Lama dia termenung. Tidak habis fikir tentang
Farisha. Juga terkejut dengan berita yang disampaikan oleh teman Farisha.
Langsung tidak disangka ada tragedi dahsyat yang menimpa Farisha. Apa
sebenarnya yang berlaku? Sungguh dia mahu tahu.
“Maaflah. Mood Isha kurang baik tu. Saya tak rasa
dia nak jumpa sesiapa saat ni,”
“Saya cuma nak tegur dia sebelum saya pergi. Dia
nampak tergesa-gesa pergi tadi. Is she alright?,”
“Tak okay rasanya. Mesti dia teringatkan anak dia,”
“Anak dia? Kenapa dengan Trisya?,”
Perlahan dia meraup wajah. Rasa terkejut mendengar
sedikit kisah Farisha daripada teman Farisha sendiri, masih tidak berkurang
langsung. Langsung tidak menduga anak kecil itu sudah tiada di dunia ini. Anak
kecil yang begitu dekat di hatinya itu rupa-rupanya sudah pergi selama-lamanya.
Farisha kehilangan satu-satunya permata hati yang menjadi tunjang kekuatannya.
Juga permata hati yang berjaya menambat hatinya. Dia akrab dengan anak kecil
itu. Keakraban yang mendatangkan kemusykilan pada Trisya apabila pemikirannya
disogok dengan fakta yang direka-reka. Membawa dia pada kenangan yang pernah
tercipta di dalam lipatan hidupnya.
“Uncle tak nak ambil mama Ticha kan? Tak nak bawa
mama Ticha pergi jauh-jauh kan?,”
Dia tergelak mendengar soalan yang polos itu.
“Kenapa tanya macam tu?,”
“Kalau uncle nak bawa mama Ticha jauh-jauh,
janganlah jumpa mama Ticha lagi,”
Kali ini dia mengangkat kening.
“Kenapa Trisya cakap macam ni? Mama Trisya tu... Trisya yang punya. Mana boleh uncle
bawa pergi? Cakap dengan uncle kenapa Trisya cakap macam ni?,”
“Papa yang cakap. Papa selalu cakap dengan Ticha,
uncle nak curi mama. Papa selalu marah mama. Papa cakap kalau Ticha sayang
mama, Ticha tak boleh bagi mama jumpa uncle lagi. Tapi, Ticha suka uncle. Uncle
tak suka marah-marah macam papa,”
Zaheem termenung pilu. Terngiang-ngiang luahan
Trisya yang ternyata keliru juga terbayang keletahnya yang cukup mencuit hati.
Hatinya didorong rasa ingin tahu yang bukan sedikit. Dorongan yang sekali lagi
membawa dia ke sini. Dia perlu berjumpa Farisha. Dia mahu tahu segala-galanya
tentang Trisya juga tentang Farisha. Dia
yakin pasti amat payah untuk Farisha mendepani hidup tanpa Trisya.
Tetapi, kini setelah berdepan tiada suara yang
muncul. Dia diam bersama kisah silam dan Farisha juga nampaknya selesa berdiam
diri. Itu bukan satu yang aneh baginya kerana sewaktu dia mengenali Farisha,
wanita ini juga lebih banyak membisu daripada bersuara. Bercakap hanya untuk
perkara yang perlu. Jauh sekali mahu bergurau-senda.
“Maaf kalau saya mengganggu masa kerja Isha,”
Farisha mengangkat muka. Tersenyum kemudian
menggeleng.
“Tak mengganggu,”ucap Farisha ringkas.
Zaheem mengukir senyum. Canggung dalam kebisuan.
Terlalu banyak yang ingin dibualkan tetapi semuanya terasa bagai serba tidak
kena.
“Saya tumpang simpati atas apa yang berlaku. Sungguh
saya tak sangka...,”
“Tak apa. Ujian buat saya,”laju Farisha mencelah.
Tidak mahu sampai nama Trisya terucap lagi di sini. Dia tidak yakin dengan
kekuatan jiwanya. Tidak mahu dia tewas lagi seperti beberapa hari yang lalu.
“Lepas pertemuan kita yang terakhir tu, Isha terus
hilang. Langsung tak dapat dihubungi,”
Diam.
“Apa sebenarnya yang berlaku? Saya call tak dapat.
Saya cuba cari di tempat kerja Isha, tapi Isha dah berhenti kerja. Ada sesuatu
yang berlaku?,”
Farisha terus membeku. Pertemuan terakhir dengan
Zaheem bermakna detik-detik akhir dia dengan Trisya. Saat- saat akhir dia
merasa pelukan hangat Trisya. Ciuman manja Tisya. Juga saat-saat terakhir bebannya
terubat dengan senyum manis Trisya. Mengingatkan itu semua, tidak perlu lagi
kata-kata. Spontan bibir matanya memberat. Teringatkan peristiwa yang sedaya
upaya dia cuba hapuskan daripada memorinya bukanlah sesuatu yang amat senang
untuk dia kawal. Perlahan dia menunduk. Mencari di mana kewajaran andai air mata
menitis di hadapan Zaheem. Dia kenal lelaki ini. Dan, lelaki ini pernah menjadi
teman yang banyak membantu dia meneruskan kehidupan. Tetapi untuk dia tonjolkan
kesedihan pada lelaki ini, rasanya tidak wajar.
“Kita cakap pasal benda lain?,”beberapa ketika
menunduk membina kekuatan, dia bersuara sambil mengangkat muka. Bibir mata yang
berat disapu segera. Menggantikan hiba yang tersapa dengan sekuntum senyum di
bibir.
Zaheem diam. Diam sambil memerhati. Kalau empat
tahun dulu, dia melihat Farisha sarat dengan pergolakan perasaan, hari ini,
matanya menangkap satu keresahan yang semakin memburuk. Apa sebenarnya yang
telah berlaku pada wanita yang telah mencuri hatinya ini?
“Are you okay?,”
Farisha melebarkan senyuman.
“Okay. Saya okay,”
“Saya tak fikir macam tu. Wajah awak... senyum
awak... makin teruk berbanding empat tahun dulu,”
Farisha kelu. Cuma pandangannya bersatu dengan
renungan redup Zaheem.
“Ceritalah,”pinta Zaheem lembut.
Berdepan dengan alunan suara yang begitu lembut
menambahkan lagi rasa sesak di hatinya. Akhirnya tiada apa yang mampu
diceritakan. Cuma air matanya mengalir laju di hadapan Zaheem. Membuat hati
Zaheem turut tersayat pilu.
“Sorry. Saya tak kuat untuk bercakap pasal
Trisya,”di hujung sebak, dia bersuara lambat-lambat sambil cuba menghapuskan
air mata yang membasah pipi. Diseka dengan belakang telapak tangan.
“Bukan. Bukan tak kuat tapi awak memang tak pernah
cuba bercakap dengan sesiapa pun, kan?,”
Farisha memilih untuk mengunci kata.
“Suami awak?,”
“Kenapa tak bawa anak sekali?,”topik bicara mula
dihalakan ke arah lain. Biarlah segala rasa terus tersimpan di hatinya. Zaheem
bukan sesiapa untuk mendengar rintihannya. Dia juga tidak bersedia untuk
membuka cerita kepada sesiapa pun.
Mendengar soalan itu, lama Zaheem merenung wajah
suram yang cuba dimaniskan dengan sekuntum senyuman palsu. Sukarnya mendekati
sekeping hati Farisha masih sama seperti dulu.
“Isha tetap macam dulu...,”
Farisha mengeluh perlahan. Membalas pandangan Zaheem
yang sayu.
“Sesetengah perkara, lebih baik didiamkan saja
sampai bila-bila. Timbulkan semula semua kisah sedih pun, tak mungkin Trisya
saya akan kembali ke pelukan saya. Tak mungkin Trisya saya akan datang mengesat
air mata saya tiap kali saya tak mampu nak berdepan dengan ujian hidup saya.
Saya tetap kehilangan dia... selama-lamanya...,”
“Bukan begini caranya untuk berdepan dengan
masalah,”tingkah Zaheem lembut. Tidak bersetuju dengan cara Farisha.
“Begini caranya,”tegas Farisha seakan memberi noktah
pada perbualan mereka.
Zaheem mengeluh perlahan-lahan. Ya, tidak banyak
yang dia tahu tentang Farisha tetapi, melihat wajah itu, dia yakin begitu
banyak badai yang menghempas sekeping hati wanitanya. Mungkin keperitan hidup membuat
hati wanita itu seakan merajuk jauh. Bicara Farisha seperti menutup hati yang terluka.
Itu bukan kata-kata yang lahir daripada hati yang pasrah.
“Isha, saya nak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam
masa beberapa tahun ni. Apa sebenarnya yang berlaku pada Trisya? Isha sendiri bagaimana
sekarang? Tolong beritahu saya semuanya,”
“Terima kasih sebab dari dulu awak selalu ambil
berat tentang saya. Tapi, rasanya biarlah saya lalui semua ni, dengan cara
saya,”
Zaheem diam. Diam sambil terus merenung jauh ke
hadapan. Melihat beberapa orang kanak-kanak sedang berkejaran di taman
permainan yang terletak tidak jauh dari restoran milik Farisha.
Farisha turut diam melihat kebisuan Zaheem. Jelas
wajah lelaki itu nampak kecewa. Akhirnya, pandangannya turut dihalakan ke arah
sekumpulan kanak-kanak yang seronok bermain.
“Dari dulu lagi, saya memang mahu tahu semuanya
pasal Isha,”Zaheem bersuara tanpa memandang wajah Farisha. Meluahkan sesuatu
yang lama terpendam.
Farisha menoleh. Agak aneh mendengar ucapan yang baru
sahaja dilantun Zaheem.
“Maksud awak?,”
Zaheem mengeluh perlahan. Mencari sepasang mata milik
Farisha. Wajah itu kelihatan tertanya-tanya. Jelas menunjukkan yang selama bertahun
ini, cuma dia yang memendam rasa. Jadi, perlukah dia berterus-terang kini? Akhirnya
dia tersenyum nipis sambil menggeleng perlahan.
“Boleh kita berkawan sekali lagi?,”sudahnya dia bertanya
sambil menarik nafas panjang.
Farisha tersenyum kelat.
“Boleh?,”
“Boleh,”jawab Farisha sepatah.
Zaheem tersenyum lebar. Apa yang diharapkan dengan hubungan
yang dimulakan kembali ini? Dia sendiri tidak pasti. Yang dia tahu, dia tidak mahu
wajah ini hilang lagi dari hidupnya.
*****