yang suka hentam cakap aku,”
Nurul Huda tersengih.
“Abang buat macam tu, sebab nak tarik perhatian. Nak suruh Jue pay attention kat abang. Tapi, lain pula jadinya. Asal orang hentam sikit, dia yang lebih-lebih naik angin…,”
“Mestilah. Asal buka mulut je, kena hentam. Asal buka mulut je, kena hentam… siapa pun akan naik angin,”
Nurul Huda tergelak.
“Okay…stop. Tak payahlah bergaduh lagi. Dah tualah. Buat malu je,”ujarnya bersama gelak kecil. Membuat Julia diam dan Shahril tersengih.
“Kami tak jemput kau. But, that’s not our fault. Kau hilang macam chipsmore,” Shahril bersuara tiba-tiba membuat Nurul Huda tergelak.
“Aku tahu. As long as kau orang masih ingatkan aku, itu pun dah memandai,”
“Memanglah kita orang ingat. Dulukan kita dah berjanji, yang kita akan keep in touch… forever. Tapi kau mungkir janji,” Julia bersuara perlahan. Di wajahnya terpamer rasa tidak puas hati terhadap temannya itu. Nurul Huda Cuma tersenyum. Namun, senyumannya kini, sedikit kelat. Julia sudah mula merajuk. Ternyata perangai sahabatnya ini tidak pernah berubah. Masih cepat merajuk seperti dahulu.
“Hai… dah jadi isteri orang pun suka merajuk lagi ke?” gurau Nurul Huda. Cuba untuk mengembalikan keceriaan Julia. Julia tersenyum kecil mendengar kata-kata itu.
“Dan kau…masih pandai hilangkan rajuk aku. Seperti dulu juga ya,” Julia membalas kata-kata Nurul Huda dengan wajah yang sedikit ceria. Shahril Cuma tersenyum melihat gelagat dua wanita di hadapannya. Dua sabahat yang sudah lama terpisah. Nurul Huda pergi meninggalkan teman-teman macam itu sahaja. Meninggalkan seribu persoalan bukan sahaja di hatinya. malah di hati teman-temannya yang lain juga.
“Ke mana kau menghilangkan diri?” soal Shahril setelah agak lama menjadi pemerhati. Ingin mendengar cerita Nurul Huda.
“Aku further study kat UK. Bermastautin di sana. Cukup? Need more explanation?”
“Sampai lupa kawan-kawan kat sini?” soal Julia dengan nada merajuk.
“Alaa… merajuk lagi. No. No.. Aku tak pernah lupakan kau orang semua. Aku ingat. Sentiasa bermain kat fikiran aku ni. Cuma jarak yang memisahkan kita. Seriously, aku tak pernah lupakan kawan-kawan aku,”
“Tak pernah lupa, sampai tak jemput ke perkahwinan kau. Tak sempat atau apa? Apa alasan yang kau nak bagi?” soal Julia masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Nurul Huda. Soalan yang membuatkan Nurul Huda terdiam. Juga membuatkan Shahril sedikit terperanjat. Kejutan lagi. Nurul Huda sudah berkahwin? Dia memandang wajah itu. Seakan tidak percaya dengan cerita yang baru meniti di bibir isterinya.
“So, kau dah kahwin?” soal Shahril sambil memandang wajah Nurul Huda yang terkedu.
“I’m sorry about that, Julia. Aku tak tahu macam mana nak explain, and… I really not interested to talk about my marriage. Change topic, please…”
“Apa nak buat. Aku tak boleh paksa kau,” Julia bersuara hampa. Wajah Shahril turut hampa. Sangkanya dia dapta mengorek cerita di sebalik kehilangan temannya itu.
“Hei.. janganlah macam ni. Aku tak nak rosakkan pertemuan ni,”
“Kau dah pandai berahsia,”Julia bersuara perlahan. Sudah berjauh hati. Nurul Huda mengeluh perlahan.
“I’ll tell you. Someday. But not today ok?” Nurul Huda cuba berdiplomasi. Ternyata berjaya membuat Julia tersenyum semula. Dia turut tersenyum. Sekurang-kurangnya, taktiknya mendatangkan hasil. Suasana yang agak suram tadi kembali ceria.
“Kau dah janji dengan aku. Aku akan tuntut nanti,”
“Aku akan tunaikan janji aku. Tapi bila dah sampai masanya nanti,”
Julia mengangguk sambil tersenyum senang. Shahril kekal sebagai pemerhati. Itu perjanjian antara orang perempuan. Dia tidak termasuk di dalam agenda itu.
“Kau tak bawa anak kau sekali?”
Shahril terkedu. Satu lagi soalan Julia membuat dia lebih terkejut.
“Wait! Kau dah ada anak?” soal Shahril tiba-tiba. Memang terkejut dengan berita baru yang keluar dari mulut isterinya itu. Nurul Huda hanya tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Di kepalanya bagai sudah terbayang yang hidupnya selepas ini bakal berdepan dengan masalah. Masalah yang cuba dia elak selama lima tahun kebelakangan ini.
“Kau tak nampak macam seorang ibu. Macam anak dara,”
Nurul Huda tergelak.
“Mengarutlah kau ni Shah,”
Shahril tersenyum.
“Kau muncul dengan pelbagai kejutan. Kahwin tak cakap. Even, cakap pasal perkahwinan kau pun, kau tak nak. Now, anak pula,”Shahril bersuara dengan nada tidak percaya.
“Kenapa tak bawak sekali?” soal Julia lagi.
“Dia leka dengan mak saudara aku. Tak naklah aku kacau. Lagi pun dia tu nakal. Susah nak handle. Nanti, tak pasal-pasal rosak pertemuan ni,”
“Aku teringin nak tengok anak kau. How old is he?”
“Four,”
“Empat tahun? That’s mean, kau kahwin sebaik kita habis belajar? And you keep it as a secret? Cukup lama kau berahsia ya?,” Ujar Julia sambil merenung mata Nurul Huda. Nurul Huda tersenyum nipis. Hatinya amat berharap agar kata-kata Julia tidak berakhir dengan satu lagi soalan yang bisa membuat dia terdiam lagi. Seolah-olah faham dengan apa yang sedang bermain di hati Nurul Huda, Julia tidak lagi mengajukan soalan. Walhal di kepalanya berserabut dengan seribu persoalan.
“So, lepas habis belajar dulu, kau orang masih saling berhubung ke?”soal Nurul Huda Cuma mengubah topic perbualan.
“Masih. Dan macam-macam dah berlaku selama empat tahun ini. Nanti, bolehlah kita berkumpul ramai-ramai ya. Buat reunion. Macam mana? Mesti best kan?” tiba-tiba Julia memberi cadangan yang seolah-olah mahu melucutkan ulu hatinya. Mengarut.! Betul-betul mengarut.
“Selalu jumpa dengan kawan-kawan yang lain ke?” sekali lagi dia mengajukan soalan. Sekadar untuk menutup wajah yang tergamam dek kerana terkejut mendengar cadangan bernas Julia.
“Selalu,” jawab Julia sepatah. Nurul Huda diam. Mudah saja wajah-wajah kenangan muncul di mindanya. Bagaimana kehidupan Fairuz sekarang? Sudah bertemu dengan pengganti idaman hatikah dia? Kasihan lelaki itu. Tangannya bertepuk sebelah. Namun, cintanya teramat utuh.
“Aku akan tunggu sampai jodoh aku dengannya, Huda. Itu janji aku pada diri aku sendiri. InsyaAllah kalau ada jodoh, dia tetap akan menjadi milik aku,”
Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Cinta Fairuz Cuma dia yang tahu, sebagaimana cintanya, juga Cuma Fairuz yang tahu. Ingin sekali dia bertemu dengan temannya yang satu itu. Nampaknya, Fairuz teguh memegang janji. Kalau tidak, masakan Julia tidak tahu cerita yang terpendam selama lebih tujuh tahun itu. Cerita yang mengajarnya erti cemburu dan juga erti sayang. Meski cemburu dan sayangnya tiada siapa yang tahu. Namun, kesannya tersemat di hati hingga ke hari ini.
“Huda! Huda!,”
Nurul Huda tersentak apabila namanya dipanggil bertalu. Dia mengelamun rupanya.
“Jauh melamun. Ingatkan siapa?” Shahril pula membuka bicara. Nurul Huda menggeleng perlahan.
“So, apa kau buat sekarang?” Shahril mula mengorek maklumat
“Aku baru balik ke sini. Belum terfikir lagi. insyaAllah next week aku ada satu temuduga kat KL,”
“Baguslah tu. Semua akan berkumpul di satu tempat. Senanglah nak jumpa. Kan abang?”
Shahril mengangguk perlahan sedang Nurul Huda tersenyum kelat. Berkumpul? Tidak mungkin. Dia tidak mahu muncul di dalam perhimpunan itu. namun, mampukah dia menolak lagi? Kuarkah dia untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang cuba dia elak selama ini? Dadanya berombak tiba-tiba.

****
[11:35:50 PM] hos.getah: